Sembilan bulan kemudian...
SALAHKAH aku jika tidak mempercayai insan bernama lelaki kerana penangan mereka begitu hebat sekali sehingga meremukkan hati? Kasihan Daniyal. Dia menjadi mangsa. Aku terpaksa menolaknya mentah-mentah. Bukan kerana aku tak sukakan dia. Tetapi lebih kepada perasaan paranoia. Aku takut dikecewakan lagi. Hanya disebabkan bekas kekasih dan juga bekas tunangku, aku jadi tidak percayakan lelaki lagi. Dan Daniyal... aku bimbang perasaannya padaku cuma sementara.
Beberapa kali juga Daniyal merayu agar memberinya peluang untuk membuktikan kepadaku bahawa tidak semua lelaki berperangai buruk. Selepas beberapa hari pertemuan pertama kami dulu, aku kembali pulang ke Malaysia. Dan, aku memohon pekerjaan di sebuah bank. Alhamdulillah. Rezeki aku murah. Walaupun pelajaran sampai tahap Diploma saja, aku diterima bekerja.
Dan Daniyal... tidak putus-putus merayu padaku. Inilah kali pertama aku melihat ada lelaki yang bersungguh seperti dia untuk jangka masa sembilan bulan! Lelaki... biasanya pada dua tiga bulan pertama sahaja mereka menunjukkan kesungguhan mereka. Walaupun sudah berbuih mulutku memberitahunya tentang keburukan aku, namun dia masih gigih hendak menjadikan aku teman istimewanya.
Sudah puas aku katakan bahawa tiada yang istimewanya tentang aku. Semuanya buruk-buruk belaka. Katanya, biarlah! Dia suka pada perempuan yang tidak hipokrit! Aduhai Daniyal! Pelik sekali orangnya. Walaupun aku nampak kesungguhannya, namun aku tetap bimbang jika dikecewakan lagi.
Dan... Safwan... muncul pula lelaki itu. Aku tak tahulah nak kata apa. Jenis dia itu memang tak malu muka atau apa? Selepas seminggu pulang dari Manchester dulu, aku ada terserempak dengan dia di Kinokuniya. Dia seperti terpegun melihat aku. Bukan aku nak perasan tetapi... ya. Entah kenapalah boleh terserempak dengan dia. siap dia puji lagi penampilan aku yang katanya cantik. Padahal waktu itu aku hanya memakai blouse berwarna peach dan skirt labuh biasa. Cantik apa entah?
Selepas itu, kami bertemu lagi. Kali kedua di Subang Parade. Tiada Lita di sisinya. Pertemuan pertama pun tiada Lita juga. Mungkin sudah putus cinta agaknya! Padan muka. Eh? Jahatnya aku! Pertemuan ketiga dan seterusnya? Sekarang. Di tempat kerja aku!
Berhari-hari aku diganggu malaun itu. Yang peliknya, mengapa pula sekarang dia sibuk terhegeh-hegehkan aku? Nak kata aku bagi dia nasi kangkang, aku pun tak reti nak berjampi! Nak buat nasi kangkang pun tak sampai hati. Lagi pula, sekali pun aku tak pernah bagi dia makan nasi!
“Awak nak apa?” soalku geram. Dia memandangku dengan riak menagih simpati. Apa dia ingat aku hairan agaknya dengan mata Garfield dia tu?
“Saya nak baiki semula hubungan kita.” Ujarnya perlahan. Aku tergelak sinis. Mudahnya. Nak perbaiki celah mana pun aku tak tahulah.
Hati aku sekarang? Entahlah. Mungkin sudah berpihak kepada Daniyal. Tipulah aku kalau aku kata tidak terkesan dengan kewujudan Daniyal yang kelakar dan bersikap selamba itu. Aku sedar, semakin hari, aku semakin merinduinya. Kadangkala, aku dengan sendirinya menanti dia untuk membuat video call melalui Skype. Aku tak rasa yang aku dah angau... hehehe.
