“APA awak ingat saya hadap sangat nak kahwin dengan awak?” soalku geram. Dari awal tadi dia menayangkan wajah sinisnya. Bengang sangat agaknya sampaikan dia boleh memandu ke sini. Hek eleh! Apa dia ingat aku tak bengang?
“Kalau dah tak hadap, macam mana bapak aku boleh masuk meminang kau tanpa aku setuju? Sebab kau tak hadap sangat atau macam mana?” soalnya sinis. Aku bungkam. Mana aku tahu bapanya benar-benar serius hendak bermenantukan aku. Sudah aku nyatakan semua kelemahan aku tanpa ada satu pun yang tertinggal. Takkanlah bapa dia masih hendak bermenantukan aku?
Siapa yang malang sangat hendak bermenantukan aku yang tak pandai memasak, pemalas dan kurang cerdik ini? Semua aku cerita secara jujur. Mana ada orang tua yang mahu melihat anaknya mempunyai isteri yang seteruk aku? Lagi pula, aku tak tahu menahu langsung tentang hal ini. Sedar-sedar sahaja, aku ditunangkan tanpa aku tahu sebabnya.
Aku baru lagi putus cinta. Bukannya mudah untuk aku menerima cinta baru. Sekarang, aku sudah sah bergelar tunang kepada si malaun ini. Ya, aku tahu pakej dia cukup. Cerdik, bakal menyambung master pula lagi di UK sana. Apa dia ingat, disebabkan hal itu, aku hadap sangatlah nak bernikah dengan dia? Aku pun muda lagi. Baru dua puluh tahun. Masa depan aku masih panjang.
Sungguh aku tak sangka bahawa dia akan mencari aku sehingga ke depan rumah sewaku! Gila. Tak pernah dibuat orang. Sebaik sahaja aku keluar dari rumah, dia menarikku masuk ke dalam kereta dan dia memandu entah ke ceruk kampung mana. Serius, aku ingatkan aku diculik dia tadi! Sudah sampai di sini, dia memberhentikan kereta dan memaki-maki aku dengan kata-kata ‘sopannya’.
“Kau tau tak umur aku ni baru dua puluh tiga? Kau ingat aku bersedia ke dengan semua benda ni? Oh, kau memang nak masa depan kau senang, kan? Nak lelaki yang ada degree. Ops! Tak lama lagi aku ambil master pulak. Kau sukalah lelaki macam aku ni. Sekurang-kurangnya boleh tanggung hidup kau, kan? Kau boleh hidup senang dengan lelaki yang berilmu macam aku ni, kan?” soalnya sinis. Aku nak termuntah mendengar tuduhan tak berasasnya itu.
“Puiih! Hello, mister... teruknya awak melambung diri. Apa awak ingat awak berjaya dapat kerja yang sedap-sedap ke sekali pun awak ada master? Masa depan, rezeki jodoh itu semua kita tak tahu lagi. Sebab itulah awak tak boleh nak bongkak. Nanti kena... kelepuk dekat batang hidung sendiri, awak jugalah yang malu muka. Apa awak ingat saya hadap sangat dengan duit awak apa semua tu? Saya ni menulis novel, kadang-kadang pendapatan saya lagi tinggi dari awak-awak yang ada degree dan master ni. Tolonglah jangan nak perasan hebat sangat. Nak muntah sangat saya ni, tahu tak?!” kutukku selamba. Haaa, biar dia tahu. Amanda memang begini. Dia terdiam sebentar.
“Aku tak faham apa yang special sangat dengan kau ni sampai bapak aku nak kahwinkan aku dengan kau.” Dia menjelingku atas dan bawah.
“Awak tanyalah bapak awak. Saya tak tahu apa-apa juga. Lagi tak sangka, saya diikat dengan mamat perasan bagus macam awak ni. Sungguhlah loya.” Aku berkata jujur sambil mengurut-urut tekakku yang terasa loya. Lantaklah kalau dia nak terasa sekali pun. Aku peduli apa?
“Kenapa tak cakap yang awak tak setuju saja?” soalku kepadanya.
“Sebab dia bapak akulah. Kau ingat senang-senang aje aku nak cakap ‘tak’ pada bapak aku? Kau tu pulak, dah tau tak hadap aku, kenapa tak nak tolak?” soalnya kasar. Aku terdiam. Ada baiknya juga dalam perangai tak semenggah dia ni.
“Masalahnya saya langsung tak tahu! Sedar-sedar, bangun aje dari tidur terus saya dipakaikan gelang tangan. Sudahlah gelang tangan bukan main berat lagi! Bila saya tanya mak, mak saya cuma cakap, saya dah tak bebas macam dulu sebab dah ada tunang! Saya buka Facebook, bapak awak cakap yang dia dah tunangkan awak dengan saya!” aku mengeluh. Ya! Memang aku ceritakan hal yang sebenar. Minggu lepas, begitulah ceritanya. Sudahlah waktu dia datang meminang tu, aku sesedap rasa terbongkang atas katil walaupun sudah jam satu tengah hari. Terserlah perangai burukku di situ.
