AFEEYA DANIELLA BINTI AMMAR
Direnungnya nama yang tertera di atas kad pengenalannya sebelum memasukkannya kembali ke dalam purse yang baru dibelinya di Australia pada dua hari yang lepas.
"Malaysia, I'm back!" Afeeya tersenyum lebar. Beg troli besar miliknya ditarik sehingga ke arah kerusi besi panjang yang tersedia di KLIA tersebut.
Sebaik sahaja melabuhkan punggung, satu keluhan lemah dilepaskan. Sudah berkali-kali dia cuba menghubungi mama dan papanya sejak tadi, namun masih lagi tiada sebarang respons daripada mereka sehinggalah sekarang.
Malah pasangan suami isteri Pak Majid dan Mak Som yang merupakan pemandu dan pembantu rumahnya juga langsung tidak menjawab panggilan yang bertalu-talu daripadanya. Tiada seorang daripada mereka pun yang menjawab panggilannya sejak dia tiba di KLIA pada sejam yang lepas.
Fikirannya buntu. Antara perasaan risau, sedih, marah dan terkilan. Semuanya sudah bercampur aduk. Dia betul-betul sudah tidak tahu siapa lagi yang patut dihubunginya untuk menjemputnya pulang ke rumah.
Kawan?
Dia manalah ada kawan yang betul-betul akrab. Semua kawan yang pernah singgah dalam hidupnya datang dan pergi begitu sahaja. Setelah semua kepentingan mereka dipenuhi, mereka akan berlalu pergi daripada hidupnya.
Lupakan soal kawan, perasaan terkilannya terhadap mama dan papanya lebih menguasai dirinya. Manakan tidak, daripada minggu lepas lagi dia sudah cuba menghubungi ibu bapanya, namun satu balasan panggilan pun dia tidak terima sehingga sekarang. Mesej yang dihantar untuk memberitahu bahawa hari ini adalah hari dia pulang ke Malaysia juga tak dibalas.
"Sabar Feeya, mungkin mama dan papa sengaja nak buat kejutan untuk kau." Afeeya cuba berprasangka baik.
"Look who I just met, sayang!"
Afeeya mengangkat mukanya apabila mendengar suara gedik yang memang tidak asing lagi padanya. Suara si pemilik hati yang busuk yang telah menghancurkan hubungan baiknya dan Anissa sebelum ini.
Tanpa menunggu lama, Afeeya terus mengangkat punggung dari kerusi besi dan pantas menarik bagasinya ke arah yang bertentangan daripada Linda dan teman lelaki barunya. Dalam diam, sempat juga dia mengutuk Linda yang asyik menukar teman lelaki seperti menukar baju.
Baginya, orang seperti Linda ini jangan dilayan sangat. Semakin dilayan semakin menjadi-jadi!
"Harap-harap, inilah kali terakhir aku akan jumpa minah gedik ni!" Afeya merungut geram.
"Hoi Feeya! Aku tengah cakap dengan kau ni. Kau pekak ke apa?" tegur Linda bila melihat Afeeya terus melangkah dari situ.
"Bukan tadi dia cakap dengan boyfriend dia ke?" Afeeya menjuihkan bibir. Malas mahu melayan, dia meneruskan lagi langkahnya.
"Aku tak tahu sama ada kau perasan ke tak, tapi Nisa pun satu flight dengan kau tadi." Linda menguatkan sedikit suaranya.
Afeeya menghentikan langkahnya dan memandang Linda di belakangnya. Tangan digenggam kemas. Ya, dia memang tahu bahawa Anissa juga satu flight dengannya tadi. Tapi apa yang dia boleh buat? Jumpa dan pujuk rayu kepada kawan baiknya itu?
"Aku tak tahu apa sebenarnya masalah kau, Linda! Tapi kenapa kau mesti nak libatkan Nisa? Sebenarnya apa yang kau tak puas hati dengan aku selama ni? Apa kau ni memang tak boleh nampak aku bahagia ke?" soal Afeeya menahan marahnya.
Linda tersenyum sinis memandang gadis berwajah Pan-Asia di hadapannya. Langsung dia tidak berminat untuk menjawab soalan yang bertalu-talu keluar daripada mulut Afeeya.
Bukan aku je yang tak boleh tengok kau bahagia. Tapi nenek kandung kau sendiri, Feeya. Darah daging kau sendiri! Cukup-cukuplah dengan kemewahan yang kau ada sekarang dan aku percaya, tak lama lagi kebahagian kau tu pun mesti akan lenyap sekelip mata je! Dalam diam, Linda ketawa mengejek setelah perasaan hasad dengki mengambil alih dirinya yang berhati busuk itu.
"Tadi beria-ria sangat nak cakap dengan aku!" omel Afeeya geram apabila soalannya langsung tidak dijawab.
Dia menoleh kepada teman lelaki Linda yang dari tadi lagi tersenyum-senyum kepadanya dengan lagak macho. Afeeya menyeringai. Macamlah aku tergoda dengan muka kerek dia! Huh, memang sepadan sangat mamat tu dengan Linda! Kutuk Afeeya dalam hati.
Linda tersenyum sinis apabila melihat wajah Afeeya yang seakan sedang meluat dengannya. Jari telunjuknya digoyang-goyangkan di hadapan Afeeya.
"Aku just nak tegur kau sikit je, memandangkan kita dah dekat Malaysia. Bukan nak borak-borak panjang dengan kau pun." Linda tersenyum sinis.
Afeeya sudah buat muka bosannya. Meluatnya dengan perempuan yang terlebih gedik ini!
"Let's not meet again next time, okay?" Tanpa berlengah, Afeeya terus sahaja berlalu dari situ meninggalkan Linda.
"I doubt it, Feeya. Sebab aku tak rasa pun yang nenek kau akan duduk diam selagi dia tengok kau bahagia!" Linda menyeringai.
YOU ARE READING
Terima Kasih Derita [TERBIT]
RomanceBLURB: Afeeya Daniella binti Datuk Ammar, gadis Pan-Asia yang punya segala kelebihan. Namun kerana satu fitnah, Afeeya dibuang oleh bapa kandungnya sendiri pada hari kematian ibunya. Malah kerana fitnah yang sama juga, hubungan Afeeya dan kawan baik...