4

156 2 0
                                    

                    Kepala Akira terasa berat, seperti ada sesuatu yang menahan mindanya terus bangun. Dia menarik nafas dalam-dalam secara perlahan supaya pengedaran darahnya menjadi stabil. Mimpi yang baru dialami tadi sangat menakutkan. Dia melirik jam loceng di atas meja, baru pukul 7:30 malam. Malam masih awal dan dia rasa semua mimpi yang berlaku hanyalah mainan syaitan. Mungkin juga sebab dia tidur pada waktu yang tak sesuai, maka mudah untuk diganggu. Akira berasa cukup tak selesa dengan mimpi yang dialami. Dirinya dalam mimpi tersebut membawa watak seorang gadis yang cukup ngeri dan menyeramkan, galaknya seperti dikawal sesuatu dek kerana amarah yang tidak dapat ditahan. Dia segera masuk ke bilik air untuk mengambil wudhu' dan sembahyang Maghrib. Segala hal mengenai mimpi tersebut dibiarkan terlebih dahulu dan dia perlu menunaikan kewajipan sebagai seorang hamba kepada Tuhannya Yang Satu.

                   "Allahu akbar..."

                   Akira mengangkat takbir, tetapi dia merasakan ada seseorang yang mengikuti perbuatannya. Semasa hendak rukuk, dia terdengar lagi suara seorang perempuan yang sedang berbisik seperti menjadi makmun dalam solatnya itu. Dia hanya diam dan cuba untuk khusyuk dalam solat. Gangguan bermula apabila bisikan gadis tersebut semakin kuat setiap kali takbir sehingga ke tahiyyat akhir, suara tersebut lenyap tiba-tiba. Usai memberi salam, dia istighfar sebanyak tiga kali. Dia menadah tangan dan meminta kepada Tuhannya agar dijauhkan segala malapetaka dan musibah yang boleh menimpa dirinya dan keluarga. Akira berasa sedikit tenang. lama dia berteleku di atas sejadah usang yang hampir lusuh itu. Sejadah pemberian terakhir daripada arwah Nek Semah ketika Hari Raya Aidilfitri setahun yang lalu. Kini, rumah arwah tersebut terbiar terbengkalai semenjak kematiannya dua bulan lepas. Akira pernah merancang untuk tinjau keadaan rumah tersebut tetapi niat itu dibatalkan atas factor tertentu dan perlukan masa yang sesuai.

                "Tok tok tok!"

                "Akira, mari makan nak, Nek Jah dah siapkan makanan. Tuan dengan Puan dah tunggu kat bawah, nanti panggilkan adik sekali."

               "Baik nek, kejap lagi Kira turun dengan Akid."

               Akira membuka telekung dan melipat sejadah. Dia keluar dan memanggil Akid yang berada di dalam bilik bersebelahan dengan biliknya. Mereka pun turun ke ruangan makan. Kelihatan meja penuh dengan hidangan yang dimasak oleh Nek Jah dan semuanya nampak lazat. Encik Rashid dengan Puan Riana sudah siap sedia di meja makan. Akira dan Akid duduk serentak dan ketawa. Encik Rashid mempelawa Nek Jah untuk makan bersama. Nek Jah ingin menolak tetapi setelah dipujuk oleh Akira dan Akid, dia turut makan bersama. Nek Jah telah bekerja dengan keluarga tersebut selama belasan tahun sejak Akira dan Akid masih bersekolah di tadika. Sepanjang tempoh tersebut, hubungan Nek Jah dengan keluarga tersebut semakin rapat dan apabila Akira dan Akid terpaksa menerima kehilangan satu-satunya nenek kandung mereka, Nek Jah juga tempat Akira dengan Akid merasai kasih seorang nenek. Sudah terbiasa begitu, Akira dan Akid mengganggap Nek Jah sebagai ahli keluarga mereka walaupun hanya bekerja sebagai orang gaji. Namun, status tersebut tidak menghalang hubungan akrab Nek Jah dengan anggota keluarga tersebut.

                Usai makan malam, Akira dan Akid terus duduk di ruang tamu untuk menonton televisyen. Kali ini, Akira berasa seperti ada sesuatu yang tak kena dengan perwatakan Akid pada malam itu. Dia hanya memerhati, menunggu masa sesuai kerana takut Encik Rashid dan Puan Riana bertanya soalan-soalan yang tidak disukai Akid. Akira memang tahu perangai adik tunggalnya itu, kalau ada sesuatu yang tidak disukai, dia akan buat memek muka. Ragam yang sudah acapkali dilihat oleh Akira. Akid kelihatan gelisah dan cuba bertenang. Dia kelihatan risau akan sesuatu. Riak muka yang cemas itu menimbulkan rasa ingin tahu Akira semakin membuak-buak. Akira menarik Akid naik ke atas dan masuk ke bilik bacaan. Tangan Akid sejuk membeku dan kaki dia bergetar. Akira mengusap kepala Akid dan cuba menenangkan adiknya dengan selawat dan istighfar. Sedikit demi sedikit Akid mengikut ayat yang dilafaz Akira.

