Afeeya menoleh ke belakang untuk memastikan bahawa dia betul-betul sudah jauh daripada Linda.
"Fuhhh..." Afeeya mengeluh lega. Tekaknya tiba-tiba terasa haus pula. Melilau matanya mencari kedai yang menyediakan minuman untuk melegakan tekaknya.
Afeeya tersenyum saat terpandang sebuah kiosk minuman tidak jauh daripadanya. Pantas dia berjalan menuju ke kiosk minuman itu sementara masih tiada sesiapa yang membuat oder dan beratur pada waktu itu.
"Chocolate Milk satu."
"Iced Coffee satu."
Serentak pesanan dibuat.
"Encik sila tunggu dulu, iced coffee akan siap sebentar lagi." Tersipu-sipu pekerja itu menerima pesanan daripada lelaki kacak dan berkot itu.
"Eh, tunggu jap. Tadi saya yang order dulu sebelum dia kan? Kenapa awak ambil order dia dulu?" Afeeya menegur pekerja perempuan itu dengan riak tak puas hati.
"Maaf, cik. Tadi cik dan encik ni order serentak. Jadi, cik sila tunggu sekejap ya? Nanti saya ambil order cik lepas saya siapkan air encik ni," pujuk pekerja itu Afeeya kerana bimbang pelanggannya ini membuat kecoh.
"Maaf, saya tak tahu siapa yang lebih awal sekarang, tapi saya dah agak lewat sekarang. Jadi saya minta cik boleh fahamlah ya?" Lelaki itu bercakap dengan Afeeya sambil melihat jam di tangannya.
Macamlah dia sorang aje yang lewat! Dahlah cakap dengan orang tak tengok muka. Biadab betul! Afeeya mengutuk lelaki itu dalam diam.
"Encik, saya pun tengah kejar masa juga sekarang ni. Dan saya memang yakin saya dulu yang datang ke kaunter ni sebelum encik tadi. Jadi saya minta encik boleh fahamlah ya?" Sempat lagi Afeeya mengajuk kata-kata lelaki tersebut pada akhir percakapannya.
Irfan Sufyan berdengus kecil apabila merasakan gadis di hadapannya seolah-olah hendak mencari gaduh dengannya. Benda remeh macam ni pun tak boleh nak bertolak-ansur. Apa semua perempuan memang macam ni ke? Tak faham betullah aku dengan perempuan! Bisik hati Irfan Sufyan, bengang.
Afeeya memandang muka lelaki itu. Namun, saat lelaki itu tiba-tiba memandangnya juga, mata bertemu mata, terpana sebentar Afeeya dibuatnya! Aduh, malu betul! Namun, lelaki itu berpaling semula ke arah pekerja tadi.
"Tak apalah, saya cancel order saya memandangkan air saya belum lagi dibuat. Ambilkan order cik ni aje. Sebab dia tengah kejar masa sekarang." Selesai berkata, Irfan Sufyan terus berlalu dari situ dengan hati yang sebal.
Afeeya sedar lelaki itu memerlinya. Walaupun ada rasa bersalah sedikit terhadap lelaki itu, tapi lantaklah! Apa yang lebih penting sekarang ialah rasa dahaganya. Dengan riak bersahaja, Afeeya memesan semula minumannya walaupun pekerja tersebut kelihatan seperti tidak berpuas hati sahaja dengannya.
******
Irfan Sufyan masuk ke dalam Porsche kesayangannya. Baru sahaja dia mahu menekan pedal minyak, tiba-tiba telefonnya berbunyi minta untuk diangkat. Tertera nama sepupunya, Anissa di skrin telefon. Dia terus tersenyum. Dengan segera, panggilan tersebut disambut.
"Nisa, Abang Fan mintak maaf sangat-sangat tadi sebab dah terlewat jemput Nisa..." Belum sempat dia menghabiskan ayatnya, tiba-tiba kedengaran suara ibu saudaranya memotong percakapannya.