Cuma, sudah beberapa hari selepas aku menolaknya baru-baru ini, dia terus menyepi. Bohonglah aku kalau aku kata aku tak rindu. Bohonglah aku kalau aku kata aku boleh relax bila dia diam begitu sahaja.
“Kita tak pernah ada hubungan. Melainkan tunang atas pada sebutan saja. Itupun... dah jadi bekas.” Sengaja aku mengingatkan dia tentang hakikat itu. Supaya dia sedar, angkara siapa status itu berubah.
“Amanda, saya minta maaf. Untuk pengetahuan awak, saya dah putuskan Lita sebab saya dah jatuh hati pada awak. Selepas pertemuan kita dekat Kinokuniya dulu... saya rasa saya mula cintakan awak. No, bermula dengan kali pertama awak jemput saya di airport dulu, saya jatuh cinta. Penampilan awak dah berubah sama sekali. Saya sukakan perubahan awak. Nampak dewasa. Tak macam dulu.” aku mencebir.
Pickup line jenis apa yang dia pakai ni? Hebat sungguh! Jadi, dia jatuh cinta kerana perubahan penampilan akulah ni? Lelaki macam ni, mudah sangat jatuh cinta!
“Memang bestlah jadi lelaki kalau macam tu kehidupan awak. Tinggal orang tu untuk orang ni. Dan kemudian, tinggal orang ni untuk orang tu semula. Awak ingat saya ni recycle bin ke apa? Bila dah buang, lepas tu nak restore balik? Hello, mister... saya ni ibarat Avast, tahu tak? Bila dah ada virus macam awak ni, saya clean terus dari memori saya. Tak tunggu lama dah.” sindirku selamba.
Merah mukanya menahan malu. Tak sangka aku samakan diri aku dengan anti virus Avast dan dia pula adalah virusnya. Hebat! Mahu tak merah padam mukanya?
“Amanda. Janganlah macam ni. Saya betul-betul minta maaf.” rayunya.
“Simpan ajelah kata-kata maaf awak tu, encik. Saya takkan buka pintu hati saya untuk lelaki macam awak. Jangan ganggu hidup saya lagi, Encik Safwan. Tolonglah.” Rayuku semula.
“MANDA! Ada orang cari kaulah.” Suara Syarifah, teman serumahku mengganggu konsentrasiku untuk menaip. Ah! Terhenti lagi. Hilang segala idea yang datang. Siapa yang kacau ni?!
“Siapa?” soalku.
“Entah. Aku tak tahu, babe.” Syarifah bersuara.
“Aku pergi tengok sendirilah.” Aku bangkit meninggalkan komputer ribaku. Aduhai! Rasa malas sungguhlah nak bangun... kaki melangkah ke luar rumah. Nyaris rahangku tak terjatuh ke lantai melihat empunya badan. Dia?!
“Awak?” soalku terkejut.
“Ya.” Jawabnya.
“Mana dapat alamat rumah ni?” soalku. Setahu aku, tiada sesiapa yang tahu alamat rumah sewaku selain daripada keluargaku.
“Err, saya ikut awak tempoh hari.” Ujarnya. Aku mengeluh. Dia ni nak apa lagi agaknya?! Sampai jadi stalker berjaya begini... aduhai. Menakutkan betul. Tak serik-serik lagi ke kena basuh dengan aku? Virus jenis apa dia ni sampaikan Avast pun tak berfungsi?
“Apa yang awak nak? Tak malu muka nak muncul kat sini?” soalku sinis. Kalau cakap baik-baik dia tak mahu dengar, mehlah aku basuh bagi berkilat terus. Sakit pula hati ini diganggu dia. Mak dan abah aku melarang sama sekali untuk aku berkawan dengan dia! Mak dan abah pun tahu serik dengan dia!
“Manda, saya cuma nak awak tahu... saya minta maaf. Saya tahu saya dah buat malu kat keluarga awak. Saya tahu salah saya.” Safwan masih tidak berputus asa.
“Baguslah kalau awak dah tahu!” aku membidasnya selamba.
“Bagi peluang dekat saya, Manda...” rayunya lagi. Rimas sungguh aku! Himpunkanlah kekuatan dan kesabaran aku, Ya Allah!
