PANDORA 1

374 22 5
                                    

Hujan musim bunga yang sejuk dan nyaman menyambut ketika kakinya mencecah permukaan pelabuhan. Lazimnya ia turun serta-merta,lebat tetapi akan berhenti dibawa angin apabila menjelang petang. Hari sebenarnya sudah menginjak waktu senja dan kerana itu tidak hairan jika tidak ada sesiapa yang kelihatan di situ.

Pelabuhan kayu dengan binaan ringkas hanya beberapa keping papan tebal yang dipaku rapat serta tiang simen yang terbenam ke dalam tanah itu sedikit terang dilimpahi cahaya neon serta sinar matahari yang semakin tenggelam di garis horizon sebelah Barat.

Di hadapannya, sebuah rumah api menjulang dari tanjung kecil dan memancarkan cahaya kemerahan ke tengah laut. Walaupun hujan turun, tetapi suhu tetap dirasakan hangat apabila bertembung dengan bayu darat yang mulai memuput jejeran pohon Rhu di pinggir pantai.

Pemandu bot tersebut hanya tersenyum apabila beberapa helai not diletakkan ke dalam bekas plastik di tepi haluan.Lazim untuknya membawa susuk tubuh tersebut dari tanah besar setiap hari Jumaat. Begitu sahaja saban minggu. Waktu yang sama dan tidak pernah berubah walau sekalipun. Tidak perlu diperiksa apa isi bekas kertas yang dijinjit pada tangan kirinya. Pasti kopi yang baru dibru dan kek keju strawberry manakala dipeluk lebih rapat ke dada ialah sejambak bunga berkuntum kecil yang harum.

Di pulau tersebut, tidak ada sesiapa yang tidak mengenali siapa gerangan susuk tubuh tersebut. Dia merupakan anak tunggal kepada pemilik klinik satu-satunya di pulau itu. Jika anaknya mampir ke tanah besar setiap hari Jumaat, ayahnya pula akan singgah ke bandar bagi mendapatkan bekalan ubat-ubatan dan keperluan lain klinik tersebut.

Dr. Ahn. Demikian nama pemilik klinik itu. Seorang lelaki dalam usia akhir lima puluhan dengan rambut yang sentiasa dipotong kemas tidak pun mencecah cuping telinga. Garisan-garisan tampan masa mudanya masih disisakan pada mata hitam yang dihiasi cermin mata berkanta cekung, hidung teguh pada tengah wajah dan garis dagu yang tegas serta bibir yang murah sekali melemparkan senyuman kepada sesiapa sahaja. Hanya sahaja masa demikian nan tidak tertaklukkan lalu menghantar garis kedutan pada sudut matanya setiap kali dia tersenyum serta uban yang merambat pelipis kanan dan kirinya.

Walaupun telah mencecah usia demikian, Dr. Ahn masih cergas dan terkenal sangat ramah juga baik hati kepada seisi penghuni pulau tersebut. Buktinya, segala perkhidmatan kesihatan di klinik tersebut diberikan secara percuma dan ia merupakan satu keberuntungan buat para warga kerana tidak perlu menaiki bot hampir dua jam ke tanah besar bagi mendapatkan ubat-ubatan.

Namun sebaik sahaja kakinya mencecah butiran pasir,ada satu naluri tumpul yang terasa memintas hatinya membuatkan jantungnya serta-merta berdegup kencang. Bulu-bulu halus pada tengkuk dan tangannya tegak lalu telinganya berdesing seketika.

Tanpa memperdulikan kakinya yang sesekali terbenam ke dalam pasir, dia berlari pantas ke arah Timur. Arah di mana klinik sekaligus rumahnya berada. Ada satu bau yang membuatkan dia terasa ngeri.

Bau api yang sedang membakar sesuatu!

Lidah api yang menjulang tinggi melahap binaan di hadapannya itu berjaya membuatkan dia tergamam.

Klinik mereka sedang marak dijilat api.

Teriakan para warga yang cuba untuk membantu memadamkan kebakaran tersebut tidak memberi kesan langsung kepadanya kerana hatinya berdetak dengan cemas.

Dalam genangan air mata cemas bercampur ketakutan tidak kelihatan bayang ayahnya di mana-mana.

" Ayah!!!!! "

Kek keju dan kopi baru dibru kegemaran sang ayah terhempas ke tanah lalu redam di antara kaki para penduduk yang berlari-lari menjinjit baldi berisi air.Di hujung sebelah kanan, beberapa susuk tubuh lelaki membentuk rantaian manusia saling sambut menyambut baldi berisi air untuk memadamkan api yang menjulang marak tersebut. Lalu ada pula teriakan yang tidak tentu butir bicaranya memekikkan sesuatu entah apa.

