IMRAN membelek-belek kertas yang diconteng penuh dengan tulisan Mak Jah itu. Banyak pula barang yang dikirim orang tua itu. Getus hati kecilnya. Dia berjalan dari satu tempat ke satu tempat di dalam pasar raya borong itu mencari apa yang dinyatakan di dalam catitan kertas kecil berwarna merah jambu itu.
Secara jujurnya memang dia tidak melakukan sebarang pekerjaan sepanjang cuti sekolah hujung tahun itu. Hanya melepak di bilik dengan bermain permainan berkomputernya atau tidak pun hanya mengacau Mak Jah di dapur. Pening orang tua itu hendak melayan kerenahnya. Apa-apa pun siapa lagi yang boleh dijadikannya berkawan? Mahu mengharapkan Mamanya, wanita itu sentiasa sibuk dengan perihal kerja dan bisnesnya. Dan disebabkan itulah dia sendiri yang gatal mulut mahu membantu Mak Jah di dapur. Itu pun Mama sudah bising tentang hal-hal dapur tidak perlu diambil tahu. Itu hal orang perempuan katanya. Untuk budak lelaki sepertinya baik bercampur gaul dengan rakan-rakan sebayanya seperti bermain bola sepak atau tidak pun bermain badminton.
Entahlah, dia sukakan aktiviti-aktiviti lasak sebegitu. Namun semenjak hubungannya yang dia sendiri rasakan seperti okey-tak-okey dengan Hakimi itu dia lebih banyak menyendiri dan berkurung di dalam bilik di rumahnya sahaja. Barangkali dia memerlukan lebih masa untuk dirinya sendiri? Atau mungkin juga dia terlalu malu untuk berhadapan dengan Hakimi?
Maklumlah hanya Hakimi sahaja yang menjadi sahabat baiknya sedari dia kecil. Dia mengenali lelaki itu semenjak dia berada di darjah dua lagi. Hampir lapan tahun dia membesar bersama-sama lelaki itu. Apakah dia sudah bersedia untuk memusnahkan segala perhubungan yang telah terbina sekian lama di antara dia dan Hakimi itu?
Imran mendengus kasar. Apa yang Mak Jah tulis ni? Tak fahamlah. Hish! Tulisan macam doktor! Getus hati kecilnya sambil menyorong troli menuju ke arah bahagian susu segar. Entah bagaimana tiba-tiba pula dia terlanggarkan seseorang.
"Alamak! Sorry, sorry... Saya tak tersengaja!" ucap Imran berkali-kali memohon maaf.
Pandangannya semerta tertancap pada raut wajah seseorang yang dia amat kenali.
"Abang Hafiz!"
"Imran!"
Imran menguntum senyum. Kemudian dia tersengih.
"Sorry. Im tak nampak tadi. Sorry." Ucap Imran masih tidak putus-putus memohon maaf.
Tak sangka pula boleh jumpa Abang Hafiz kat sini! Handsomenya langsung tak pernah berubah. Tapi... sayangnya, mesti tahun depan dah tak boleh jumpa dia lagi. Detik hati kecilnya berkata.
"Tak apa, Im. Sikit je tu."
"Abang Hafiz sorang je ke?"
"Ha'ah. Abang cari barang sikit sebab kebetulan keluar, mak abang minta tolong belikan barang. Im buat apa? Datang dengan siapa?"
"Sorang jugak. Saja takde buat apa kat rumah. Tanya Mak Jah apa boleh buat, dia bagi ni suruh tolong." Imran mengunjukkan senarai barang yang dikirim oleh Mak Jah kepada Hafiz.
Hafiz mengangguk senyum.
"Banyak lagi ke tak jumpa?"
Imran menggaru-garu belakang kepalanya yang tidak gatal.
"Eh Abang Hafiz dah habis paper ke?" soal Imran yang tiba-tiba menyedari soal peperiksaan yang sedang dihadapi oleh lelaki itu.
"Dah. Abang habis last paper Isnin hari tu. Last subject Akaun."
Imran mengangguk-angguk faham.
"Susah tak? Semua okey?"
"Okeylah... insya'ALLAH." Ucap Hafiz sambil tersengih.
YOU ARE READING
Juara Carta Hati
RomanceDiinspirasikan daripada kisah benar, cerita ini berkisarkan tentang dua sahabat iaitu Imran dan Hakimi yang membesar bersama sedari kecil sehingga dalam diam tidak tersengaja telah melintasi satu had garisan di antara mereka. Meskipun perasaannya be...