“Encik, awak jangan risaulah. Kalau awak betul-betul tak berselera dengan saya seperti mana saya tak berselera dengan awak, kita usahakan sampai gagal ye?” soalku memujuk. Entah apa penyakit aku, terpaksa memujuk mamat senget ni. Aku dengar dia mengeluh.
“Jangan sampai gagal. Bapak aku kecewa dengan aku nanti.” Dia berkata tenang. Lebih baik dari nada sinisnya tadi. Maksud aku, jauh lebih baik!
“Eh! Awak boleh salahkan saya. Cakaplah terus terang pada dia tentang saya yang tak selera dengan awak ni.” aku berkata selamba. Pedulilah kalau dia terasa ke apa. Bukannya tak selera. Orang gila saja tak berselera dengan lelaki sekacak ini. Sudahlah kacak, berilmu pengetahuan pula. Tetapi aku tak pandang semua itu. Aku pandangkan keselesaan dan hati. Itu lebih penting. Oh ya, dan sikapnya juga. Aku mahu lelaki yang tak biadab. Bukan macam malaun ini.
“Tak boleh. Aku kesiankan bapak aku.” Dia bersuara tegas. Aku mengeluh.
“Saya muda lagi...” aku menggumam geram.
“Aku pun muda lagi. Bapak aku cakap, lepas aku habis master, dia nikahkan kau dengan aku.” Dia bersuara lagi.
“Hak menikahkan awak dengan saya ialah hak bapak saya.” aku menjelingnya. Ambil degree tapi hal itu pun tak tahu ke?
“Kau jangan buat aku nampak bodoh boleh tak? Kau faham maksud aku kan?” soalnya geram. Aku tersenyum. Memang aku suka orang yang berlagak pandai macam dia ni nampak bodoh. Sekurang-kurangnya tidaklah aku terasa diri aku seorang sahaja yang bodoh di sini.
“Habis tu apa kita nak buat ni?” soalku geram.
“Kau kena bercinta dengan akulah.” Jawabnya selamba. Automatik lidahku terjelir meluat. Gelinya!
“Tujuan awak datang sini, culik saya semata-mata untuk cakap benda mengarut ni?” soalku sarkastik. Dia tergelak sinis.
“Kau jangan perasan sangat budak! Aku pun tak sanggup nak bercinta dengan kau. Tapi kau tentu malu bila keluarga kau dapat malu kalau hubungan kita tak menjadi, kan?” soalnya sinis. Aku mencebir.
“Pedulilah!” aku memandang ke luar cermin kereta.
“Kau ni kerek dengan aku erk? Asalnya aku datang sini sebab aku nak tanya pasal benda tu la. Asal pulak tak pasal-pasal aku kena jadi tunang kau? Disebabkan kau tak tahu juga, aku maafkanlah.” Dia bersuara selamba.
“Werk. Saya minta maaf pun tidak. Aduh. Sudahlah, malam nanti saya ada kelas. Hantarkan saya balik sekarang.” Aku bersuara.
“Kau kena setuju dulu.” Dia mendesak.
“Huh! Setuju apa pulak ni?” soalku geram.
“Cuba bercinta dengan aku. Tak adalah bapak aku terkilan sangat.” Ujarnya. Aku mendengus.
“Yela. Yela. Nama awak pun saya tak tahu. Inikan pulak bercinta.” Aku merungut perlahan.
“Safwan.” Dia berkata sambil mula memandu semula. Aku mendengus. Safwan. Ingatkan ada nama lain yang lebih gah dari itu. Sesuailah dengan sikap bongkaknya.
“Sepanjang kau di sini selagi kita belum nikah, aku harap kau pandai setia. Aku tak nak nikah dengan perempuan yang tak setia.” Dia berkata selamba.
“Tahulah! Entahkan awak yang tak setia kat sana.” aku mendengus.
“Aku tak setia pun, aku ada empat kuota. Kau nak bising kenapa?” soalnya. Tersentap aku dengan kata-katanya. Apa dia ingat, semudah itu dia hendak mencukupkan kuotanya? Aku tak kisah selagi aku tidak termasuk dalam kuotanya itu!
YOU ARE READING
Koleksi Cerpen Dekna Lee
General FictionKoleksi cerpen Dekna Lee dari blog yang dimasukkan ke sini atas permintaan beberapa pihak. 🚫 Dilarang plagiat Cerpen ini belum diedit. Harap bersabar baca tulisan tunggang langgang. Enjoy! ♥️ When I Was Your Man ♥️ Hello, Mister! ♥️ Fathea