DERINGAN telefon Nokia jenis 1600 yang berwarna hitam kelabu itu langsung tidak diendahkannya. Sudah hampir sepuluh kali bunyi deringan itu masuk ke dalam telefonnya namun langsung tidak dipedulikannya. Tidak cukup dengan panggilan telefon, pesanan ringkas SMS juga masuk bertubi-tubi ke dalam notifikasi telefon bimbitnya.
Hakimi meraup wajahnya yang kusut itu dengan kasar. Ibu dan ayahnya dalam diam menyedari akan perubahan yang terjadi kepada dirinya itu. Masing-masing mengesyaki bahawa kebarangkalian Hakimi sedang mengalami putus cinta. Namun semuanya cuma pada pengamatan mereka semata-mata kerana tidak pernah pula mereka melihat Hakimi ada membawa mana-mana kenalan perempuan di sekolahnya datang ke rumah atau pun diperkenalkan kepada mereka.
Paling tidak pun, tidak pernah pula tercuri dengar perbualan anak terunanya itu menyebut nama-nama teman perempuan di dalam setiap perbualan di telefonnya. Jangkaan mereka cuma dua - jikalau tidak disebabkan dek kerana teman perempuan, pasti disebabkan kerana Imran.
Mereka kenal benar tentang Hakimi yang tidak mempunyai ramai kawan. Hanya Imran sahaja yang sentiasa disebut-sebutnya selalu.
"Kenapa dengan si Kimi tu Idah? Balik je daripada beli barang terus berkurung? Tak keluar-keluar. Dia marahkan siapa? Marahkan saya sebab suruh tolong belikan barang tadi tu ke?"
Wanita yang berumur dalam lingkungan pertengahan empat puluhan itu cuma mengangkat bahu tanda tidak tahu.
"Ke dia gaduh dengan girlfriend dia?" duga Pakcik Halim sambil menyua biskut kering ke dalam mulutnya.
"Entahlah. Takde pulak saya pernah dengar dia ada girlfriend. Abang pernah tahu ke si Kimi tu ada girlfriend? Saya tengok dia memanjang je dengan si Imran tu."
Pakcik Halim menoleh ke arah isterinya.
"Hmm... Lama betul saya tak nampak batang hidung si Imran tu. Mana dia ya?"
"Entah." Jawab Makcik Faridah sepatah.
"Awak ni asyik entah-entah daripada tadi. Apa je awak yang tahu? Cuba panggil si Kimi tu turun ke bawah? Boleh juga saya bertanya pada dia tentang apa masalah dia sebenarnya." sungut Pakcik Halim sambil mengerling ke arah isterinya di sebelah.
Makcik Faridah mencebik.
"Yelah... saya panggilkan dia." Kata Makcik Faridah sambil segera bangun dari tempat duduknya. Dia berkira-kira mahu segera naik ke tingkat atas namun pandangannya langsung tertancap ke arah satu kelibat yang cukup dikenalinya sedang berdiri di hadapan pintu pagar rumah.
"Hah! Panjang betul umur si budak Imran ni."
Pakcik Halim cuma mendongak memandang ke arah isterinya yang sudah menyarung selipar di muka pintu dan segera mendapatkan Imran di pagar rumah.
"Assalamualaikum, makcik... Kimi ada kat rumah?" tanya Imran seraya menggantung senyuman di wajahnya.
"Waalaikumsalam. Ya ALLAH Imran. Lama betul Makcik tak nampak kamu. Kamu sihat?" tanya Makcik Faridah sambil membuka selak pintu pagar. Imran segera menyalami tangan wanita tua itu.
"Saya sihat makcik. Makcik sihat?"
"Sihat. Alhamdulillah. Macam ni jelah. Kamu cuti sekolah buat apa je Imran?"
"Takde buat apa pun Makcik. Makcik, Kimi ada kat rumah?" soal Imran kali kedua.
"Ya ALLAH. Ada. Eh, masuklah. Kimi ada je kat atas biliknya tu." Beritahu Makcik Faridah sambil mempelawa Imran masuk ke rumahnya.
"Saya nak jumpa dia boleh?"
"Boleh. Apa salahnya? Dia tu macam tengah frust menonggeng je Makcik tengok. Dia gaduh dengan girlfriend dia ke?" tanya Makcik Faridah menduga. Dia memandang roman wajah Imran yang tiba-tiba berubah riak itu.
![](https://img.wattpad.com/cover/210205656-288-k8536.jpg)
YOU ARE READING
Juara Carta Hati
RomansaDiinspirasikan daripada kisah benar, cerita ini berkisarkan tentang dua sahabat iaitu Imran dan Hakimi yang membesar bersama sedari kecil sehingga dalam diam tidak tersengaja telah melintasi satu had garisan di antara mereka. Meskipun perasaannya be...