" Komander Deon.."
Begitu dia menyebutkan nama sebaik sahaja ikon berbentuk telefon hijau itu digeser dengan jari telunjuk.Tidak perlu memperkenalkan diri tetapi dia tahu siapa gerangan pemanggil di hujung talian sana.Satu suara bernada tegas dan berat mengucapkan sesuatu dan membuatkan dia mencerunkan matanya.
" Apa kalian pasti?"
" Pasti,tuan."
" Bawa dia kembali ke NSA."
Ujarnya lalu hanya dengan balasan sepatah,pemanggil di hujung talian sana memutuskan panggilan telefon.
Jeda beberapa saat sebelum lelaki dalam usia pertengahan lima puluhan itu meletakkan semula telefon bimbitnya ke atas permukaan meja lalu menarik laci di bawah meja kerjanya.Menekan satu butang di sudut kanan bawah laci tersebut dan serta-merta sekeping kaca lutsinar muncul di hadapan mejanya sementara permukaan mejanya yang juga diperbuat daripada kaca itu berkelip-kelip dengan memaparkan papan kekunci digital berwarna hijau.
Sambil mengerutkan kening,Komander Deon menekan simbol ON pada papan maya kekunci digital di hadapannya dan jata rasmi Agensi Keselamatan Kebangsaan kelihatan muncul bersinar terang dalam kerlip cahaya merah putih.
Imej dacing berwarna putih dengan tulisan berhuruf besar NSA di bahagian bawah yang merupakan singkatan kepada Agensi Keselamatan Kebangsaan sementara di bahagian atas imej dacing tersebut dipayungi oleh ranting pohon zaitun dengan enam belas helai daun mewakili enam belas kawasan pentadbiran metropolitan.
Selepas melakukan pengecaman dengan menggunakan kata laluan rahsia,satu paparan muncul di layar kaca.Melihat paparan fail digital yang dibukanya,kerut kening Komander Deon tidak kunjung surut.Suara Ibanez sebentar tadi terngiang semula di dalam kotak pendengarannya.Maksud panggilan telefon tersebut jelas mengatakan bahawa mereka sudah berjaya menemuinya.
Dalam keadaan sekarang,dia tidak punyai pilihan lain selain membawa semula Luna 004 kembali ke NSA dengan kadar segera dan kerana itulah dia menghantar tiga ejen terbaik NSA untuk mencari tahu keberadaannya setelah usaha sebelum ini mengalami kegagalan.Luna 004 mesti ditemui sebelum mesyuarat pemilihan komander NSA yang baru berlangsung dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.
Sekiranya hal tersebut tidak dapat diselesaikan,ia pasti akan menjadi satu alasan yang sangat kukuh untuk menyingkirkannya daripada jawatan komander yang disandangnya sekarang.Kalau pun khidmatnya tidak lagi diperlukan oleh agensi,hendaknya biarlah hari terakhir keberadaannya di agensi tersebut akan dikenang sebagai masa-masa gemilang agensi perisikan itu.
Mewarisi misi dan visi untuk menjadikan Agensi Keselamatan Kebangsaan Metro Delta sebagai sebuah agensi yang cemerlang ,sudah pasti Komander Deon tidak mahu usaha puluhan tahun mereka hancur begitu sahaja.Ketika dia menerima arahan untuk menamatkan khidmat tugas di lapangan dan diarahkan untuk kembali ke ibu pejabat,Komander Deon sememangnya tidak menduga bahawa ada misi yang sangat penting dipikulkan ke bahunya.
Pertama kali diperkenalkan kepada Projek Orion,dia sempat tidak bersetuju kerana jelas pada hematnya ia sangat melanggar hukum alam.Menghasilkan tentera-tentera super melalui teknologi kejuruteraan genetik yang sangat maju !
Bukankah ia kedengaran seperti satu cita-cita yang sangat tinggi dan tidak masuk akal?
Komander Deon tahu dan faham bahawa persaingan antara agensi perisikan bukan sesuatu yang rahsia dalam dunia bawah tanah begitu.Namun ketika dia dibawa ke makmal penyelidikan rahsia dengan kawalan keselamatan sangat ketat,Komander Deon tercengang-cengang sendiri.
Bergelumang dalam dunia perisikan sejak berusia awal dua puluhan,sekalipun dia tidak pernah terfikir akan berhadapan dengan situasi sebegitu.Sepanjang tempoh perkhidmatannya dalam agensi, menjalankan operasi rahsia, berurusan dengan dunia gelap konspirasi perisikan serta penggunaan senjata moden yang canggih adalah hal biasa baginya. Tetapi, hari itu-di tempat itu dia benar-benar diperkenalkan kepada satu lagi dunia yang tidak pernah terlintas dalam fikirannya sebelum ini.