Bab 8 - Bertemu di Syarikat

1.1K 57 3
                                    

Sebulan berlalu....

Afeeya melihat jam di tangannya. Pukul lapan tiga puluh minit!

Adoi, memang sah-sahlah dia akan dimarahi oleh abah nanti! Eh, tersasul pulak. Kalau di pejabat kena panggil Tan Sri. Aku bukannya anak dia pun nak panggil abah bagai. Nanti kang tak pasal-pasal bertambah pula hatersnya, desisnya dalam hati.

Tan Sri Yusuf pula nampaknya faham sangat dengan keadaannya sekarang. Sebab itu jugalah, Tan Sri Yusuf menawarkan kepadanya dengan jawatan sebagai setiausahanya. Tetapi selama ini memang tidak pernah terbayang di dalam hidupnya untuk menjawat jawatan setiausaha kepada seseorang yang bergelar Tan Sri. Jawatan itu benar-benar 360 darjah lari dari bidang yang dipelajarinya di Australia dahulu.

Namun, salah dia sendiri juga tidak pernah memberitahu Tan Sri Yusuf bahawa dia merupakan seorang pemegang MBA (Master of Business Administration). Tapi bagaimana dia mahu memberitahu Tan Sri jika segala sijil-sijil dan transkrip akademiknya telah tertinggal di kediaman keluarganya?

Dan memang tidak mungkinlah dia mahu memberitahu perkara tersebut kepada Tan Sri. Seandainya dia tidak tertinggal failnya itu, pasti sekarang dia sudah memegang jawatan yang tinggi di dalam syarikat tersebut. Baru-baru ini pun, dia terdengar ada jawatan kosong yang sesuai dengan bidangnya di syarikat IFY Jaya milik Tan Sri Yusuf ini.

IFY Jaya adalah nama syarikat Tan Sri Yusuf. Walaupun tidak pernah menanyakannya, tetapi dia boleh tahu nama syarikat ini adalah hasil gabungan nama Irdina, ibu dan abah sendiri. Sama seperti papa yang menggunakan awalan namanya untuk syarikat miliknya iaitu AD Holdings.

Wajahnya tiba-tiba menjadi sayu. Air matanya mahu keluar, tetapi cepat-cepat disekanya pantas.

"Bawa-bawa bersabarlah, Feeya. Kau kena kuat. Lambat-laun, satu hari nanti pasti kebenaran akan terbukti jua dan papa pun akan maafkan kau," keluhnya sendirian.

Afeeya memberi semangat kepada dirinya sendiri. Itulah pembakar semangatnya setiap hari yang menjadikan dia kuat sehingga ke hari ini. Tanpa disedarinya, dia meraba lehernya dan mencari rantai kesayangannya untuk digenggam. Namun dia terus cemas. Rantai lehernya tiada!

Dalam langkahnya yang agak laju mengejar masa, dia mengetuk kepalanya berkali-kali. Dia terlupa pula bahawa dia telah menggadaikan rantainya kepada mamat Porsche di airport hari itu. Tiba-tiba perasaannya menjadi risau. Kalau lama-lama, boleh jadi lelaki itu betul-betul akan menggadai rantainya di kedai pajak gadai!

Kad yang diberikan oleh lelaki itu pada tempoh hari terus terlintas di fikirannya. Dia membuka beg tangannya dan mengambil purse merahnya. Tidak sampai lima saat, dia menarik keluar kad lelaki itu daripada pursenya.

Dia tahu kad itu adalah milik lelaki Porsche itu, walaupun dia belum pun lagi melihat isi yang tertera di atas kad tersebut. Itu kerana kad dia sahajalah satu-satunya kad yang berwarna emas berkilat. Hmmm, memang poyo betullah mamat ni! Dia mengejek dalam hati.

Baru sahaja mahu melihat isi yang tertera di kad tersebut, tiba-tiba dia terdengar pintu lif dibuka. Apa lagi, dia terus meluru ke arah lif sambil menyisir rambut hadapannya yang sudah mulai panjang ke tepi telinganya. Isy, pagi-pagi dah serabut!

Alamak, pintu lif sudah mahu tertutup!

"Stop! Stop!" Afeeya menjerit. Laju dia mengejar lif yang sudah mahu tertutup. Sampai sahaja di depan lif, dia terus menahan lif dengan tangan kanannya.

Alhamdulillah! Nasib baik lagi sempat! Afeeya melepaskan nafas panjangnya.

Afeeya melangkah masuk ke dalam lif sebaik sahaja pintu lif terbuka semula. Dia tidak jadi menekan butang lif kerana lelaki yang menaiki lif bersamanya juga turut menuju ke tingkat yang sama sepertinya. 

Terima Kasih Derita [TERBIT]Where stories live. Discover now