8 | Bersatu

3.4K 75 42
                                    

"Tahniah Luqman dan isteri" kata Shazwani yang kemudian bersalaman dengan Rahimah

Shazwani adalah salah seorang rakan pejabat Luqman di tempat dia bertugas di Kilang. Wanita itu tua enam tahun dari Luqman dan sudah berumah tangga namun belum mempunyai cahaya mata. 

"Terima kasih kak Shaz" balas Rahimah dengan sopan.

Dua tahun bekerja sebagai pembantu pengurus, Luqman diberi kesempatan untuk mengikuti kursus di Negeri Selangor selama seminggu. Di sana dia telah bertemu semula dengan Rahimah yang ketika itu menyambung pelajaran di sebuah universiti tempatan. Pertemuan mereka memang tidak dijangka dan hubungan lama kembali terjalin. 

Luqman tidak menunggu lama untuk melamar Rahimah  sebagai kekasih setelah mengetahui bahawa Rahimah sudah setahun hidup solo  sejak berpisah dengan Eman. Peluang keemasan itu diambil dan dia bersyukur kerana Rahimah tidak menolak bahkan menyatakan bahawa dia juga ada menyimpan perasaan terhadap Luqman sejak mereka berkenalan di tempat kerja lama lagi. 

Pada masa yang sama, Salina sedang menyambung pelajaran dalam bidang kejururawatan di Selangor juga tapi tidak dapat menghadiri majlis pernikahan Luqman dan Rahimah. Luqman faham tetapi terkilan kerana hari bahagia itu sepatutnya dikongsi bersama seluruh ahli keluarganya. Luqman sudahpun menyediakan wang yang cukup untuk tiket pergi-balik Salina khas untuk hari pernikahannya.

"Akak ada belikan hadiah untuk kamu berdua. Sudah diserahkan pada adik kamu tadi" sambung Shazwani

Luqman tersenyum sambil mengangguk perlahan. Majlis pernikahan mereka sederhana namun meriah dengan kehadiran ramai insan yang datang membawa hadiah dan wang. Doa-doa mereka juga amat Luqman hargai walaupun nikah tanpa bersanding. Mujurlah Tok Lakir dan Nek Suli setuju tanpa banyak bicara asalkan yang wajib telah ditunaikan. 

Luqman dan Rahimah kini sedang melayan tetamu yang menjamu selera sambil lengkap berpakaian pengantin. Baju Melayu putih bersampin cukup tampan dan sesuai dengan tubuh kurus Luqman manakala Rahimah cukup sempurna dengan gaun pengantin dan tudung putihnya sambil mengenggam bunga tiruan.

"Rahimah dah tamat belajar kan?" soal Shazwani

"Belum lagi kak, perlu selesaikan latihan industri dahulu kemudian barulah tamat" balas Rahimah.

"Eh la ingatkan dah sudah..hm...tak sabar betul si Luqman ni ye" perli Shazwani

Luqman mula naik segan. Kelihatan seperti Luqman pula yang terhegeh-hegeh ingin menikah dengan cepat. Sedangkan cadangan itu dari Rahimah. Jika diikutkan, Luqman ingin melangsungkan perkahwinan mereka selepas Rahimah tamat latihan industri atau selepas graduasi. Namun Rahimah mahu acara itu dipercepatkan atas alasan khuatir Luqman bakal diambil orang lain. Setelah berbincang dengan Tok Lakir dan Nek Suli, mereka bersetuju dan acara perkahwinan itu dilangsungkan ketika Rahimah masih cuti semester. 

Sedang Luqman sibuk melayan tetamu lain, matanya tertangkap susuk tubuh lelaki yang dia kenali. Lelaki itu seperti menjenguk dan tercari-cari seseorang. Luqman menghampiri lelaki terbabit tanpa lelaki itu sedari, meninggalkan Rahimah dengan tetamu lain.