“Untuk?” soalku sinis.
“Untuk perbaiki semua ni...” dari dulu lagi itulah ayatnya.
Perbaiki apa? Dia tu umpama tikus membaiki labu! Makin teruk keadaan sekarang disebabkan dia. Sampai tak lena tidur aku kerana bimbang dengan perubahan sikap dia. Tiba-tiba jadi terkejar-kejarkan aku, siapa tak bimbang? Sedangkan selama ini, muka aku inilah dia paling tak mahu pandang.
“Hello, mister! Dah terlambat okey? Tak ada apa-apa dah yang boleh diperbaiki.” aku memetik jari dengan gaya gedik di hadapannya. Lebih kepada menyindir.
“Kenapa?” soalnya dengan muka terkilan.
“Saya dah bertunang dengan orang lain.” bohongku.
Automatik kepala terbayangkan Daniyal. Kalaulah Daniyal serius nakkan aku, dia sepatutnya jumpa mak abah aku dan terus ikat aku sebagai tunangnya. Bercakap tentang hal kami... aku juga yang tak beri dia harapan bukan? Jadi bukanlah salah Daniyal jika dia tidak bertindak apa-apa. Ah! Aku sendiri pun tak yakin sama ada dia serius atau tidak nakkan cinta aku.
“Bila?” suara Safwan yang berpadu dengan satu lagi suara garau mengejutkan aku daripada terfikirkan Daniyal. Aku menoleh. Eh?!
“Eh! Awak?!” soalku terkejut! Ya Allah. Macam mana dia boleh muncul di sini pula? Apakah dia itu sebenarnya ahli nujum? Boleh baca fikiran aku? Bukankah sekarang dia sepatutnya berada di Manchester?
“Ya saya...” Daniyal menyahut lemah.
Sejambak bunga ros di tangannya disorok ke belakang badan. Untuk akukah? Ya Allah. Berdebar pula rasa hati bila dah berjumpa dengan dia. Dalam keadaan aku tak sangka pula tu. Dan... penampilan dia boleh mencekik leher aku. Dia berkemeja kemas berbutang. Lengan panjang dilipat sehingga ke siku. Seluar slack berwarna hitam nampak sesuai dengan kakinya yang panjang itu. Rambut yang kemas bersikat menampakkan yang dia itu seorang yang berkarisma. Oh tuhan!
Macam mana pula dia boleh berada di sini? Maksud aku, di depan aku! Di depan rumah sewa aku! Rasa macam mimpi pula!
“Siapa ni?” soalan Safwan mengejutkan aku.
“Inilah dia tunang saya, Encik Safwan. Nama dia, Daniyal Haris.” Aku memperkenalkan Daniyal kepada Safwan. Muka Daniyal nampak macam terkejut. Mahunya tak terkejut? Sampai sahaja di sini, terus aku perkenalkan dia sebagai tunanganku sedangkan selama ini aku menolak untuk menjadi kekasihnya. Bila dah terdesak, macam-macam idea gila yang keluar!
“Macam nama budak-budak aje. Awak tipu saya ni.” kutuk Safwan selamba. Ya Allah! Betullah itu nama penuh Daniyal. Teruk sungguh Safwan ni. Ya, pendapat aku dulu juga sama. Nama tu tak sesuai untuk orang yang berusia hampir tiga puluh tahun macam Daniyal.
“Ya, dia tipu...” kata Daniyal sambil menjelingku. What? Dia tak back up aku ke? At least, tolonglah menyamar jadi tunang aku sekejap. Dia tak nampak ke situasi sekarang sangat rumit?! Oh! Aku faham. Dia tentu tidak mahu aku menjadi tunangannya. Tentu dia rasa dipergunakan. Jahatnya aku...
“I knew it!” Safwan bersorak.
Aku mendengus. Tak suka sungguhlah! Benci aku pada Safwan bertambah sepuluh darjah. Rasa sakit hati dengan Daniyal tiba-tiba muncul. Habis tu Daniyal anggap aku ni apa? Kenapa dia siap datang dengan bunga bagai kalau dia tak cintakan aku?
