CUTI SEKOLAH hujung tahun itu, Imran langsung tidak menghubungi Hakimi. Apatah langsung tidak membalas hatta satu mesej sekalipun yang datang daripada lelaki itu. Dia juga sudah tidak bertanya khabar tentang Hakimi meski lelaki itu sentiasa mahu mengambil tahu tentang soal dirinya. Imran sedar dengan cara ini sahaja dia mampu untuk melenyapkan perasaannya kepada Hakimi.
Imran terdengar suara seseorang di bawah sedang berbual dengan ibunya. Ah, mungkin jiran sebelah rumah. Getus hati kecilnya berkata.
Persetankan! Bisiknya lagi. Semenjak peristiwa hampir empat bulan lalu itu sedikit sebanyak membuatkan Imran cuba belajar untuk hidup tanpa bergantung dengan adanya Hakimi di sisinya. Meski sukar namun dia tetap perlu mencuba. Dia tidak boleh terus berputus asa.
Daun pintu bilik diketuk dari luar.
Ah, mesti Mama!
"Ya, ma? Kenapa?"
Tiada sahutan. Pintu tetap diketuk dari luar.
Imran mencebik. Bukan Mama tentu sahaja Mak Jah. Ada apa sampai ditanya pun tak mahu menjawab? Bisiknya geram.
Imran bangun dari pembaringannya lalu tombol pintu dipulas dan dia segera menguak daun pintu biliknya perlahan. Alangkah terkejutnya tatkala melihat Hakimi yang berada di hadapannya. Lekas-lekas dia menolak daun pintu itu supaya tertutup. Namun, tenaga jantan Hakimi ternyata lagi kuat berbanding dengannya.
Imran merengus kasar. Dia berputus asa lalu masuk ke dalam bilik dan terus menghumban tubuhnya ke atas katil. Dia berbaring membelakangi Hakimi yang sudah melangkah masuk ke dalam bilik. Pintu bilik ditutup lalu dikunci. Dia mahukan situasi ketika itu hanya dia dan Imran berdua sahaja. Dia rindukan Imran. Mengapa Imran semakin lama semakin menjauh dan membencinya?
"Kau nak apa?" tanya Imran sebaik Hakimi melabuhkan punggungnya di atas katil. Seketika, dia berbaring di sebelah Imran yang membelakanginya.
"Aku rindukan kau. Dah dekat tiga bulan lebih kau tak cakap dengan aku. Even last day sekolah pun kau blah macam tu je. Kau beritahulah aku, apa yang boleh aku buat untuk tebus kesalahan aku pada kau? Aku minta maaf Im, aku buat kau takut dengan aku. Apa yang kau nampak tu, tu bukan aku. Kau kenal aku, kan?"
Imran masih diam tidak bergerak apa-apa. Dia berpura-pura tidak mendengar padahal semuanya cukup jelas untuk dia dengari segala penjelasan yang datang daripada lelaki itu. Dia juga rindukan Hakimi namun entahlah apabila dia memikirkan tentang soal hati dan perasaan, dia merasakan dirinya menjadi tidak kuat. Dia sebenarnya berasa tidak sampai hati untuk melukakan Hakimi, apatah lagi dengan menyalahkan lelaki itu di atas sesuatu yang tidak pernah dilakukan kepadanya. Dia cuma butuh lebih waktu untuk melenyapkan perasaannya terhadap lelaki itu.
"Aku cuma tengah marah masa tu, Im. Kalau kau ada masa tu untuk comfortkan aku... Aku, aku mesti takkan jadi macam tu!"
Imran berkalih lalu bangun dari pembaringannya dan menatap wajah Hakimi.
Hakimi menentang pandangan Imran. Lama mereka mendiam.
"Kimi, sudahlah! Stop it!"
Hakimi tersentak. Dia bangun dan duduk di sebelah Imran.
"Sampai bila kita nak jadi macam ni, Im? Aku rindukan kau!" Berkali-kali Hakimi melafazkan kata rindu itu. Namun mengapa Imran seakan sukar untuk memahami apa yang dirasainya ketika ini?
Imran menunduk. Hakimi cuba mencari anak mata Imran namun lelaki itu langsung tidak mengendahkannya.
"Pandang aku, Im. Katakan yang kau tak nak kawan dengan aku lagi. Katakan yang kau bencikan aku? Be transparent dengan aku! Supaya lepas ni aku takkan ganggu kau lagi. Aku takkan cuba nak semakkan hidup kau lagi. Aku boleh pergi!" Ucap Hakimi. Sayu sahaja bait-bait kata yang keluar dari bibir lelaki itu.
YOU ARE READING
Juara Carta Hati
RomanceDiinspirasikan daripada kisah benar, cerita ini berkisarkan tentang dua sahabat iaitu Imran dan Hakimi yang membesar bersama sedari kecil sehingga dalam diam tidak tersengaja telah melintasi satu had garisan di antara mereka. Meskipun perasaannya be...