3

1.1K 50 5
                                    

HAKIMI membatu di dalam bilik. Selepas Mak Jah menyediakan makanan tengah hari buat Imran dan Hakimi sebentar tadi, Imran menyarankan agar Hakimi mandi supaya menyegarkan semula tubuh sekaligus minda dan fikirannya.

Kini dia sudah pun mengenakan satu t-shirt berlengan pendek dan berseluar track suit berwarna hitam milik Imran. Saiz tubuh mereka berdua adalah lebih kurang sama yang mana tidak menjadikan isu untuk Imran meminjamkan pakaiannya buat sahabat baiknya itu.

Imran duduk di kaki katil. Dia memerhatikan Hakimi yang senyap duduk di tepi tingkap biliknya bersebelahan dengan meja belajar.

"Imran, aku minta maaf."

Wajah Imran berkerut. Dia tidak mengerti apa yang cuba disampaikan lelaki itu.

"Kau dah buat apa?"

Hakimi diam. Dia tidak tahu hendak mulakan daripada mana. Bermula daripada dia menganggap surat cinta yang diterimanya sebelum ini adalah daripada Balqis? Kemudian telahannya salah? Dan rupanya surat yang diterimanya adalah daripada Azim? Pondan gay yang minat kepadanya? Kemudian dia diejek Fazli dan Hilman serta egonya tercabar lalu membawa kepada insiden yang tidak dijangkakan olehnya tadi?

Dia sendiri jadi malu dengan dirinya. Bagaimana jikalau Imran sendiri yang melaporkan tentang apa yang dilakukannya kepada pihak pengurusan sekolah? Bagaimana jikalau dia dibuang sekolah? Dia tidak mahu semua itu berlaku.

"Cakaplah Kimi. Aku dengar."

Lamunan Hakimi terhenti sebaik mendengar Imran bersuara. Dia memandang Imran yang sedang duduk di birai katil dan masih setia memandang ke arahnya. Wajah lelaki itu butuh penjelasan daripadanya.

"Aku dah buat sesuatu yang kau paling benci, Im."

Imran cuba berlagak bersahaja. Dia tahu apa yang cuba Hakimi mahu katakan kepadanya namun tingkahnya tiba-tiba jadi kaku. Dia menjadi tidak betah pula. Apakah Hakimi mahu berterus-terang tentang apa yang telah dilakukannya seketika tadi?

"Aku tak boleh terimalah orang yang macam kau! Kalau aku mati hidup semula pun aku takkan terima orang gay yang macam kau tahu tak??!"

Ayat itu bagaikan berulang-ulang di dalam kotak mindanya. Dia sendiri menjadi takut. Dia takut dengan dirinya. Dia takut dengan Hakimi. Bagaimana jikalau Hakimi mengetahui perasaannya selama ini terhadap lelaki itu adalah lebih daripada apa yang disangkakan? Jujur dia katakan dia sendiri tidak pernah meminta untuk mempunyai perasaan cinta kepada Hakimi. Perasaan itu hadir tanpa dia duga. Layanan baik lelaki itu terhadapnya selama ini begitu sempurna sehinggakan dia sendiri jatuh sayang terhadap Hakimi. Tanpa dia berfikir panjang tentang hubungan persahabatan yang terjalin di antara mereka. Dia sendiri yang membajai perasaan itu sehingga ianya bercambah menjadi sebuah pohon. Apakah nasibnya akan serupa seperti mana Azim diperlakukan andai kata Hakimi mengetahui akan hal yang sebenarnya?

Dia cuba untuk menghadamkan segala andaian-andaian yang diciptakan di dalam kotak mindanya tentang Azim, Fazli, Hilman dan Hakimi tetapi akhirnya fikirannya tetap menemui jalan buntu. Dia mahu berterus-terang kepada Hakimi tetapi dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk memulakannya.

"Aku minta maaf," beritahu Hakimi tanpa disuruh-suruh. Dia yang tahu Imran pernah mengalami trauma kecil tentang keganasan akibat peristiwa-peristiwa silam yang dialami lelaki itu hanya mampu untuk melepaskan keluhan berat. Apa yang membuatkannya rasa sangat bersalah adalah dia sendiri yang pernah berjanji untuk menjaga dan melindungi Imran dan berjanji tidak akan sesekali untuk melakukan perkara-perkara jahat itu lagi meski dahulu dia pernah terjebak dengan geng-geng samseng dan kaki buli di sekolah.

Imran memandang Hakimi yang membisu selepas itu. Perlukah dia berterus-terang tentang segalanya kepada lelaki itu? Tentang apa yang dilihatnya dan diketahuinya? Dia takut seandainya dia tidak boleh menerima kenyataan yang sebenar. Kenyataan sebenar tentang peritnya jikalau benar Hakimi sememangnya membenci golongan orang-orang sepertinya meski dia tahu sebahagian besar perasaan dalam dirinya cuba menidakkan tentang kenyataan itu. Bodohkah dia menidakkan sesuatu yang sebenarnya sudah jelas terpampang tentang kebenarannya? Atau dia sendiri yang masih lagi tidak sedari diri?

Juara Carta HatiTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang