BAB 14

389 6 0
                                    

DARRIN mengerling Zarel yang sedang berbisik ketika bercakap di telefon. Dia menjuih. Itu tak lain tak bukan dengan isterinya. Cinta dan sayang, tapi sanggup pula hidup berjauhan.

"Kau tak payah menjuih cemburu. Suka hati akulah." Zarel letak telefon di sisinya.

Selesai sudah meluahkan rasa cinta dan sayang kepada isteri kesayangan.

"Aku nak cemburu? Pergi mampuslah." Darrin juih mulut lagi.

Dengan Zarel dia lebih senang berbicara dalam loghat Terengganu. Nak menajamkan lagi loghatnya.

Tak ingin dia cemburu. Benda boleh duduk dekat, buat apa duduk jauh-jauh? Buat rugi saja. Itulah, dah dekat lima tahun kahwin pun mereka masih belum dikurniakan anak. Sebab duduk jauh-jauh. Benih pun lari jauh-jauh.

Dulu seorang di Malaysia, seorang lagi di London. Sekarang di Malaysia kedua-duanya, tapi berjauhan juga. Negeri lain-lain. Bukannya dia tak suruh Zarel pindah ke sana, tapi Zarel yang tak mahu. Nak juga ulang-alik dari sini.

"Kau ni kan, aku rasa kau ada satu perasaanlah." Darrin mainkan dagunya dengan jari.

"Perasaan apa pula?" tanya Zarel.

"Perasaan takut nak duduk dekat dengan isteri kau. Yalah, kau orang kan sejak awal kahwin memang duduk jauh-jauh macam ni." Darrin angkat keningnya berkali-kali.

"Kau jangan pandai nak mengata aku." Zarel tuding jarinya kepada Darrin.

"Tak berani nak hadapi hidup bersama-sama setiap hari. Jangan jadi macam aku, Rel. Sudahnya aku keseorangan. Dalam hati masih ada cinta, tapi tak dapat bersama."

Darrin memberi contoh diri sendiri. Terbayang wajah Tiana. Senyuman dan ketawanya sentiasa memenuhi ruang hatinya. Tak dapat diganti dengan orang lain.

"Kau ni nak samakan aku dengan kau pula. Kau tu tak usaha nak selamatkan cinta kau. Sebab tu kau jadi macam ni. Tiana tu sehabis baik dah, tapi kau biarkan dan lepaskan dia kerana jiwa Tiana pada kerjanya."

Zarel tetap tak setuju dengan kata-kata Darrin.

"Aku ingat nak cari tempat lagi. Nak kembangkan resort ni."

Darrin tiba-tiba mengusulkan sesuatu. Lari daripada tajuk perbualan.

"Kau ni... baru lagi kita buka resort ni, kau dah fikir lain. Urus yang ni dululah. Tempat ni pun dah luas. Cuma harapnya jangan ada yang anjur parti kat sini macam yang berlaku pada 2017. Malaysia tak sama dengan negara luar."

Zarel tidak bersetuju dengan usul Darrin.

"Teruk ke dulu?" tanya Darrin. Dia pun tak tahu.

"Teruklah. Anjur parti separuh bogel. Memanglah kebanyakannya mat salih macam kau, tapi bila berkaitan dengan rakyat tempatan juga, memang mendapatlah," terang Zarel.

Darrin angguk kepala.

"Kau okey ke serahkan semua syarikat di London kat aku?" tanya Zarel.

Hairan kerana syarikat itu dengan mudahnya Darrin serahkan kepadanya. Darrin nak fokus dengan resort ini.

"Kau urus aje. Aku yang buat keputusan. Apa susah?" Darrin menjegil.

Zarel geleng kepala. Syarikat kejuruteraan milik Darrin yang diwarisi daripada bapanya, diserahkan kepadanya untuk diuruskan. Darrin pula, nak balik temankan neneknya di sini. Sudahnya, alam pekerjaan yang tak pernah diceburi mereka, menjadi keutamaan Darrin sekarang.

"Aku nak rehat sementara, boleh?"

