HAKIMI melorot pandangan ke arah Imran yang sedang terlantar di atas katil di dalam bilik wad. Dia tersenyum tatkala melihat mata Imran yang terpejam itu kembali celik. Cepat-cepat dia datang dan mendapatkan tangan sahabatnya yang masih tidak berkudrat itu.
"Alhamdulillah Im. Akhirnya kau sedar!" ucapnya sambil menggenggam erat jemari tangan Imran. Imran cuba melukis senyuman di bibirnya namun ternyata terpamer kepayahan untuk dia melakukannya.
"Aku janji aku takkan tinggalkan kau lagi. Aku... sayangkan kau!" sambungnya lagi selepas itu.
Imran cuma menentang bola mata Hakimi yang sudah bergenang dengan air jernih. Ya ALLAH, Hakimi! Serasa berjuta perasaan bersalah tidak semena-mena menghurung dan menjalar ke segenap tangkai hatinya tatkala dia melihat kolam mata lelaki itu mulai tumpah dengan bebanan air jernih di hujung pelupuk matanya. Hakimi, maafkan aku. Aku tahu aku bersalah. Aku juga sayangkan kau. Tetapi janganlah kau terus berjanji disebabkan aku. Sesungguhnya andai kata suatu hari nanti kau yang akan pergi meninggalkan aku - ketahuilah rasa sakit yang perlu kutanggungi pastinya takkan terperi peritnya.
"Hakimi...," panggilnya payah.
Hakimi segera mengeratkan pautan jemarinya pada Imran.
"Mama kau risau sangat dengan kau. Kami semua risaukan kau. Kami semua sayangkan kau. Aku nak kau cepat sembuh. Kami semua rindukan kau, Im!"
Imran cuba mengangguk tetapi anggukannya kelihatan lemah.
"Kau nak jumpa Mama? Mama ada kat luar. Aku panggilkan nak?"
Hakimi sudah bersedia mahu keluar namun semerta dia merasakan ada satu tekanan pada genggaman jemarinya pada Imran. Dia memandang ke arah pautannya itu. Lantas, punggungnya segera dilabuhkan di atas kerusi sebelum roman wajah Imran ditenungnya selepas itu.
"Imran... Aku aku kat sini. Aku takkan pergi mana-mana okey? Aku ada kat sini."
Entah mengapa pandangan mata Imran seakan memberat tidak semena-mena. Barangkali kemungkinan akibat daripada kesan pengambilan ubat antibiotik yang telah dimasukkan ke dalam badannya telah membuatkan dirinya lemah. Lama dia menentang wajah Hakimi yang berada di penglihatannya. Lelaki itu cuma menggantung senyuman manis kepadanya. Perasaannya damai di samping lelaki itu meski rindu yang menebal di dalam hatinya masih lagi tersisa. Seketika, dia mulai merasakan pandangannya semakin menggelap dan akhirnya Imran tertidur selepas itu.
***
SEMINGGU berlalu...
"Kamu kena cepat-cepat sembuh, Imran. Kamu dah banyak jauh ketinggalan berbanding dengan rakan-rakan kamu," katanya berjeda seketika. Dia memerhati wajah sugul dan pucat lelaki yang berbaring di hadapannya itu. "Okey tak apa, nanti bila kamu dah betul-betul sembuh, saya akan bagi extra attention dekat kamu. Kamu jangan risau! Tapi sebelum tu kamu kena cepat-cepat sembuh dulu baru boleh saya bagi extra perhatian pada kamu." Ucap Cikgu Akmal sambil mengulum senyum ke arah Imran.
"Terima kasih Sir. Saya beruntung dapat Sir yang caring pada saya."
"Ramai yang sayangkan kamu, Imran. Bukan saya seorang je."
Imran mengangguk lemah.
"Berapa lama saya koma tak sedarkan diri Sir?"
Cikgu Akmal berkira-kira sendiri. "Hmm... dalam lebih kurang dekat dua bulan macam tu."
Imran mengeluh berat.
"Eh eh eh... Kamu janganlah stress, boleh? Rileks... Kamu masih ada banyak masa untuk kejar semula apa yang kamu dah ketinggalan. Kan doktor dah cakap, kamu tak boleh banyak berfikir, tak boleh stress. Kamu kena kuat. Supaya cepat sembuh! Faham?"

ANDA SEDANG MEMBACA
Juara Carta Hati
RomansaDiinspirasikan daripada kisah benar, cerita ini berkisarkan tentang dua sahabat iaitu Imran dan Hakimi yang membesar bersama sedari kecil sehingga dalam diam tidak tersengaja telah melintasi satu had garisan di antara mereka. Meskipun perasaannya be...