Tatkala gerbang yang tertera nama klinik tersebut ranap di dalam kobaran api yang menjulang, dia sudah hampir hilang kewarasan dan pautan beberapa pasang tangan ke tubuhnya ditepis kasar.

Walaupun hujan renyai-renyai turun, aneh bagaimana api terus marak menjilat binaan klinik tersebut sehingga rumah itu tenggelam dalam kepulan asap hitam yang berbau hangit.

Cengkaman tangan pada bahu dan pinggangnya lepas apabila dia meronta keras ketika satu tubuh digendong keluar dari celah kepulan asap dan rintik hujan yang masih kasar.

" Ayah.. "

" Kiee.. kiee.. ell.. "

Tubuh sang ayah yang basah dan kumuh di sana sini itu disambut dengan linangan air mata. Pada lengan dan bahu ada luka melecur yang memperlihatkan kulit melepuh serta daging kemerahan akibat dimamah api.

" Siapkan bot. Kita bawa Dr. Ahn ke tanah besar. "

Entah siapa yang berteriak dengan keras begitu Kiel sudah tidak tahu. Kerongkongnya rasa tersekat dengan tangisan yang tidak dapar dizahirkan apabila melihat tidak ada lagi rambut ayahnya yang berpotongan kemas melainkan kepala yang berlumuran debu serta kesan terbakar. Kaca mata yang menyinggahi hidungnya kabur malahan retak pada sebelah kanan.

Dr. Ahn mengeratkan cengkaman pada lengan anaknya tatkala merasakan ada tangan yang menyelit pada celah pelipat pahanya dan tubuhnya terangkat dari pangkuan Kiel. Dengan tangan yang menggeletar dia mencengkam kolar baju yang dipakai Kiel lalu ia segera dimengertikan sebagai isyarat ada sesuatu yang ingin diperkatakan oleh ayahnya kepadanya.

" Taakkk ussah bbawa ayahhh ke hospittal.Ttakk adda gunannya.."

Bibir membiru Dr. Ahn menggeletar menyebutkan setiap patah perkataan itu.Masih dengan jari-jemari yang semakin membiru dan sejuk, dia membawa jari Kiel ke lehernya.

" Suntikk. Mmerekkaa suntiiik ayahhh di siniiihh.."

Kiel mencengkam kejap jari jemarinya sehingga terbenam ke dalam tapak tangannya sendiri. Otot-otot pipinya menegang dan rasa hangat mulai merambat sehingga ke cuping telinga.

" Kiell.. Jangggannnnn..."

" Tak perlu bawa ayah,pakcik."

Anak itu mendadak angkat suara sambil menyeka air mata yang turun mengalir pada kedua-dua belah pipinya.

" Ttapii.. "

" Ini permintaan ayah sendiri."

Setiap pasang mata para warga saling berbalas pandang sesama sendiri namun tidak ada yang berani membantah apatah lagi ia adalah kehendak daripada Dr. Ahn sendiri. Suasana bungkam dan curahan hujan pula semakin lama semakin keras dengan angin kencang berhembus kasar.

Masih terkejut dengan kejadian tersebut yang jelas-jelas aneh pada hemat kebanyakan orang, perlahan-lahan seseorang datang dan memayungi susuk tubuh dua beranak itu.Malahan ada seorang dua yang mulai menangis tersedu-sedu. Lirih.

"Ppergi darrri sinnihh dannn jangggan cubbaa.... "

" Saya tahu, ayah. Jangan risau.. "

Kiel mengusap pipi ayahnya dengan gementar apabila melihat anak mata sang ayah semakin membesar dan kaku. Dia tahu ketika itu tidak ada apa-apa lagi yang boleh dilakukannya.

" Iinnihhh.. "

Jari sejuk Dr. Ahn terangkat lemah lalu meletakkan sesuatu ke dalam genggaman tangan Kiel.

Pandangan mata Kiel singgah sebentar ke dalam tapak tangannya. Seutas rantai dengan loket berbentuk bulan sabit separa daripada perak yang berkilat namun berlumuran darah akibat luka menganga pada tapak tangannya.

" Sudah lama ayah ingin berikan pada Kiel"

Bibir Kiel menguntum senyuman hiba lalu spontan dia mengangguk.

" Terima kasih, ayah. "

Lalu senyuman pucat Dr. Ahn bertukar kaku dan serentak dengan itu juga kelopak matanya tertutup perlahan-lahan. Kiel mengenggam kejap utas rantai tersebut dengan tangisan tertahan di dalam dada.

Ketika awan menumpahkan air matanya seakan-akan menangisi pemergian sang ayah, Kiel mengenggam loket bulan berdarah itu dengan otot pipi yang mengeras. Ada sesuatu menganjal di dalam dadanya.

* * *

JÈ ROUGE: HALF SILVER MOONWhere stories live. Discover now