"Minta maaf Fan sebab menyusahkan Fan aje nak kena tolong ambilkan Si Nisa ni. Dia berkeras sangat nak Fan yang datang jemput dia. Tapi akhirnya, mak long dengan pak long juga yang terpaksa ambil budak bertuah ni." Puan Solehah bertutur lembut.
"Nisa macam mana mak long? Dia masih marah Fan ke?"
"Dia tengah marahlah ni kut. Dari tadi lagi duk bermuncung macam mulut itik aje dalam kereta ni."
Irfan tergelak mendengarkan kata-kata ibu saudaranya itu. Dia dapat membayangkan bagaimana muka Anissa yang sedang merajuk. Jam yang terlekat di tangannya dilirik sekilas.
"Tak apalah mak long, nanti Fan pujuk Nisa balik lepas Fan habis meeting. Insya-Allah Fan singgah rumah Mak Long petang ni."
"Eloklah kalau macam tu. Tapi mak long nak minta maaflah sebab dah menyusahkan Fan hari ni."
"Tak ada apalah Mak Long, Nisa tu bukannya orang lain. Sepupu Fan sendiri juga. Baiklah Mak Long, Fan dah lewat ni. Fan letak phone dulu ya? Assalamualaikum."
Sebaik sahaja ibu saudaranya menjawab salamnya, Irfan Sufyan terus memandu keretanya meninggalkan pekarangan KLIA.
******
Afeeya sibuk memasukkan segala beg dan barang-barangnya ke dalam bonet teksi walaupun sudah ditegah pak cik teksi itu berkali-kali. Yalah, kesian pula dia tengok pak cik itu. Kelihatan seperti sudah berusia sahaja. Jadi, apa salahnya kalau dia membantu.
"Cik ni baru pulang dari mana?" Pemandu teksi itu ramah bertanya. Namun, mata tuanya masih lagi menumpukan perhatian pada pemanduannya.
"Saya baru pulang dari Australia, pak cik. Baru habis belajar." Dibalasnya pertanyaan pak cik itu bersama senyuman manis. Dia tak mahu perasaan terkilan terhadap ibu bapanya tadi terbawa-bawa sehingga sekarang.
"Baguslah kalau macam tu. Anak perempuan pak cik pun baru aje habis belajar bulan lepas. Tapi anak pak cik tu belajar dekat universiti awam sini je. Kami ni orang susah, tak boleh nak hantar jauh-jauh." Pak cik itu tersenyum.
"Sama je pak cik belajar jauh dengan dekat ni. Asalkan kita dapat menuntut ilmu." Lembut Afeeya membalas.
Padahal dalam lubuk hati, dia tersentuh dengan kata-kata pak cik itu. Tersentuhnya kerana perkataan 'orang susah' yang disebutkan pak cik itu. Lagipun, dia dapat melihat pak cik itu bersusah payah mencari rezeki untuk keperluan keluarganya walaupun dirinya sudah hampir menjangkaui usia.
Tiba-tiba dia teringatkan datuknya yang hanya dapat dilihat melalui foto sahaja. Tidak pernah berkesempatan untuk bertemu dengan datuk dan neneknya sepanjang dia dilahirkan. Menurut mama dan papanya, mereka mempunyai konflik dengan neneknya. Datuknya pula sudah lama meninggal dunia akibat penyakit jantung.
Dalam memikirkan banyak perkara, Afeeya akhirnya terlelap dengan sendirinya kerana terlalu letih.
YOU ARE READING
Terima Kasih Derita [TERBIT]
RomanceBLURB: Afeeya Daniella binti Datuk Ammar, gadis Pan-Asia yang punya segala kelebihan. Namun kerana satu fitnah, Afeeya dibuang oleh bapa kandungnya sendiri pada hari kematian ibunya. Malah kerana fitnah yang sama juga, hubungan Afeeya dan kawan baik...