Dua hari kemudian
Hari ini seperti biasa, Lara akan melawat Erix dan membawa bekal makanan buat sahabtnya itu.
Hati remaja perempuan itu berbunga riang. Entah mengapa, tiap kali bertemu dengan Erix, dia pasti akan berasa gembira. Senyuman tidak lekang di bibir. Wajahnya pula memancarkan seri kegembiraan.
"Erix." Pintu dibuka luas. Lara terus terkaku di hadapan pintu wad Erix.
"Kau nak ke mana, Erix?" Lara bertanya. Dia disapa kehairanan apabila melihat Erix mengemas katil serta bilik yang menempatkan remaja lelaki itu.
"Aku dah boleh balik." Erix menjawab tanpa memandang pada Lara.
"Balik?"
Lara terkejut. Manakan tidak, beberapa hari lepas sahabatnya itu baru kehilangan nyawa. Meskipun seketika, ia tetap merisaukan hati kecilnya. Tetapi tidak sangka pula hari ini Erix sudah boleh balik.
Erix menjeling Lara.
Di tangan gadis itu terdapat sebuah beg kecil.
"Kau bawakan makanan untuk aku ke?"
Lara mengangguk. Senyuman mekar terlakar pada bibir.
"Kita makan sama-sama, ya."
Erix mengangguk saja.
Lara meletakkan beg itu di atas meja pesakit. Beberapa bekas dikeluarkan dari dalam beg itu lalu disusun elok di atas meja. Bekas itu kemudian dibuka penutupnya.
Lara menghulurkan sebiji pinggan plastik kepada Erix.
Erix menyambutnya lalu terus mencedok nasi dari salah satu bekas yang dibawa.
Lara tersentap sekejap. Niatnya mahu mencedokkan nasi buat lelaki itu, tetapi Erix lebih pantas membuat kerja tanpa memerlukan bantuannya.
"Ambil ni." Lara terkejut. Dia tidak menyangka nasi dan lauk-pauk yang dicedok oleh Erix tadi sebenarnya untuk dirinya.
"Tak nak ke?"
"Nak." Lara pantas menyambut pinggan itu. Hatinya berbunga riang.
Erix mengambil satu lagi pinggan lalu dipenuhkan pinggan itu dengan nasi dan lauk.
Mereka berdua makan dengan senyap. Beberapa minit kemudian, Erix bersuara.
"Kenapa kau datang sini? Kenapa tak ke sekolah?" Tanpa berpaling, Erix bertanya pada Lara.
Suapan Lara terhenti.
"Kau ponteng semata-mata sebab nak jenguk aku ke? Kau tak sepatutnya buat macam ni. Pelajaran tu lebih penting berbanding aku ni," nasihat Erix dengan lembut dan tegas.
"Aku tak sihat sebenarnya. Sebab tu aku tak ke sekolah."
Erix berpaling. Wajah Lara ditenung lama.
Dengan kedudukan mereka yang agak rapat, barulah Erix perasan akan perubahan yang ada pada Lara.
"Kau demam ke?" Melihatkan wajah Lara yang memerah, Erix dapat meneka dengan tepat.
Lara mengangguk perlahan. Teragak-agak dia mahu berkata jujur.
Erix meletakkan belakang tangannya di atas dahi Lara. Lara tersentak dengan tindakan Erix, namun dibiarkan saja.
"Kenapa kau datang jugak? Kau sepatutnya berehat dekat rumah." Riak wajah Erix sudah berubah risau.
"Aku datang sebab risaukan kau." Lara menjawab perlahan.
"Sudah. Aku nak kau balik sekarang. Makan ubat dan berehat sepuasnya."
YOU ARE READING
THE TALE OF DRAKE
FantasyErix seorang remaja lelaki yang lemah dan sering dipergunakan oleh orang sekelilingnya. Dirinya juga turut dikhianati oleh sahabat baiknya. Disebabkan rasa putus asa dengan hidup dan dendam terhadap mereka yang mempergunakan dirinya, Erix mengambil...