BAB 8

401 7 0
                                    

"LILA, lupakanlah Falik tu. Kau ni, dah lebih enam bulan kut Falik tu lari. Tak mungkin kau akan jumpa dialah." Lorena menyenggol bahu Adlila.

Muka monyok Adlila sudah jemu dia pandang. Dia mahukan Adlila yang dulu. Yang ceria saja.

"Duit kau tu entah ke mana." Lorena berkata lagi.

Biarpun sakit apa yang dikatanya itu, sekurang-kurangnya Adlila tak perlu berharap lagi. Tambahan pula tiada perjanjian hitam dan putih. Betapa mudahnya Falik buat tak tahu.

"Kau ni tak jaga hati aku langsung." Adlila tolak tubuh Lorena.

"Lantaklah Falik tu. Apa kata kau cari orang lain pula jadi peneman?" Lorena angkat keningnya berkali-kali.

"Huh, peneman apanya? Buat pula serupa Falik yang muncul, aku kecewa buat kali kedua." Adlila menjuih.

Lorena ketawa terkekek-kekek. Sekali terluka, sepuluh kali akan berfikir untuk mencari peneman.

"Jom kita pergi bercuti. Merawat hati yang lara," ajak Lorena.

Dia kelipkan mata di depan Adlila. Mana tahu Adlila mahu pergi. Dulu, Adlila selalu menolak kerana tidak cukup wang. Selalu kena bagi kepada Falik. Sekarang jantan tu dah tak ada dalam hidup Adlila.

"Nak pergi mana?" tanya Adlila.

"Hmm, aku tak terfikir lagi. Kalau kau, nak pergi mana?" tanya Lorena.

"Ajak aku, tapi aku yang kena fikir. Apalah kau ni." Adlila mendengus.

Lorena ketawa.

"Kita ke Terengganu?" Lorena kelipkan mata kepada Adlila.

Tak pasal-pasal pula muncul negeri pantai timur itu dalam benaknya.

"Hmm, kat sana pantai cantik-cantik. Tambah-tambah Pulau Kapas dan Pulau Perhentian tu. Cantik benar."

Adlila angguk kepala.

"Jadilah ya. Jangan lupa isi borang cuti. Kita aje yang jarang bercuti. Mesti bos lepaskan." Lorena sudah membayangkan dia sedang berenang di lautan biru.

Adlila angguk kepala. Apa salahnya dia merawat lara hati. Bak kata Lorena, hutang itu, kalau jumpa Falik, memang dia akan paksa Falik bayar. Biarpun seribu tahun. Kalau tak jumpa, nak buat macam mana.

Tapi, nak halalkan memang takkanlah. Biar Falik merangkak, mencarinya di pandang Mahsyar.

"LILA dah fikir puas-puas ke?" tanya Puan Amni.

"Ibu pula dah fikir habis tak nak ikut kami?" Adlila berbalik kepada ibunya.

Kalau ibunya mahu mengikut mereka pun tak apa.

"Habis dah."

"Lila pun." Adlila sengih.

Baju-baju dimasukkan ke dalam beg. Pertama kali dalam hidupnya dia akan pergi bercuti.

"Nak ibu tambah duit ke?" tanya Puan Amni.

Adlila ketawa. Pelik pula dengan ibunya. Dia bekerja. Tak perlu ibunya menambah duit yang sememangnya cukup.

"Ibu guna duit tu untuk ibu ajelah. Lima hari Lila pergi ni. Ibu tak rindu Lila nanti?" tanya Adlila.

Puan Amni ketawa kecil. Dia usap lengan Adlila. Adlila senyum kepada ibunya.

"Ibu nak apa dari Terengganu?" tanya Adlila.

"Sutera." Sepatah dia menjawab.

Kalau makanan terkenal Terengganu, di sini pun boleh dapat.

CINTA HARUS MEMILIKIWhere stories live. Discover now