Merdeka

21 3 0
                                    

Padang jarak padang tekukur
Jahanam dilanda penjajah durjana
Indah manis janji ditabur
Manisnya palsu hidup merana.

Dentam dentum sana dan sini
Terputus kepala tangan dan kaki
Kerana ideologi dan sakit hati
Tegar membunuh bangsa sendiri.

Orang yang datang membawa onar
Menjadi duri di dalam isi
Tuan yang berani kerana benar
Meski nyawa menjadi ganti.

Bangsa kita bangsa beradab
Penuh santun budi bahasa
Yang datang tidak beradab
Diberi budi balasnya tuba.

Darah, daging dan air mata
Saksi juang dan gigih mereka
Beza rupa lain warna lain agama
Tapi sepakat, iltizam sama.

Tiga duri, kejam, tajam menikam
Racun menjalar makan dalam
Warga nan setia tegar bertahan
Tekad disemat, pakukan azam
Keringat, darah, doa siang dan malam
Agi idup, agi ngelaban.

Kini, berlalu sudah segala derita
Tinggal kenangan penuh rasa
Menjadi pelita, menyusur gelita
Menyuluh ilham nadi bangsa.

Rapat berganding kukuh pegangan
Genting disulam, jarang dijalin
Usah berpaling pada hasutan
Kelak rapuh ikatan dipilin.

Yang dibina biar tegak
Yang dibentang biar lebar
Yang tinggi kita kepuncak
Yang datar kita memugar

Dibaruh, sama menjala
Didarat, sama membatas
Disempadan, saling menjaga
Dihati, sama ikhlas.

Insyaallah, alhamdulillah.🇲🇾

Salam Merdeka ke 62
Salam Awal Muharram 1441H

Red_aWan🍓
04/09/2019, Rabu














Puisi KuWhere stories live. Discover now