"Encik?" tegur Luqman

Lelaki itu terkejut dan mula panik

"Luq..Luqman" balasnya seperti ketakutan

"Eh? Ayah sudah sampai?" sampuk Zain yang tiba-tiba muncul

Lelaki tersebut adalah Ayah Borhan yang dijemput oleh Zain pada hari pernikahan Luqman tanpa pengetahuannya. Sungguh Luqman terkilan dan pelik bagaimana Zain boleh berhubung dengan Ayah Borhan. Setahu Luqman lelaki itu sudah lama menghilangkan diri, terlalu lama sehingga Luqman boleh melihat perubahan pada berat badan dan wajah lelaki itu. 

Ayah Borhan seperti malu-malu. Tangan dihulur untuk bersalam dengan Luqman dan disambut lemah. Luqman langsung tidak memeluk Ayah Borhan dan kelihatan seperti tidak selesa dengan kehadiran lelaki itu.

"Jemput masuk Ayah" tambah Zain selepas bersalaman dan memeluk lelaki itu 

"Kalau Luqman benarkan" balas Ayah Borhan yang memandang wajah pengantin lelaki

"Dah sampai pun kan. Masuk sajalah" balas Luqman pula dengan nada dingin 

Zain terlopong mendengar respon itu lalu menarik tangan Ayah Borhan untuk masuk ke dalam khemah makan. Luqman pula terus berlalu pergi. Hilang mood kerana bertemu lelaki durjana yang pernah merosakkan hidupnya.

"Ayah jangan ambil hati ye dengan kata-kata Abang" pujuk Zain

"Ayah faham. Tapi Ayah takut nak bawa pasangan Ayah sekali" balas Ayah Borhan

"Tak apalah. Jemput Ibu. Kasihan Ibu sendirian dalam kereta tu" kata Zain

Ayah Borhan tersenyum dan menuju ke kereta untuk menjemput isteri barunya keluar. Sepanjang pemergian Ayah Borhan, dia telah berdikari untuk hidup sendiri dan telah bertemu jodoh baru. Seorang wanita berbangsa cina yang baru sahaja menukar agamanya. Mereka bersama-sama menjalani hidup bahagia walaupun jauh di sudut hati Ayah Borhan dia merindui anak angkatnya. 

Oleh itu, dia sering melawat Zain dan Salina di sekolah dan meminta agar dirahsiakan dari Luqman. Kerana itulah Salina dan Zain seperti tidak terkesan dengan permergian lelaki berisi itu. Ayah Borhan juga sudah beberapa kali pernah membawa Salina dan Zain tidur dirumah barunya bersama Marwaheeda, isteri baru Ayah Borhan. Zain dan Salina sering memberi alasan mereka ada aktiviti perkhemahan di sekolah sedangkan mereka bermalam dirumah Ayah Borhan. Hubungan mereka sangat baik seperti satu keluarga yang lengkap tapi Ayah Borhan tetap mahu Luqman menjadi sebahagian dari hidupnya.

***

"Tahniah awak" kata seorang lelaki pada Rahimah

Rahimah menunduk dan tidak mampu memandang wajah lelaki yang pernah bertakhta di hatinya satu masa dahulu. 

"Awak apa khabar, Eman?" soal Rahimah dengan nada perlahan

"Baik. Awak nampak cantik sangat. Saya gembira melihat keadaan awak sekarang" kata Eman

Rahimah menelan liur dan menahan sebak di dada. Tipulah kalau dia tidak rindukan Eman. Percintaan mereka hampir tujuh tahun terputus di tengah jalan dek kerana ego masing-masing. Kalaulah masa boleh diputar, nescaya Rahimah dan Eman akan bertindak lebih matang dan mungkin mereka yang bergelar suami-isteri. Tapi jodoh itu ketentuan Tuhan dan ternyata hubungan mereka sampai di situ saja. 

"Sayang?" panggil Luqman yang menyedarkan Rahimah dari lamunan

"Maaf, saya minta diri. Tempat saya disisi suami" kata Rahimah sebelum berlalu pergi

Meninggalkan Eman dengan seribu sesalan.



Bersambung...

MR. OTOT : MEMORI (Siri 3.1)Where stories live. Discover now