MASIH segar di ingatannya tatkala hangat rangkulan Hakimi mendakap tubuhnya. Imran berbaring di atas katil menghadap kipas yang berputar di dalam biliknya.
"Aku sayangkan kau!"
Ungkapan keramat itu bagaikan terimbas di kotak memorinya semula. Imran bingkas bangun dari pembaringannya dan menuju ke arah meja belajar. Dia mencapai satu jurnal berwarna coklat di atas meja lalu dibuka lembaran kosong di depannya.
"Aku tak boleh terimalah orang yang macam kau! Kalau aku mati hidup semula pun aku takkan terima orang gay yang macam kau tahu tak??!"
Ungkapan kata-kata itu semerta kembali bermain di kotak ingatannya.
Bodohkah aku menyimpan perasaan ini? Ya, bodoh! Aku tak seharusnya menyimpan perasaan salah ini kepada Hakimi. Untuk apa? Untuk apa aku menyalahkannya sedangkan dia tidak berbuat apa-apa salah kepada aku? Puas untuk beberapa ketika aku menjauh darinya, aku sedar tentang kesalahan ini bukan berpunca daripadanya. Tetapi aku - perasaan salah yang aku sendiri tidak tahu dari mana ianya datang.
Kadangkala aku sendiri tidak faham tentang apa yang aku mahukan darinya. Sebahagian diriku mahukan dia menjadi yang lebih dari apa yang aku ada saat ini sedangkan aku sedar semuanya adalah mustahil. Aku tidak mampu untuk memiliki kesemuanya. Aku harus melepaskan tentang hak yang miliknya bukannya untuk aku.
Aku tidak berhak menyeksanya meskipun aku yang terseksa dengan hati dan perasaan ini. Aku sedar tentang kesalahan ini yang berpunca daripada aku sendiri. Aku yang berlebih-lebihan dalam soal hati perasaan yang aku ciptakan sendiri.
Hakimi, maafkan aku. Aku tidak mampu untuk melawan perasaan ini. Aku cintakan kau setulus hati, Iman Hakimi. Jikalau sudah ditakdirkan yang kau adalah bukan untuk aku, aku reda. Meskipun kau akan membenci aku suatu hari nanti, aku juga sudah bersedia untuk menerima segala hukuman yang aku sendiri tawarkan.
Aku tak mampu untuk kehilangan kau, walau untuk sesaat sekalipun! Setiap renungan kau menembusi hati ini. Setiap bait-bait kata yang kau ungkap sentiasa meruntun jiwa ini. Aku juga sayangkan kau, Iman Hakimi. Meski tak terluah pada zahirnya, cukuplah aku tahu yang aku betul-betul sayang dan cintakan kau!
Imran 🖤 Hakimi |
27 Oktober 2006Imran menutup jurnal yang berada di hadapannya. Entah mengapa, dia berasa sebak yang teramat sangat. Dia menangis teresak-esak di meja belajar di dalam biliknya. Entah untuk kali keberapa dia menangis kerana Hakimi dia sendiri juga tidak tahu.
***
IMRAN duduk berseorangan diri di atas sebuah bangku kosong berhampiran dengan sebuah bilik darjah di situ. Dia menggigit beberapa kali batang penutup pen yang dipegangnya, kemudian diketuk pula batang pen itu pada buku jurnal berkulit yang berwarna coklat itu. Telah menjadi rutinnya untuk mencatit segala apa yang tersemat di hatinya ke dalam lembaran helaian jurnal miliknya itu.
Dia mendongak memandang ke arah permandangan padang sekolah yang sunyi dan sepi di hadapannya itu. Hanya bunyi kicauan burung dan diselang-selikan dengan bunyi deruan angin petang sahaja yang kedengaran. Namun selang beberapa saat kemudian, bola matanya menyorot ke arah sebuah bilik darjah yang berada tidak jauh dan terletak di sebelah kirinya dari situ.
Dia memasang telinga. Dahinya berkerut seribu. Seperti kedengaran ada suara seseorang yang sedang menangis dari arah situ. Hati kecilnya tergerak untuk mengarahkan mindanya agar memberi tindakan untuk meninjau dan melihat tentang siapakah gerangan orang yang sedang menangis itu.
![](https://img.wattpad.com/cover/210205656-288-k8536.jpg)
YOU ARE READING
Juara Carta Hati
Storie d'amoreDiinspirasikan daripada kisah benar, cerita ini berkisarkan tentang dua sahabat iaitu Imran dan Hakimi yang membesar bersama sedari kecil sehingga dalam diam tidak tersengaja telah melintasi satu had garisan di antara mereka. Meskipun perasaannya be...