Pagi itu seperti kebiasaannya, Victor akan menyinggah rumah Erix untuk mengajak sahabatnya itu ke sekolah bersama-sama.Pintu rumah flat itu diketuknya buat beberapa kali. Namun, langsung tiada sahutan dari dalam.
"Erix, aku dah sampai ni! Jom la sebelum kita lambat." Victor bersuara sambil mengetuk-ngetuk pintu rumah rakannya itu.
Seperti tadi, langsung tiada sahutan dari rakannya itu.
Victor mengundur beberapa tapak, lalu menundukkan sedikit tubuhnya. Dia cuba melihat dari bahagian bawah pintu. Dia berdiri, lalu berpeluk tubuh.
"Gelap je rumah. Tak bangun lagi ke?" Victor bergumam sendiri.
Tiba-tiba dirinya disapa oleh jiran sebelah rumah.
"Tunggu Erix ke?" Wanita separuh usia itu bertanya ramah.
"Ya, mak cik."
Wanita itu memandang sekilas pintu rumah Erix sebelum kembali memandang wajah Victor dengan senyuman kecil terlakar di bibirnya.
"Erix dah ke sekolah awal pagi lagi. Mak cik tengok kelam kabut dia bergerak pagi tadi."
Victor terus terdiam mendengar kata-kata iran rakannya itu.
"Tak apalah macam tu. Terima kasih, mak cik."
Wanita itu tersenyum mesra.
Victor terus berjalan pergi. Dia menuruni satu persatu anak tangga sambil memikirkan tentang Erix.
"Pelik betullah." Langkahnya terus dipercepatkan. Tiba saja di tingkat bawah, Victor terus menaiki motornya yang saja tidak dimatikan enjinnya. Motor terus ditunggang laju menuju ke arah sekolah.
Dalam pada itu, Erix yang sudah tiba di sekolah terlebih dahulu, duduk berseorangan di dalam kelas. Pandangannya tertumpu ke luar. Memandang bukit yang jauh nun di sana dari kelasnya yang berada di tingkat tiga.
"Haih."
"Awal-awal pagi lagi dah mengeluh."
Erix terkejut kerana disapa secara mengejut.
"Lara."
Lara mengambil kerusi dari tempat duduk hadapan, lalu memusingkannya agar menghadap Erix sebelum dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi itu.
"Awal kau datang. Victor mana?"
Erix menggeleng sebelum kembali memandang keluar.
"Pelik. Selalunya korang berdua akan ke sekolah sekali. Kenapa? Korang gaduh ke?" Lara bertanya ingin tahu.
"Tak ada apa pun yang jadi. Tak payah nak tahu sangatlah."
Lara tersentak dengan gaya Erix bercakap dengannya.
"Betullah ni korang gaduh?" Lara masih mahu meneka.
Erix tidak menjawab.
"Erix, jawablah." Lara mendesak mahu tahu. Dia mahu tahu juga, apakah penyebab dua sahabat baik itu bergaduh dan tahap manakah pergaduhan mereka berdua.
Erix yang mula rimas dengan persoalan Lara, mengambil keputusan untuk berlalu pergi. Dia berdiri, tetapi Lara pantas menghalang laluan remaja lelaki itu dengan mendepakan tangannya.
"Jawab dulu soalan aku." Lara memaparkan ketegasannya. Tiba-tiba matanya terpandang akan luka di bawah dagu Erix serta calar pada kedua-dua belah tangan rakannya itu.
"Apa jadi dekat kau? Diaorang buli kau lagi ke? Jom aku bawak kau ke bilik rawatan." Lara mencapai tangan Erix.
Erix segera menepis hinggakan Lara terundu beberapa tapak ke belakang.

YOU ARE READING
THE TALE OF DRAKE
FantasyErix seorang remaja lelaki yang lemah dan sering dipergunakan oleh orang sekelilingnya. Dirinya juga turut dikhianati oleh sahabat baiknya. Disebabkan rasa putus asa dengan hidup dan dendam terhadap mereka yang mempergunakan dirinya, Erix mengambil...