PANDORA 4

110 13 3
                                    

Kemeriahan dan hiruk-pikuk pasar pagi adalah antara hal yang paling disukai Kiel maka dengan senang hati permintaan sang majikan diturutinya tanpa banyak soal.

Pasar basah tersebut merupakan sebuah binaan tanpa dinding.Ia hanya sebuah kompleks niaga besar yang berkonsepkan ruang terbuka.Dipayungi atap tinggi dan dibahagi-bahagikan kepada beberapa lot dan lorong yang menempatkan bahagian tertentu khusus untuk barang-barang yang lazim diperdagangkan di situ.

Ada lot yang khusus menempatkan meja-meja bagi mempamerkan segala macam jenis daging segar. Ada pula bahagian khas menjual pelbagai jenis daging putih daripada ayam yang telah siap dibersihkan sehinggalah kepada puyuh dan kuang bayas yang jarang didapati dan mahal harganya.

Lalu ada pula plat-plat berjubin yang mempamerkan segala jenis makanan laut dan jika tangkapan nelayan yang dihantar oleh peraih ke pasar tersebut masih belum cukup segar, tersedia pula akuarium-akuarium yang memperlihatkan ikan serta makanan laut lain yang masih hidup. Hanya perlu menunding jari dan peniaga di situ segera menangguk ikan dari dalam akuarium terus ke dalam beg plastik masing-masing.

Sementara itu, di bahagian lain pula ada longgokan sayur segar yang baru dipetik. Pelbagai jenis rempah-ratus di bahagian khusus,herba-herba masakan produk-produk tenusu, buah-buahan segar dan kering serta keperluan untuk memasak yang lain. Segala-galanya tersedia di tempat tersebut membuatkan pasar basah tersebut menjadi tumpuan para warga.

Selain daripada itu, ada juga meja dan plat datar yang menadah puluhan buah baldi berisi air untuk merendam kuntum-kuntum bunga segar pelbagai jenis dan warna. Malahan ada pasu berisi tanam-tanaman hiasan yang sedia untuk dibeli.

Dan akhir sekali ialah lorong khusus yang paling disukai Kiel. Lorong yang menjadi tumpuan para peniaga pelbagai jenis makanan gerai daripada kuih-muih yang manis sehinggalah kepada aneka makanan savouri seperti daging panggang, aneka makanan laut yang digoreng atau dibakar dan belasan jenis air yang juga pelbagai warna dan perisa.

Belasan helai not pelbagai nilai hampir semuanya sudah bertukar dengan berkilo-kilo kekapis, isi tiram yang segar, udang, isi ketam dan herba-herba untuk menyiapkan jualan bagi hari itu. Dengan Kiel takzim menarik troli yang hampir penuh dengan barang belian pagi itu, kedua-duanya menuju ke bahagian yang khusus menjual hasil tenusu di hujung sana.

Dan hari itu seperti kebiasaannya, Kiel menemani wanita tersebut untuk mendapatkan bahan paling segar bagi melengkapkan ramuan pai makanan laut yang menjadi hidangan pengenalan bakeri di mana Kiel berkerja.

Dalam kalangan peniaga pasar di situ, tidak ada sesiapa yang tidak mengenali Kiel. Bukan sahaja disebabkan dia merupakan antara pengunjung tetap pasar tersebut malahan Kiel juga dikenali kerana selalu bersikap ramah dan baik kepada sesiapa sahaja. Jauh daripada itu, dia dikenali juga kerana memiliki penampilan yang agak berbeza daripada orang kebanyakan.

Walau sangat jarang tersenyum dan tampak seperti orang yang dingin, hakikatnya gadis itu baik malahan ringan tulang pula. Hormat kepada sesiapa sahaja terutama sekali kepada orang yang lebih berusia daripadanya. Hanya sahaja penampilannya yang kelihatan seperti remaja liar suka memberontak begitu walhal hakikatnya Kiel bukan jenis orang yang begitu.

Namun hari itu berhampiran lorong menuju ke bahagian yang menjual hasil-hasil tenusu, langkah mereka berdua sedikit lambat kerana ada kerja-kerja pembaikan bumbung sedang dilakukan di situ. Sempat Kiel mendongak ke atas.

Di atas rangka besi segi empat yang digunakan para pekerja untuk sampai ke atas, ada sebahagian palang dan atap pasar tersebut yang tercabut. Malahan ada juga lampu-lampu yang bergantungan pada wayar. Pasti gara-gara angin ribut yang bertiup kencang kelmarin sehingga merosakkan bahagian atas pasar besar itu.

