10 | Hidup Baru

3K 67 34
                                    

Perkahwinan Luqman dan Rahimah pada awalnya sedikit mencabar dek kerana jarak. Rahimah di Selangor masih berusaha menamatkan pelajarannya sementara Luqman di Sarawak mencari rezeki. Namun itu tidak mematahkan semangat Luqman untuk tetap berhubung dengan Rahimah walaupun dipisahkan oleh air laut yang dalam.

Peluang untuk bertemu juga agak terhad kerana Luqman perlu biaya yang agak banyak untuk ke Selangor semata-mata mahu bersama wanita yang dicintai. Tapi usaha Luqman tidak pernah sia-sia kerana setiap kali ketibaannya akan disambut dengan baik oleh sang isteri yang memahami pengorbanan seorang suami. 

Kehidupan mereka tetap bahagia dan berjalan lancar lebih-lebih lagi ketika Rahimah tamat latihan industri di Selangor dan seterusnya kembali ke Sarawak disamping suami. Di mana tempat yang sepatutnya dia berada, tidak dapat digambarkan dengan kata-kata bertapa gembira dan bangganya Luqman tatkala melihat sang isteri menerima segulung ijazah. Satu pencapaian yang tidak dapat Luqman rasai seumur hidupnya.

Sekembalinya mereka di Sarawak, Rahimah tidak membuang masa untuk duduk di rumah, sebaliknya wanita itu penuh semangat ingin memulakan kerjaya. Bidang pengurusan pejabat yang diambil tidak boleh disia-siakan dan satu sikap yang Luqman tidak tahu tentang isterinya adalah, wanita itu sebenarnya bijak mengurus kewangan bercita-cita menjadi usahawan berjaya. 

"Sayang dah terima kerja di Syarikat AON tu abang" kata Rahimah ketika sedang sibuk menggosok baju kurung yang akan digunakan pada esok hari.

"Oh ya? Alhamdulillah. Bila kamu mula bertugas?" soal Luqman baru selesai membasuh pinggan di sinki.

"Esok" balas Rahimah bersahaja

"Esok? awalnya. Kamu baru saja sampai sini tiga hari lepas. Tidak terlalu awal ke untuk kamu mula bertugas?" soal Luqman yang agak terkejut dengan jawapan isterinya

Rahimah tersenyum sambil menyarungkan baju kurung tadi pada penyangkut pakaian yang terletak disebelahnya. Dia sudah selesai menggosok baju.

"Sayang tahu. Tapi lebih baik sayang kerja sekarang dari buang masa duduk di rumah" balas Rahimah yang kemudian mematikan suis sterika.

"Bukan itu maksud abang. Ada baiknya kalau kita bermalam di rumah mak dahulu, tolong apa yang patut selama seminggu dua. Kemudian kamu mulakanlah kerja. Lagipun kamu tak penat ke lepas belajar terus kerja?" pujuk Luqman

Luqman sebenarnya ingin bersama sang isteri lebih lama kerana dia tahu jika Rahimah mula bertugas, jadual mereka akan lebih padat dan sibuk. Sudahlah mereka tidak sempat berbulan madu kerana hari keempat selepas majlis Rahimah sudah kembali ke menara gading. Belum puas rasanya Luqman bermesra dengan si isteri.

"Mak tu okey saja sayang tengok. Dia masih sihat lagi kan. Jadi tak perlulah kita bermalam di sana. Masa cuti kita melawatlah sekejap" cadang Rahimah pula

Luqman mati akal. Nampaknya Rahimah benar-benar nekad mahu bekerja.

"Okey tapi kalau kamu tangguhkan dulu lapor diri kamu boleh? Abang ingat nak ambik cuti. Kita jalan-jalan" cadang Luqman yang tidak mahu mengalah.

"Jalan-jalan? ke mana?" soal Rahimah yang berkerut dahi

"Sekitar sinilah. Ke pantai Damai?" tambah Luqman lagi

"Bosanlah. Sudah selalu ke sana. Lagipun sayang memang tak boleh tangguh sebab sudah tanda tangan surat penerimaan jawatan. Bukan senang-senang mahu ubah" jelas Rahimah

Luqman menyembunyikan perasaan kecewanya. Kalau boleh dia tidak mahu mengawal isteri lebih-lebih. Membenarkan Rahimah bekerja sebenarnya satu keputusan yang cukup berat bagi Luqman, akan tetapi demi menyokong dan memahami kehendak  isteri, Luqman relakan saja.

Usia perkahwinan mereka masih muda namun banyak yang Luqman pelajari, sikap bertolak-ansur dan banyak mengalah telah mengubah Luqman dari seorang yang sedikit ego kepada seorang yang boleh dibawa berbincang. Jika sebelum ini, segala keputusan ditangan Luqman sementara Zain dan Salina hanya menurut. Namun kini, perbincangan antara Rahimah dan Luqman perlu ada sebelum buat sebarang keputusan. Sesuatu yang agak janggal bagi Luqman.

***

"Tak sangka Kak Shaz nak berhenti" kata Luqman 

"Yelah Man, Akak kena ikut suami pindah semula ke semenanjung. Suami dapat kerja di Kuala Lumpur" balas Shazwani

"Bila last day?" soal Luqman lagi

"Lambat lagi. Akak pun belum serah surat" balas Shazwani

"Oh. Tak apalah, rezeki akak dekat tempat lain. Nanti kita buat makan-makanlah sebelum akak berhenti" cadang Luqman

"Okey juga tu. Buat potluck lah" balas Shazwani pula

Luqman merasa itu cadangan yang bagus. Tiba-tiba telefonnya berbunyi dan Luqman segera mengangkat.

"Helo?" kata Luqman

"Abang. Sayang kat hospital ni" kata Rahimah di hujung talian

"Huh? kenapa? sayang sakit?" soal Luqman yang risau

"Tadi rasa macam tak sihat sikit sebab tu pergi periksa dengan doktor" balas Rahimah

"Laa..jadi sekarang bagaimana? semua okey? kena tahan wad ke?" soal Luqman bertubi-tubi

"Eh tidaklah, semua okey saja. Cuma ada berita nak kongsi. Sayang mengandung abang! Kita bakal ada cahaya mata" balas Rahimah

Jantung Luqman terhenti seketika dan dia tergamam. Perasaan bercampur baur dan dia mati ayat.

"Abang?" soal Rahimah yang risau jika suaminya pengsan setelah menerima berita mengejut itu

"A..abang okey. Alhamdulillah Syukur" kata Luqman pula.

Selesai berbual Luqman menamatkan panggilan. Haitnya bercampur baur dengan berita ini. Separuh jiwanya gembira kerana bakal memiliki zuriat, manakala separuh jiwanya lagi gentar akan tanggungjawab yang perlu dipikul. Dia belum bersedia untuk membesarkan seorang anak pada usia perkahwinan mereka yang masih terlalu awal.

"Harap-haraplah semuanya lancar" doa Luqman sendirian.

Bersambung..

MR. OTOT : MEMORI (Siri 3.1)Where stories live. Discover now