Zarel juih mulut. Rehat apanya? Setiap hari Darrin bekerja.

Darrin bangun dan berdiri menghadap cermin pejabatnya yang terarah ke laut yang terbentang luas. Resortnya terletak tinggi sedikit daripada aras laut. Hari-hari memandang laut lepas membuatkan jiwanya tenteram. Rasa tenang.

"Kau dah jumpa Lucia?" tanya Zarel sambil kakinya dinaikkan dan diletakkan di atas meja kopi.

"Sudah. Aku tahu dia orang kat mana. Saja malas nak mengacau lagi. Nak tengok dulu." Darrin peluk tubuh.

"Kau ni, nak tengok apa lagi? Bawa ajelah Lucia tu balik."

"Falik tu suami dia. Mesti dia kena ikut. Aku ni tak mahulah runtuhkan rumah tangga mereka. Aku tak sekejam tu."

Setiap kali menyebut nama Falik, muka dan telinga Darrin jadi merah. Geram kerana lelaki itu membawa adiknya lari. Kenapa tak minta restu betul-betul?

Ini nak main-main kahwin lari. Ingat senang gamaknya nak kahwin lari. Itu pun nasib baik dia menghalang bapa tirinya itu. Kalau tidak, rasanya Falik dah jauh ke dalam tanah.

Yalah, itu satu-satunya anak perempuannya. Pandai pula Falik bawa lari. Paling tak boleh blah, Falik itu tunang orang ketika itu.

"Sampai bila? Sampai Lucia lahirkan anak ke?" tanya Zarel.

Darrin diam. Dia tahu bila waktu yang sesuai nak bawa Falik dan Lucia balik. Lagipun ada perkara yang menjadi kebimbangannya. Falik memang jahat sebab tinggalkan tunangnya untuk Lucia. Tapi, bila dah jadi suami Lucia, dia tak boleh nak apakan lagi. Hanya menerima.

Tapi, perempuan samseng bekas tunang Falik tu nak tahu di mana Falik. Darrin takut Falik dan Lucia akan berpisah gara-gara Adlila mengamuk. Satu yang dia pasti, Adlila pastinya akan mengamuk. Mengamuk yang akan membabitkan semua orang pula.

"Bawa ajelah Falik dan Lucia balik ke rumah nenek kau. Senang cerita. Nenek kau tu sayangkan Lucia macamlah Lucia tu cucu kandung dia."

"Kau tak faham."

"Kau ceritalah bagi aku faham."

Zarel tenung mata Darrin yang berkalih memandangnya.

"Falik tu ada tunang masa dia kahwin dengan Lucia. Kau sendiri tahu kan bagaimana penerimaan orang kalau dikhianati begitu. Kalau aku pun bengang," ujar Darrin.

"Hmm, maknanya Falik curanglah. Dan Lucia orang ketiga. Itu yang kau takutkan? Apalah kau ni. Jantan tak serupa jantan. Benda dah jadi." Zarel mengutuk Darrin.

"Aku tak nak Lucia terluka."

"Habis tu, kau biarkan tunang Falik tu terluka?" tebak Zarel.

"Aku tahu tunang dia tu akan cepat move on. Perangai serupa samseng," ujar Darrin.

"Kau cakap macamlah kau kenal dia. Hmm, perempuan ni samsenglah macam mana pun, hati mereka tetap hati tisu. Jangan anggap semua perempuan keras hati macam Tiana. Sebab aku kata macam tu, kita tengok Tiana lemah lembut, tapi lihatlah apa yang dia sanggup buat."

Zarel masih tak puas lagi bercerita pasal Tiana. Darrin diam.

"Perempuan tu pun keras hati juga. Aku tak nak dia mengamuk saja."

"D, kau kenal ke dengan tunang Falik?" tanya Zarel. Gaya macam Darrin kenal dengan tunang Falik.

Sampai ke sudah Darrin tidak menjawab soalan Zarel.

Zarel tak kisah,nanti jawapan itu akan muncul juga walaupun dalam hatinya sudah ada jawapan.

CINTA HARUS MEMILIKIWhere stories live. Discover now