3

213 2 0
                                    

11 Januari 2015 (flashback)

                Akid tersedar. Bau hanyir menusuk ke dalam dua lubang hidung miliknya. Busuk seperti bangkai yang sudah lama mati. Semakin lama semakin busuk hingga Akid hampir terjeluak dan sesak nafas. Dia segera mencari asal usul bau tersebut kerana bau itu sangat dekat dengan keberadaan dirinya kini. Dia terus merayau sekitar tempat tersebut, satu hutan yang sunyi seperti penghuni- penghuni hutan tersebut tidak perasan akan kehadiran Akid. Akid akui, pada mulanya, dia hairan dan ditambah lagi dengan bau-bauan bangkai entah dari mana wujudnya jikalau hutan tersebut sunyi dan tidak berpenghuni. Dia terpaksa letak tepi dahulu perihal tersebut demi mencari asbab kewujudan bau yang terus-menerus menghiasi dinding hidungnya. Langkah masih diatur dengan berhati-hati. Dia takut nyawa dia melayang jika langkah berjaga-jaga tidak diambil. Halusinasi yang dihadapinya semalam cukup hebat dan masih segar di buaian fikiran Akid. Peristiwa itu dia simpan baik dalam memori otak supaya dia tahu amaran yang diberikan ketika itu sangat vital dan mampu meletakkan keselamatan keluarganya pada tahap kritikal.

             "Prakkk! Prakkk!"

               Akid segera berlindung. Seseorang sedang menuju ke tempat dia berdiri, bunyi dahan kayu yang dipijak tidak terlalu perlahan. Dia yakin, satu entiti sedang berada berdekatan dengan dirinya, sama ada manusia ataupun haiwan masih menjadi tanda tanya. Akid berlindung di belakang pokok besar dan cuba mengintai dari arah bunyi tersebut. Jantungnya berdegup kencang. Hatinya resah. Dia menjadi gugup setelah melihat seekor makhluk aneh yang berjalan melalui denai-denai yang sedia ada. Dia hanya mendiamkan diri, ingin menjerit namun tiada orang yang akan mendengarkan dirinya, hanya dia dengan makhluk tersebut sahaja. Akid memerhati setiap gerak-geri makhluk tersebut. Rupa fizikal dilihat dengan lebih teliti, memang tidak pernah dilihat oleh pupilnya sebelum ini. Seekor makhluk bertubuh raksasa, bergigi taring panjang, bersayap hitam sehingga meleret di atas tanah dan saiz badan yang melebihi saiz normal bagi manusia atau binatang. Akid mengingati kembali rupa fizikal yang baru dilihatnya.

              "Tak mungkinnn, tak mungkin ni Arkam, Arkam?!! Mustahil!" getus hati kecil Akid.

                Akid cuba berfikiran waras jadi dia memejam mata dan tersedar kembali. Kali ini, dia tersedar di dalam bilik tidurnya sendiri. Jam menunjukkan tepat pukul 12 tengah hari. Akid menarik nafas lega. Semakin lama mimpi yang dialami semakin memakan dirinya. Dia cuba bertahan selagi boleh demi mengungkapkan kebenaran. Sejarah tentang kejadian yang berlaku di dalam rumah tersebut yang membabitkan ibu ayah dia. Akid dapat tahu daripada arwah neneknya sebelum meninggal dua bulan lepas. Neneknya kata, hanya Akid satu-satunya cucu yang boleh merungkai satu persatu sejarah hitam dan membalas perbuatan terkutuk yang dilakukan.

Peristiwa terakhir sebelum nenek Akid meninggal...

                Keadaan nenek Akid, Nek Semah semakin tenat. Segala jenis perubatan moden dan tradisional telah dicuba namun keadaan Nek Semah tidak membaik. Pada masa tersebut, hanya keluarga Akira dan Akid sahaja yang berada di kampung, menjaga Nek Semah. Sememangnya dari kecil lagi, Akira dan Akid sering pulang ke kampung berbanding sepupu mereka yang lain. Alkisah, ada perbalahan yang pernah terjadi antara Nek Semah dengan anak keduanya iaitu bapa saudara Akira dan Akid dan lebih mudah dipanggil Pak Ngah. Pak Ngah merupakan abang kepada Encik Rashid. Sudah bertahun juga perbalahan itu terjadi namun kesannya masih berbekas sehingga ke hari ini. Perbalahan yang berpunca daripada pembahagian tanah pusaka atuk Akid, Tok Adi. Sebelum arwah Tok Adi mati, dia sempat menulis wasiat kepada Nek Semah untuk membahagikan tanah pusakanya yang berukuran sepuluh ekar mengikut keinginan Tok Adi. Wasiat itu selesai dijalankan ketika lima orang anak Nek Semah termasuk bapa Akid dan Akira berkumpul di kampung menjelang Hari Raya Aidilfitri 2014.

RitualWhere stories live. Discover now