9

70 2 4
                                    

15 Januari 2015 (flashback)

3 hari dah berlalu...

               Keadaan rumah Akid dan Akira seperti biasa. Tiada perkara pelik yang berlaku. Gangguan tersebut seperti hilang tanpa diketahui punca tetapi langkah berjaga-jaga perlu dipasang supaya tidak terjebak dalam perangkap. Permainan yang halus dan berbisa. Pagi itu cerah seperti hari-hari yang sebelumnya. Mungkin kerana halusinasi dan mimpi itu berlaku ketika cuti umum sahaja. Entah, mereka juga tidak membahaskan tentang perihal itu. Akid dan Akira menjalani hidup macam biasa, pergi sekolah dan sebagainya. Segala yang berlaku di dalam rumahnya dan hal-hal mistik perlu dilupakan seketika.Belum sempat menutup tirai yang memberi impak negatif, muncul satu titik gangguan yang nyata dan jelas, gangguan manusia.

Di sekolah Akid...

              Bas sekolah berhenti di hadapan pintu pagar dan budak-budak sekolah berpusu-pusu keluar terus menuju ke kelas masing-masing supaya tidak terlewat. Akid juga tidak ketinggalan namun perjalanannya terganggu oleh seorang budak lelaki yang menyimpan dendam terhadap dirinya muncul dalam skop penglihatan. Dia berhenti serta-merta. Segalanya berpunca dengan satu episod perbalahan daripada satu persahabatan yang akrab. Akid pun tak berapa ingat punca perbalahan tersebut, tetapi memori telah terakam jelas insiden tersebut berlaku. Semua sudah tidak sama, lumrah kehidupan, manusia boleh berubah bila-bila sahaja. Mungkin mereka dilahirkan dengan tubuh manusia yang sempurna, akan tetapi masa remaja mereka boleh dipengaruhi dengan perangai Dajjal entah dari mana akar umbinya sedangkan diri masing-masing telah diingatkan bahawa mati itu bila-bila masa sahaja. Insan itu bernama Hakim atau Kim, seorang musuh daripada satu perkataan rakan tika dahulu.

(Flashback)

              Tiga orang jejaka menuju ke kantin sekolah bersama-sama. Suasana hingit-bingit seperti biasa kerana semua pelajar yang lapar ingin mengisi perut-perut yang sudah lama berkeroncong, tidak kurang juga dengan tiga sahabat serangkai ini, Akid, Kim dan Min. Mereka berkawan sejak sekolah tadika dan rumah Kim dengan Min sangat dekat, cuma rumah Akid yang jauh sedikit. Pelajar-pelajar beratur dengan panjang untuk membeli makanan.

            "Kau beli makanan, aku cari tempat duduk, ok?"

            "OK. Aku pulak pergi beli air."

             "Ha yelah yelah, nanti bagitahu aku, kau orang nak makan apa, lambatla gini, panjang gila barisan harini."

             "Standard lah tu, dah kita datang lambat, maklumlah acah-acah macam raja padahal bukan, hahahaha, kenalah beratur dan tunggu, hahahaha."

              Akid beratur sementara menunggu gilirannya. Kim mencari tempat duduk untuk mereka bertiga manakala Min pergi membeli air. Sementara menunggu giliran, Akid melihat sekitar dinding kantin tersebut, kemas dan cantik tetapi bebola matanya terhenti pada satu penjuru dinding. Penjuru dinding tersebut terlihat begitu aneh dan dia melihat satu tompokan hitam yang kecil, lama-kelamaan menjadi besar dan dipenuhi dengan lipas dan bermacam serangga keluar dari tompokan hitam tersebut. Akid mengalihkan pandangan. Perasaannya menjadi gelisah, jantung berdetak laju. Dia cuba berlagak biasa dan tenang seperti tiada apa yang jadi. Tiba-tiba satu bayangan hitam melintasi tubuhnya, bahu kirinya terasa gedi selepas bayangan melintas di sebelahnya. Dia mencuba untuk tak kelih, memejamkan matanya rapat-rapat. Datang satu bisikan berbunyi bahasa yang tidak dapat ditafsirkan, seperti bahasa kuno yang sudah lama melekat di telinga kiri, Akid hanya memejam mata dan terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci untuk melindungi dirinya. Bisikan tersebut semakin kuat dan bingit di telinga sehinggalah...

           "Dik! Dik! Dik!"

          "Hah? Ye kak..."

          "Mengelamun ke? Sempat lagi ye.Nak beli apa ni?"

RitualWhere stories live. Discover now