10

990 34 6
                                    

SUDAH hampir sebulan dia kembali ke sekolah dan bermacam-macam subjek yang ketinggalan perlu segera dikejarkannya semula. Mujur sahaja Hakimi dan cikgu-cikgu di sekolah banyak membantunya. Dia tersenyum memandang Hakimi yang sedang duduk di tempat duduk belakang di dalam perut kereta pacuan empat roda yang dipandu oleh Makcik Norain. Perasaan sayangnya semakin bercambah saban hari buat lelaki itu. Namun, entah mengapa perasaannya yakin mengatakan yang Hakimi juga barangkali turut mempunyai rasa yang serupa sepertinya. Atau mungkin hanya dia sahaja yang merasakan sebegitu?

Dia menjeling ke arah Mama yang sedang memandu di sebelah. Tidak putus-putus dia memanjat rasa kesyukuran di atas kurniaan yang telah diberikan-NYA kepadanya. Mujurlah dia masih punya Mama dan Mak Jah - antara dua orang insan terpenting dalam hidupnya selain Hakimi. Dia masih sibuk melayan perasaannya seorang diri sehinggalah mereka bertiga tiba di perkarangan rumah semi D dua tingkat selepas itu.

"Kau stay malam kat sini eh?" cadang Imran sambil sengaja membuat muka comelnya. Hakimi yang sememangnya kalah dengan perkataan tidak kepada lelaki itu hanya membuat muka kosong. Dia tidak menjawab pertanyaan lelaki itu.

"Alaaa... bolehlahhh..." pujuknya sambil memaut lengan sahabatnya. Hakimi hanya tertawa dalam hati. Mengada-ngada! Tetapi... itulah yang tetap dia mahukan. Dia benar-benar terhibur tiap kali dia bersama Imran. Baginya cukuplah dia pernah 'kehilangan' lelaki itu hampir tiga bulan lamanya. Apatah lagi memikirkan perhubungannya sebelum ini dengan Imran juga yang adakalanya sekejap baik dan sekejap tidak itu benar-benar merunsingkan fikirannya. Silapnya juga kerana tidak begitu sensitif dengan keadaan sekeliling sehingga menyebabkan Imran kembali dengan trauma kecilnya yang takutkan dengan kekerasan dan pembulian itu. Walau apapun yang paling penting adalah dia sendiri gagal untuk mengawal emosi dan sifat keegoan dalam dirinya sendiri. Ah, mahu menyesal pun tidak ada gunanya lagi.

"Boleh, kan?" soal lelaki itu lagi sambil memandang ke arah Hakimi yang sedang membetulkan beg galas yang dipakainya itu.

Dia sekadar menguntum senyum namun tidak berkata apa-apa. Imran sudah tersengih.

"Yayy!!!" jerit lelaki itu seraya terus merangkul tubuh sahabatnya dan kemudian terus bergegas masuk ke dalam rumah. Hakimi hanya tergelak melihat telatah kebudak-budakan Imran. Nasib baik comel. Nasib baik sayang! Eh? Seketika, dia hanya menggeleng-gelengkan kepalanya sambil segera mengikuti langkah Imran masuk ke dalam rumah.

Imran menolak kasar daun pintu biliknya dan diikuti dengan Hakimi di belakang. Sejurus, dia mencampakkan beg galas yang dipakainya tadi di sebelah sebuah kerusi di meja belajar di dalam bilik tidurnya.

"Kimi..." panggilnya lembut sebaik pandangannya terarah pada roman wajah tampan milik Hakimi. Dia melihat lelaki itu sedang mengunci daun pintu bilik tidurnya dan kemudian terus berjalan dan duduk di hujung birai katil miliknya selepas itu. Seketika, dia menghampiri dan melabuhkan punggungnya bersebelahan dengan lelaki itu.

Hakimi menentang pandangan Imran. Wajah comel yang sentiasa sahaja bermain di benak fikirnya sejak kebelakangan ini. Dia sendiri tidak tahu bagaimana rasa itu semestinya boleh wujud di dalam hatinya. Dia tahu dia bukan gay! Tetapi bila mana dia bersama Imran... dia merasakan rasa sayang itu terbit bukan sekadar antara teman atau sahabat, malahan lebih daripada itu.

Dia melihat Imran meletakkan jemarinya di atas telapak tangannya lalu digenggamnya erat dan dibawakan pula ke bibir comel lelaki itu. Dia melihat Imran mengucup belakang telapak tangannya lembut. Lebih menghairankan, dia langsung tidak berasa jijik mahupun menghalang tindakan lelaki itu dari mengucup belakang telapak tangannya.

"Hakimi...,"

Dia mendongak pandangan memandang ke arah Imran di sebelahnya. Panggilan itu cukup membolehkan bulu romanya jadi menegak. Dia tidak pernah merasakan perasaan sebegitu, lebih-lebih lagi bersama Imran.

Juara Carta HatiTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang