PANDORA 3

118 15 0
                                    

Setelah memastikan Riyo benar-benar sudah sampai dengan melihat sendiri pemuda itu kasar sekali membanting daun pintu dan penyebabnya sudah tidak asing lagi, Kiel mulai mempercepatkan langkah kakinya. Bas yang menurunkan Riyo berhenti hanya beberapa minit sebelum Kiel tiba ke perhentian dengan menaiki bas yang lain. Seperti kebiasaannya, dia menjarakkan diri beberapa meter sesuai kehendak Riyo walaupun mereka menuju ke arah rumah yang sama.

" Makan dulu, Kiel. "

Begitu kata wanita baik hati tersebut sebaik sahaja gadis tersebut menyelitkan diri dari sebalik pintu.

" Tak apalah, Puan. Saya sudah makan tadi. "

" Baiklah. " masih lekat dengan senyumannya, dia menghulur sesuatu. " Ini. Panaskan sahaja jika Kiel mahu makan nanti. Jangan makan makanan sejuk. "

Kiel mahu tidak mahu menjulurkan tangan menyambut huluran bekas yang pasti berisi makanan itu. Seperti biasa dia menjengukkan diri ke dalam rumah tersebut hanya sekadar untuk menyapa sang majikan kerana sangat tidak sopan dirasakannya jika dia terus sahaja menuju ke biliknya yang terletak di atas bumbung rumah tersebut tanpa bertegur sapa dengan wanita itu.

" Terima kasih. Panggil saya kalau Puan perlukan apa-apa. "

Dengan anggukan sekilas, Kiel menyelit keluar lagi lalu menuju terus ke tangga yang terletak di sisi kanan rumah tersebut. Menapak satu demi satu anak tangga sambil menjinjit bekas plastik yang berisi makanan dan masih panas dirasakannya.

Hujan yang turun membuatkan lantai bumbung basah walaupun tidak ada air yang bertakung disebabkan ianya terus mengalir ke bawah melalui sebatang paip besar berhampiran tangga.

Anak tangga tersebut membawanya ke atas bumbung rata rumah itu.Hanya setelah dia tinggal di situ, bumbung rumah tersebut dipasangkan blok-blok bata setinggi paras pinggang bagi memastikan dia tidak berjalan semberono lalu terjatuh ke bawah sana.

Hal pertama yang menyapa penglihatannya ialah bilik bersaiz sederhana yang sepatutnya merupakan bilik stor tempat penyimpanan barang-barang kepunyaan keluarga itu yang diberikan kepadanya untuk dijadikan tempatnya tinggal. Hanya mempunyai dua tingkap dan pintu yang bertutup rapat.

Tepat di sebelah kanan pintu, sebuah meja rendah tanpa kerusi kelihatan basah dalam rintik gerimis yang masih turun walau tidak selebat tadi.Tanam-tanaman kecil di dalam pasu tampak merunduk rendah ditimpa hujan. Lalu ada besen yang disandarkan ke dinding. Paip getah yang melingkar dan palang rendah ampaian kain untuknya menyidai pakaian.

Hujan telah reda tatkala Kiel sudah selesai mandi.Menggunakan mop tidak bertangkai, dia mengeringkan saki-baki air hujan yang membasahi permukaan meja lalu melabuhkan punggungnya di situ.

Jika hari tidak hujan sebenarnya tempat itu lumayan juga pemandangannya terutama sekali pada waktu malam. Oleh kerana rumah tersebut terletak sedikit tinggi berbanding rumah lain, maka berada di atas bumbung begitu membuatkan dengan mudah dia boleh melihat hampir keseluruhan kawasan tersebut.

Menjelang malam ketika lampu-lampu neon mulai merajai suasana, tempat di hadapannya akan bertukar menjadi lautan cahaya.Lampu-lampu yang memagari jalan seperti untaian bebenang berkilauan.Meliang-liuk di antara binaan bangunan.Lalu ada pula sorot lampu kenderaan yang bersimpang-siur tidak putus-putus entah dari mana dan hendak ke mana.

Sementara di sudut kiri pula, merentang sebuah jambatan yang menghubungkan Metro Gamma dengan Metro Betta. Di dalam gelap, lampu yang dipasang sepanjang jambatan tersebut membuatkan binaan itu kelihatan seperti titian bagi ratusan semut yang bercahaya. Dan pada hujung tanjung nun di ufuk Selatan sana, cahaya merah daripada rumah api sesekali memintas penglihatannya. Dengan berlalunya satu lagi hari yang sibuk, kehidupan malam pula mengambil alih dengan pantas. Begitu-begitu sahaja saban hari.

Menyuap makanan yang diberikan tuan rumah kepadanya walaupun tidak lapar, fikiran Kiel mula lagi merayap kepada kelakuan Riyo terhadapnya siang tadi.