Beberapa orang lelaki yang sedang berdiri pada palang-palang besi tersebut kelihatan sedang memperbetulkan tubir atap sementara yang lain pula cuba untuk menggantikan lampu yang rosak. Ada pula percikan api kimpalan yang menyambar-nyambar penglihatannya tatkala lelaki tersebut cuba mengimpal potongan-potongan besi penahan tubir atap daripada terjatuh ke bawah.

Bagi mengelakkan daripada ada di antara pengujung pasar tersebut daripada tercedera, pita berwarna putih merah direntang tegang pada perimeter tertentu dan ada kon-kon merah diletakkan di atas lantai.Selain ada wayar-wayar yang berlingkar serta longgokan kayu dan juga potongan besi, ada pula kotak berisi peralatan pembaikan seperti tukul dan gergaji yang tergeletak di atas permukaan lantai.

Maka kerana itulah Kiel dan Puan Arta terpaksa menggunakan lorong yang lebih jauh untuk sampai ke bahagian khusus menjual produk tersebut.

Namun dalam keadaan Kiel sibuk meminta untuk dibungkuskan beberapa keping kek ikan berbijan panggang dengan sos yang manis pedas di satu gerai, mendadak ada bunyi berdesing yang menendang gegendang telinganya dengan diikuti pula oleh pintasan haba pada tengkuknya membuatkan Kiel sepantas kilat menoleh.

Sepotong konkrit yang lebar dari bahagian dinding paling atas pasar tiba-tiba terkopak lalu menjunam jatuh ke bawah menimpa wayar-wayar lampu sehingga menimbulkan percikan anak api!

Tidak!  Puan Arta!!

Mencampakkan plastik berisi makanan ringan yang dibelinya, tanpa memperdulikan gamam dan teriakan para pengunjung pasar-Kiel berlari pantas ke arah Puan Arta. Dengan kepantasan yang mengagetkan, Kiel melonjakkan diri lalu mendarat di atas sebuah plat kosong lantas melentingkan pula dirinya terus ke arah Puan Arta yang masih tidak menyedari bahaya tersebut.

Merengkuh kepala wanita itu ke dalam jangkauan tangan kanannya sambil menarik baju luar yang dipakainya ketika itu bagi menyerkupi kepala Puan Arta di bawah bahunya.

Kiel mengetap gigi ketika merasakan potongan konkrit tersebut menimpa bahu kanannya dengan suatu impak jatuhan yang berat lalu patah dua dan berdentum jatuh di kedua-dua sisi tubuhnya membawa bersama habuk kehitaman serta potongan besi penyangga.

" Puan.." sinar mata Kiel mengerlap kebimbangan " Puan tak apa-apa? "

Mata wanita itu mengernyit antara bingung dengan tidak percaya.Pandangannya saling beralih daripada wajah gusar Kiel kepada potongan konkrit yang sudah berderai di belakang gadis tersebut.

" Kie...Kielll.. ttakk.. "

" Mereka patut tutup pasar ni buat seketika dan buka semula selepas semua kerja pembaikan telah siap. "

Pertanyaan Puan Arta tinggal tergantung tidak berjawab. Dan sehingga Kiel juga Puan Arta yang masih terkejut itu sudah pergi dari situ, para pengunjung dan peniaga di pasar tersebut masih terlopong tidak percaya.

Keil. Gadis bertubuh sederhana itu bangkit begitu sahaja lalu kembali menarik trolinya bagaikan tidak ada apa-apa. Sekadar mengibas jaket luarnya yang memutih ditaburi habuk konkrit seperti mengibas lalat yang hinggap sedangkan untuk mengalihkan satu potongan konkrit itu memerlukan tenaga tiga orang pekerja pembaikan tersebut. Itupun dalam keadaan mereka bergelut keberatan.

Tapi Kiel???

*                *              *

Sementara itu, angin sejuk sisa kedinginan hujan malam tadi yang berhembus melalui jendela terbuka membuatkan satu susuk tubuh bangkit dengan segera. Mengendus sesuatu dalam udara lalu menyepetkan matanya. Menanamkan bau tersebut baik-baik di dalam ingatannya dan tanpa sedar bibirnya menyungging senyum.

" Hubungi Ibanez, Dizz. Aku rasa kita sudah berada di tempat yang betul kali ini! "

*                 *             *

JÈ ROUGE: HALF SILVER MOONWhere stories live. Discover now