              "Akid, okay tak ni? Risau Kira tengok."

             "Aaaa... Aaakiii... Akid nampak sesuatu dalam bilik Nek Jah selepas makan tadi, benda tu tinggi. Mula Akid ingat... benda tu cuma duduk dalam bilik tu tapi makin lama, benda tu macam ikut Akid. Kira tak nampak kkke kee?"

             "Kira tak faham, cuba Akid cerita apa sebenarnya yang Akid nampak, sebab dari ruang makan sampai ruang tamu, Akid tak tenang je Kira tengok. Kira nak tanya tapi ada ibu dengan ayah, Akid beritahu Kira je."

            "Kira tahu tak? Akid tak tahu nak explain tapi ni rahsia kita je. Keluarga kita ni ada asal usul yang hitam. Sejarah gelap yang dah lama ditinggalkan tu datang balik menghantui waris-waris nenek moyang kita dahulu. Akid dapat tahu dari surat arwah nenek bagi Hari Raya tahun lepas."

            "Akid! Jangan merepeklah. Mana ada semua tu, kalau betul pun, kenapa keluarga kita? Sekarang ni, mana surat tu? Kira nak baca. Kalau betul apa yang Akid beritahu ni, ibu ayah kena tahu pasal ni."

            "Tak boleh! Ibu ayah tak boleh tahu. Arwah nenek tak bagi sesiapa baca surat tu kecuali Akid melainkan darurat. Takpe, mungkin Akid ambil masa untuk biasakan diri dengan perkara ni. Kira tolong rahsiakan dari ibu ayah, biar Akid selesaikan benda ini. Akid dah dapat petunjuk, mimpi yang Akid dapat baru-baru ni semakin meyakinkan Akid yang Akid kena buat sesuatu."

            "Mana boleh macam tu! Bukan Akid je yang dapat mimpi. Kira dapat satu mimpi yang membawa watak Kira sendiri menjadi seorang perempuan yang kejam dan ngeri. Dalam mimpi tu, Kira bukan Kira yang ada depan mata Akid sekarang ni, seseorang yang lain. Seseorang yang penuh dengan dendam dan yang lebih teruk, dia toreh tangan dia sendiri. Lepas tu, satu halusinasi menjengah dan berakhir dalam satu bilik merah."

           "Jadi, mimpi kita ni berkait ke? Sebab mimpi Akid adalah selepas kejadian mimpi yang Kira cerita tadi. Masa tu, Akira dah terkulai atas katil dan dipenuhi dengan darah yang masih baru. Akid tahu benda ni dah mula jebak kita dalam permainan dia. Lagi lama kita tunggu, lagi kita lemah. Besok Kira free? Akid kena tunjuk sesuatu."

           "Besok Ahad, jadi takde apa-apa event rasanya, boleh. Sesuatu berupa apa?"

           "Besok Kira akan tahu. Sebab lagi senang siang. Malam ni benda tu semacam aktif. Kita tak sendiri, Kira tahu kan?"

           "Ye, Kira tahu. Benda ni suka main dengan penipuan dan halusinasi yang menjebak manusia. Kira tunggu besok."

            Selepas berbincang mengenai hal tersebut. Akira dan Akid kembali ke bilik masing-masing. Mereka dah berjanji untuk merahsiakan perkara itu daripada ibu bapa mereka. Besok Akid akan membongkar kandungan surat arwah Nek Semah kepada Akira. Nek Semah sempat berpesan, kalau Akid perlukan bantuan, sama ada Akira atau orang yang dipercayai tetapi bukan Encik Rashid dan Puan Riana. Akid hairan dan bertanya tentang tersebut, jawapan yang diterima tidak memuaskan kerana Nek Semah hanya memberitahu segalanya akan terjawab dalam sepucuk surat tersebut. Ada sebab-sebab tertentu ibu ayah Akid tidak boleh terlibat. Akid tak sempat bertanya lebih lanjut kerana ayahnya ingin cepat pulang. Dia pulang dengan tanda tanya tetapi mungkin ada sesuatu yang perlu dilakukan supaya jawapan kepada persoalannya itu dapat dirungkai satu persatu mengikut waktu tertentu. Petanda pertama yang dia dapat ialah tanah pusaka yang diberikan kepada Pak Ngah. Imbasan kembali bermain di minda Akid apabila peristiwa senyuman terakhir Nek Semah yang menampakkan sesuatu. Akid cuba mengingati dengan lebih teliti. Imbasan tersebut menunjukkan sebelum kereta Alphard tersebut jauh meninggalkan pekarangan rumah usang itu, satu lembaga hitam tinggi sedang berdiri di belakang Nek Semah. Semakin lama, semakin jauh dan bayang rumah usang hilang dari penglihatan Akid. 

                                                                                         ***

RitualWhere stories live. Discover now