“Dia tipu sebab dia bukan tunang saya sebaliknya dia bakal isteri saya. Terima kasih kerana memutuskan pertunangan awak berdua dulu untuk saya... Amanda, will you marry me?” soalan dia membuatkan aku tersedak! Ya Allah. Kejutan apa lagi yang Daniyal nak bagi ni? Dia ni serius ke?
“Jangan terima dia, Manda...” Safwan memujukku. Aku tidak mengendahkan dia sebaliknya hanya memerhati tingkah Daniyal. Dia mengeluarkan sekotak cincin dari poketnya dan dibuka di hadapan aku. Okey. Aku rasa macam sedang shooting filem pun ada. Silap besarlah kalau orang pilih aku sebagai heroin. Muka tak cantik mana pun...
“Errr... Macam mana awak boleh cari saya sampai ke sini?” soalku cuba mengubah topik. Daniyal hanya tersenyum.
“Saya add friend adik awak dekat Facebook. Selepas tu, saya minta alamat rumah mak awak dekat adik awak. Saya bagitahu niat saya pada mak dan abah awak. Ikhlas nak memperisterikan awak... dan, mereka berikan saya alamat rumah awak untuk awak sendiri yang buat keputusan.” Beritahu Daniyal. Oh tuhan! Masih wujud rupa-rupanya lelaki yang sebegini gentle. Berani betul dia. Bertindak sendiri pula tu.
“Oh Daniyal. Kenapa saya...?” ujarku terharu. Air mata mula bertakung. Safwan sudah tercengang. Tidak tahu hendak menyampuk celah mana agaknya. Memang bye-byelah Safwan!
“Sebab saya cintakan awak. Amanda, awak satu-satunya gadis yang tak perlu buat apa-apa untuk memaksa saya membuka mulut. Saya jatuh cinta pandang pertama pada awak. Please don’t say no to me.” Rayu Daniyal. Oh tuhan! Comel sungguh dia buat muka merayu begitu.
“No... no... no...” Safwan menghasutku untuk berkata tidak. Hello, mister! Kalau aku cakap no, membohonglah! Aku dah lama suka pada Daniyal. Dia buat sesuatu yang sweet begini pula. Orang gila pun tak mahu menolak.
“Errr... Yes?” jawabku sambil mengulum senyum.
Tiba-tiba rasa bahagia menyelinap di ruang hati. Begini rupa-rupanya perasaan dilamar seorang lelaki yang kita suka. Dan, lega. Dia serius denganku. Safwan menggeleng-gelengkan kepalanya. Riak kecewa jelas terpancar di wajahnya. Perlahan-lahan dia melangkah pergi. Aku hanya mampu menghantar pemergiannya dengan pandangan simpati. Maaf, Safwan. Saya tak pernah rasa apa-apa pada awak melainkan bengang.
“Betul?” soalan Daniyal membuatkan aku terkejut.
“Betul apa?” soalku sekadar menguji. Riak Daniyal nampak keruh.
“Jadi awak kata ‘yes’ semata-mata untuk lihat dia pergi dari awak, kan?” soal Daniyal kecewa.
“Taklah. Saya bergurau saja. Betul. No doubt. Saya sudi. I do. I do. I do. Saya pun cintakan awak dan nak kahwin dengan awak.” balasku jujur. Tak malunya aku! Senyumannya kembali mekar. Jambangan bunga dan kotak cincin yang dihulurkan dia, aku sambut dengan penuh rasa bahagia. Ya Allah. Benarkah dia jodohku?
YOU ARE READING
Koleksi Cerpen Dekna Lee
General FictionKoleksi cerpen Dekna Lee dari blog yang dimasukkan ke sini atas permintaan beberapa pihak. 🚫 Dilarang plagiat Cerpen ini belum diedit. Harap bersabar baca tulisan tunggang langgang. Enjoy! ♥️ When I Was Your Man ♥️ Hello, Mister! ♥️ Fathea