Menghadapi jengkel pemuda itu bukanlah suatu hal yang baru baginya dan dia pula tahu bukan tarafnya untuk meminta agar dilayan dengan lebih baik oleh keluarga tersebut.

Diberikan pekerjaan, tempat tinggal dan kadangkala makanan membuatkan dia sedar tidak ada haknya sama sekali untuk meminta lebih daripada itu.

Dia hanyalah anak sebatang kara yang sampai ke tempat tersebut mengikut langkah sekehendak hatinya dalam keadaan lapar dan tidak tahu ke arah mana hendak dituju.

Bau roti bakar di dalam ketuhar dan harum kopi bancuhan wanita itu masih segar dalam ingatannya. Ketika tangan wanita tersebut mengelus bahunya lembut dan menatapnya dengan binar aneh, serta-merta dia tahu sudah menjadi tanggungjawabnya untuk membalas budi baik itu walau apa sahaja taruhannya.

Mengenangkan hal tersebut, maka segala tatapan jengkel dan sakit hati yang dilemparkan kepadanya oleh Riyo diacuhkan sahaja. Kiel tahu tatapan begitu tidak ada apa-apanya jika dibandingkan dengan kebaikan hati wanita tersebut yang menyelamatkannya daripada kelaparan dan cuaca dingin lama dulu.

Maka, sedaya-upaya Kiel akan berusaha untuk tidak meninggalkan jejak di rumah tersebut bagi mengelakkan amarah Riyo membuak. Dia hanya menyapa tuan rumah untuk berbasa-basi malahan akan cuba untuk balik lewat dengan alasan yang direka semata-mata untuk mengelakkan diri daripada bertembung dengan Riyo jika diketahui bahawa minggu tersebut merupakan minggu kelepasan dan semua pelatih pusat latihan tersebut
dibenarkan balik.

Namun, hari itu Kiel tahu dia telah melakukan kesalahan. Mengikut perhitungannya, seperti biasa -minggu kedua dan minggu keempat merupakan minggu kelepasan dan dia telah menyiapkan alasan untuk melambat-lambatkan waktu pulangnya dengan mengatakan ada sesuatu yang perlu dibeli walaupun sebenarnya tidak ada.

Malang melintang baginya hari itu. Ketika dia duduk bersila di atas permukaan lantai yang sudah dimop empat kali dan berkira-kira untuk mengelap bingkai tingkap buat kali ke dua, pintasan naluri tiba-tiba menyambar membuatkan dia segera bingkas bangun.

Bau khas yang diketahuinya sebagai bau ketika hujan pertama menimpa permukaan tar jalan yang panas menyapa inderanya.Jika dibawa oleh angin dari arah Selatan, pasti hujan akan turun menjelang petang nanti.

Manakala hari tersebut merupakan permulaan minggu kedua sementara sang majikan telah balik lebih awal kerana berasa kurang sihat dan Kiel memang tahu wanita itu tidak berbohong. Urat-urat yang timbul pada dahinya jelas kelihatan petanda sakit kepala yang selalu menyerang sang majikan datang lagi sementara anak lelaki sulungnya pula sudah hampir dua minggu tidak kelihatan kerana mengerjakan sesuatu di luar metro.

Lalu, kedai roti segera ditutup dan Kiel bergegas ke pusat latihan bersama sekaki payung. Dia tahu Riyo tidak boleh sama sekali terkena guyuran hujan terutama sekali hujan pertama yang turun selepas hari panas terik kerana ia akan membuatkan pemuda itu jatuh demam berhari-hari entah mengapa.

Niatnya cuma satu. Tidak mahu Riyo diserang demam kerana ibunya juga tidak sihat sementara abang sulungnya pula tidak ada di rumah. Namun lihatlah. Seperti selalu, tindakannya selalu sahaja salah di mata Riyo tetapi Kiel tidak menyalahkannya sama sekali.

Riyo tidak suka kepadanya atas beberapa sebab dan sebab yang paling utama adalah rasa tidak senang akan keakraban sang ibu kepada Kiel. Begitu juga dengan suara-suara mengejek ketika Kiel menghulurkan payung siang tadi. Ada nada mencemuh yang sebenarnya menerbitkan rasa kurang senang jauh di sudut hati Kiel terutama sekali daripada pemuda dengan nama Sean itu. Tetapi apalah dayanya untuk menghentikan segala cemuhan tersebut kerana dia tahu tindakannya hanya akan memburukkan keadaan.

Dia faham semuanya hanya sahaja naluri untuk mengelakkan wanita baik hati itu serta seluruh keluarganya daripada ditimpa sebarang masalah telah sebati dan mengalir di dalam darah Kiel. Seperti sumpah taat setia yang tidak akan berbelah bahagi.

Hanya itu sahaja. Tidak pernah lebih daripada itu!

*             *             *

JÈ ROUGE: HALF SILVER MOONWhere stories live. Discover now