IMRAN keluar dari dalam perpustakaan dengan satu senyuman yang meleret. Dia merenung surat pelantikan jawatan sebagai pemangku Ketua Presiden Pustakawan Sekolah bagi sesi tahun 2006 itu dengan hati yang berbunga-bunga.
Sejujurnya dia tidak menyangka namanya akan turut tersenarai dalam senarai pendek bagi pemilihan jawatan terpenting itu, apatah lagi dilantik dalam menggalas dan memikul tanggungjawab terbesar bagi organisasi itu.
Imran masih lagi sukar untuk menghadam kenyataan yang dihadapinya itu. Sesungguhnya, dia begitu gembira yang teramat sekali. Tersemat jauh di dalam lubuk hatinya, jawatan itu memang diidamkannya sejak dahulu lagi dan ternyata kini impiannya sudah menjadi kenyataan.
Dia bakal menjadi Ketua Presiden Pustakawan Sekolah pada sesi tahun hadapan! Ya ALLAH, syukurnya ke hadrat-MU atas berita baik ini!
"Congratulations, bro!" ucap Akhil yang turut keluar dari dalam perpustakaan bersama beberapa orang rakannya yang lain.
Bahu Imran ditepuk-tepuk beberapa kali sebelum lelaki itu berlalu pergi.
Imran tersenyum sambil menganggukkan kepala. Dia memandang ke arah Akhil yang mula pergi meninggalkannya.
Kemudian, dia segera mengatur langkah dan berkira-kira mahu menuju ke bilik darjah. Namun langkahnya terhenti sebaik penglihatannya menangkap satu susuk tubuh yang sangat dikenalinya sedang berjalan tergesa-gesa menuju ke arah belakang blok bangunan sekolah.
Pandangannya berkerut. Mindanya mula diserang dengan berbagai persoalan. Apakah yang sedang berlaku dan apa yang sedang dilakukan Hakimi di belakang sekolah?
Surat pelantikan jawatan yang dipegangnya tadi cepat-cepat dilipat dua dan dimasukkan ke dalam saku seluar sebelum dia juga turut mengekori ke mana arah Hakimi tuju sebentar tadi.
***
KEDEBUK!
Satu demi satu tumbukan diberikan kepada lelaki itu sehinggakan dia tidak mampu lagi berdiri dan rebah jatuh ke bumi.
Air matanya tumpah. Sakitnya sudah tidak tertanggung lagi. Dia merayu agar kesalahannya dimaafkan, namun ternyata semuanya adalah sia-sia.
"Saya minta maaf, bang. Saya janji saya takkan buat lagi." Rayu Azim terketar-ketar. Kudratnya sudah tiada. Dia tidak punya tenaga untuk mempertahankan dirinya lagi.
"Maaf?! Ini yang kau nak kata maaf? Ptuihhh!"
Hakimi terus menarik rambut pelajar lelaki itu sambil dua orang rakannya yang lain memegang bahu Azim agar menahan supaya pelajar lelaki itu berdiri dan tidak jatuh di situ.
Hakimi menumbuk muka Azim sekali lagi. Keringat yang sedari tadi memancar di wajah Azim memercik mengikut alunan padu tumbukan yang dihayunkan Hakimi.
"Dasar bapuk! Kau ingat, dengan kau tulis surat cinta, ayat-ayat manis macam ni boleh buat aku tergoda dengan kau?! Aku ni straight! Aku tak layan pondan macam kau! Kau faham tak???!" herdik Hakimi kuat sambil merengus kasar.
Perasaannya membuak-buak marah setelah dia ketahui empunya surat yang diterimanya sejak beberapa bulan yang lepas adalah daripada Azim dan bukan seperti telahannya iaitu Balqis, gadis yang diminatinya sejak daripada Tingkatan Satu lagi.
Perasaannya seperti terpukul sendiri.
Apakah tiada seorang perempuan sekali pun di sekolah yang meminatinya sehinggakan dia terpaksa terima perasaan cinta daripada seorang lelaki?
Ah, sial! Getus hati Hakimi.
Sakit hatinya hanya TUHAN saja yang tahu.
Betapa malunya terhadap rakan-rakannya yang lain sebaik mengetahui empunya secret admirer yang sentiasa mengirimnya surat cinta sejak beberapa bulan lepas adalah daripada seorang lelaki. Seorang budak junior yang mudanya cuma dua tahun berbanding dengannya.
YOU ARE READING
Juara Carta Hati
Любовные романыDiinspirasikan daripada kisah benar, cerita ini berkisarkan tentang dua sahabat iaitu Imran dan Hakimi yang membesar bersama sedari kecil sehingga dalam diam tidak tersengaja telah melintasi satu had garisan di antara mereka. Meskipun perasaannya be...