2 | Bebas?

5.8K 82 55
                                    

"Okey. Di sini barangan yang disimpan bila stok sampai. Tugas kau adalah untuk kira barang tersebut dan susun pada rak pameran di luar" ajar seorang wanita pertengahan dua puluhan yang juga pekerja lama di pasaraya tersebut.

Luqman mendengar dengan tekun dan sabar. Hari ini dia dilatih untuk mengendalikan tugas hariannya sebagai penjaga stor. Hatinya bersyukur kerana dia kini bergelar pekerja yang menerima gaji bulanan dan mampu menampung kehidupannya bersama adik-adik.

"Ni senarai barang yang selalunya kita terima. Pastikan barang ni cukup dan kalau ada barang yang rosak atau tidak elok masa baru sampai kena catat dalam buku ni" jelas wanita itu lagi.

Nampaknya kerja Luqman tidak terlalu susah berbanding kerja lamanya sebagai mekanik di kedai motorsikal Abang Awang. Di sana dia perlu tahu bahagian-bahagian motorsikal dan teknik betul untuk membaiki motorsikal. Dia juga perlu tahu sedikit sebanyak tentang jenis motorsikal. Tapi kali ini dia tidak perlu menggunakan skil yang banyak. Hari pertama Luqman bermula dengan membantu pekerja senior  untuk menyusun dan menambah stok barangan.

"Kamu ini akak tengok muda lagi. Tak terfikir nak sambung belajar ke?" soal Kak Timah yang juga salah seorang pekerja senior di situ.

"Malaslah kak, lagipun saya bukannya bijak sangat. Cukuplah adik-adik saya yang sambung belajar ke peringkat lebih tinggi" balas Luqman sambil tersenyum.

"Sayangnya dik oi! Kamu muda lagi, patutnya sambunglah belajar. Jangan sia-siakan masa kamu" bebel Kak Timah

Luqman hanya membalas dengan senyuman. Bukan dia tidak bersetuju dengan cadangan kak Timah, tapi keadaan memaksa dia untuk berkorban untuk adik-adiknya lagipun dia tidak berminat untuk sambung belajar dan lebih fokus untuk mencari rezeki. Itulah yang terbaik waktu ini.

***

"Abang makanlah perlahan sikit. Janganlah gelojoh" tegur Salina yang melihat Luqman makan dengan lahapnya.

Luqman tersenyum dengan mulut penuh, terasa malu ditegur begitu. Tapi dia benar-benar lapar kerana tidak makan tengah hari tadi. Duit simpanannya juga semakin berkurang dan dia lebih mementingkan wang saku Salina dan Zain. Oleh sebab itu waktu makan tengah hari tadi, Luqman hanya makan biskut marie beberapa keping yang dibawa dari rumah dan makan di dalam tandas. Dia malu untuk keluar makan bersama rakan lain sebab tidak mempunyai wang. Hampir saja air matanya tumpah kerana makan sambil menyorok begitu.

"Abang nak bawa bekal tak esok?" soal Salina 

"Eh kenapa pula?" soal Luqman

"Yelah, duit abang kan sudah bagi pada Salina dan Zain untuk belanja, abang mesti tak cukup duit. Jadi lebih baik bawa bekal" cadang Salina

Luqman bangga dengan pemikiran adiknya yang masih muda namun matang. 

"Eh tak mengapalah, abang masih ada wang" tipu Luqman.

Luqman sebenarnya bersetuju dengan cadangan Salina, akan tetapi ketika ini keadaan mereka agak daif dan makanan pula terpaksa dicatu. Luqman sudah membuat kiraan dan hasilnya dia perlu makan sekali sehari jika tidak bekalan makanan mereka habis ditambah lagi gaji Luqman masih lambat untuk diterima. Walaupun Zain dan Salina makan dua kali sehari namun kuantitinya sedikit. Oleh sebab itulah Luqman yang terpaksa berkorban kerana dia tahu dia jenis makan dalam kuantiti yang banyak. 

"Tengok buku Matematik" pinta Luqman sewaktu memeriksa kerja sekolah Zain selepas makan malam bersama.

"Adik tak tahu nak buat soalan nombor tujuh ni" kata Zain

Luqman mengajar Zain bagaimana hendak menyelesaikan masalah itu sementara Salina sibuk mengulang kaji pelajarannya.

"Terima kasih abang, Zain sudah faham sekarang" kata Zain selepas berjaya menjawab soalan nombor tujuh

"Sama-sama. Sudahlah pergi tidur, esok mahu sekolah kan" kata Luqman

"Baiklah. Tapi balik sekolah nanti Zain nak melawat Ayah lagi boleh?" pinta Zain yang manja

"Alah tunggulah abang cuti baru kita melawat" balas Luqman

"Tak mahulah, abang kalau cuti bukannya mahu melawat Ayah, abang nak tidur saja" kata Zain

Luqman terdiam, memang benar sudah lama dia tidak melawat Ayah angkatnya di penjara. Dia sebenarnya mengelak dari bertemu lelaki durjana itu dengan memberi alasan penat dan ingin tidur tapi hakikatnya Luqman enggan bertemu Ayah Borhan di penjara. Perbuatan Ayah Borhan susah untuk dimaafkan. 

"Habis tu takkan kamu nak pergi sendiri saja esok? berani ke?" soal Luqman

"Tak takut pun sebab kakak selalu teman adik ke sana" balas Zain dengan bangga

"Adik!" tegur Salina sambil membesarkan biji mata. Raut wajahnya kelihatan marah.

"Betul ke Salina?" soal Luqman yang turut terkejut

Salina menundukkan wajah sambil mengangguk perlahan. Tak sangka selama ni Salina dan Zain rajin melawat Ayah Borhan di penjara tanpa pengetahuan Luqman. Dia berasa dikhianati.

"Sudahlah, Zain pergi tidur sana" kata Luqman

Zain menurut kata dan mengemas buku kemudian bergegas ke bilik tidur.

"Kenapa tak pernah minta izin abang melawat Ayah?" soal Luqman

"Sebab abang takkan benarkan. Salina rasa abang bencikan Ayah" jawab Salina jujur

"Tidaklah, itukan Ayah abang juga. Abang tak bencikan dia, abang cuma sibuk saja" tipu Luqman

"Betul ke? baguslah abang masih sayangkan Ayah. Gembiranya hati. Nanti bolehlah kita sama-sama jemput Ayah bebas dari penjara" kata Salina yang teruja

"Apa?! Ayah bebas? bila?" soal Luqman yang terperanjat

"Tiga bulan lagi" balas Salina yang tersenyum girang

'Oh tidak! lelaki durjana itu akan kembali?' kata hati Luqman



Bersambung,,,

MR. OTOT : MEMORI (Siri 3.1)Where stories live. Discover now