Dinihari...

14 1 0
                                    

Waktu - waktu mata para warga hampir lena, ada insan yang tiba - tiba mindanya diterjah gundah. Hatinya dipeluk resah. Ada jiwa - jiwa yang disarung gelisah.  Lalu, harapan untuk memintal mimpi yang indah, tertinggal dibawah bantal...

Ada rasa yang mendongkol kerana orang disebelahnya mampu lena, tidur mati dalam dengkur menderam - deram. Tidak pedulikan hati orang sebelah yang berendam lara dek dapur yang tidak berasap. Beras habis, duit tipis. Beras beberapa butir yang ada, ditanak, dimakan berlaukkan kicap. Disantap anak - anak kecil besar tanpa kata. Asalkan perut yang kosong, terisi jua. Bukan lapar kerana miskin, bukan terabai kerana gelandangan... Cuma hidup dalam bahtera yang teroleng - oleng. Pendayung tak patah, layar tak koyak, kapal pun tak bocor cuma nakhoda tak pandai kemudi.

Ada pula hati yang sayu, kerana hajat yang payah dicapai. Indah diangan, cantik dipandang. Menyangkut hajat pada bulan, menggayut angan pada bintang. Hati teringin, akal pun mahu... Sayangnya dahan pautan, rendang ke tanah. Tegaknya tinggi tapi pucuk, diam tunduk. Tinggallah hati yang berhajat sebagai pungguk... Hendak terbang membelah awan, sayap tak mampu meranduk ribut.

Ada juga hati yang besar angannya, semua hiasan dunia dimahunya. Apa saja yang mewah, yang indah, itulah impinya. Ah! Semua hati berkehendak begitu tapi hakikat, tak semua mampu. Rezeki masing - masing, untung rugi asing - asing. Mana dalam tangan, genggam erat. Mana dalam pelukan, dakap kuat. Kerana yang belum didapat, kalau tak dapat, belum tentu kan rugi. Tapi... Apa yang dah didapat, kalau dilepas, khuatir kesal separuh mati. Hati - hati, hati!

Sudah - sudahlah bimbang. Cukup - cukuplah walang. Biarlah lena menghapus kusut serabut, walau seketika cuma. Kerana hidup ini, perjalanan yang panjang... Esok harus berlelah lagi. Esok harus berjuang lagi. Pejamkan mata, jemputlah lena.

Astaghfirullahal'adzim.
Astaghfirullahal'adzim.
Astaghfirullahal'adzim.
Bismillah, dengan nama Allah, aku mati dan aku hidup.

Red_aWan🍓
Khamis, 12/09/2019
1.30am

Puisi KuWhere stories live. Discover now