Sebuah kenderaan SUV hitam yang berkilat tiba-tiba sahaja menekan brek beberapa sentimeter dari lutut Kiel membuatkan gadis tersebut berundur beberapa langkah ke belakang .Ternyata nalurinya yang sudah tidak nyaman sejak keluar dari rumah sebentar tadi tidak silap.
Sudah beberapa hari dia merasakan ada yang memerhatikannya dari kejauhan dan sejak kejadian di kedai serbaneka itu,perasaannya bertambah tidak tenteram.Masalah dengan pihak pemaju belum menemui jalan penyelesaian dan kini entah dari mana muncul pula tiga orang pemuda yang mengatakan sesuatu dan melayannya seperti dia mengenali mereka.
Kejadian tersebut sudah tentu tidak diceritakan kepada sesiapa walaupun kepada Vin kerana dia tidak mahu menambah teruk situasi ketika itu.Apatah lagi Shin –anak sulung Puan Arta- betah pula mengambil cuti dan mengawasi segalanya dengan mata setajam helang.
Seperti lazimnya,kejadian serangan tersebut menjadi penanda aras bahawa hal pengambil-alihan seluruh kawasan kejiranan tersebut mulai bertukar menjadi satu perkara yang serius.Apabila pemaju mulai melibatkan gerombolan samseng untuk menakut-nakuti para warga kejiranan itu,hal tersebut mulai kelihatan seperti plot jenayah terancang dan sebagai seorang pegawai pasukan keselamatan dia merasakan perkara tersebut harus dikendalikan mengikut lunas undang-undang juga.
Tetapi setakat itu sahajalah apa yang boleh dilihat Kiel sehingga kini kerana dia faham sama ada mahu atau tidak,tindakan undang-undang selalunya mengambil masa yang lama dan karenah birokrasi yang tidak berkesudahan juga merupakan satu lagi masalah.Beberapa orang anggota pasukan keselamatan datang bertanya itu ini kepada Puan Arta,Vin dan juga Kiel sendiri dan ia berakir begitu sahaja.
Selain daripada itu,gambaran kasar kejadian tersebut jelas kepada Kiel.Di sebalik serangan tersebut tertawa-tawa para pemilik syarikat pemaju kawasan tersebut dan minum bersulang sesama mereka dengan gembira.
Rangkaian mereka juga pasti bukan sebarangan kerana tidak mudah untuk terselamat dalam dunia bisnes tanpa melibatkan orang-orang penting politik sementara politik dan tipu-muslihat sangat berkait rapat seperti isi dengan kuku.
Melihat pintu kenderaan tersebut terbuka dan dari dalam perut kereta itu bermunculan beberapa orang lelaki ,Kiel tahu mereka sememangnya menyasarkan dirinya kali itu.Barangkali selain daripada mengikuti arahan ketua mereka,ada pula dendam peribadi yang perlu mereka lunaskan terhadap Kiel kerana berjaya membuatkan beberapa orang daripada lelaki tersebut lebam dan memar di sana-sini.
" Kita berjumpa lagi nampaknya "
Salah seorang daripada lelaki tersebut meludahkan puntung rokok dari bibirnya lantas menatap Kiel dengan pandangan sinis.
Melihatnya,Kiel menoleh ke kiri dan ke kanan.Lorong belakang yang menghubungkan kawasan kejiranan tersebut dengan jalan utama lengang .Tidak ada kelibat para penduduk lalu di situ kerana tidak ramai yang suka menggunakan jalan tersebut.Mereka lebih suka menggunakan jalan utama walaupun sedikit jauh berbanding jalan belakang yang dekat tetapi keadaan jalan yang berlopak dan berlubang di sana-sini.Kerana jarang yang menggunakan jalan tersebut maka dibiarkan sahaja keadaan begitu tanpa ada usaha untuk memperbaikinya.
Dan atas alasan keadaan Puan Arta yang masih belum begitu pulih daripada kejutan akibat kejadian tersebut,Kiel tanpa banyak kata menggantikan wanita baik hati itu mendapatkan barang keperluan harian.Tanpa memperdulikan rasa gementar yang mulai merambat ke seluruh tubuhnya,Kiel tunduk hormat beberapa kali lalu mempercepatkan langkahnya menjauhi gerombolan lelaki yang sedang menatapnya dengan pandangan menggerunkan itu.
Puih !!
Sempat Kiel mendengar suara seseorang meludah kasar.Ia bukan sahaja perbuatan meludah semata-mata tetapi ia juga merupakan satu bentuk penghinaan dan Kiel tahu penghinaan tersebut ditujukan kepada siapa.Dan ketika itu jugalah Kiel merasakan ada sesuatu yang mendarat pada belakangnya membuatkan tubuh kurusnya tersembam meniarap ke atas permukaan jalan yang kasar.Isi beg kertas berisi buah-buahan,sayur-sayuran dan barang mentah lain bertaburan dan beberapa biji telur yang dibelinya pecah begitu sahaja.