PANDORA 2

144 16 4
                                    

Seperti biasa dan entah bagaimana dia mahu menjelaskannya dengan rungkaian fakta, jika hujan turun menjelang petang pada akhir-akhir musim luruh begitu-ia akan berlanjutan hingga ke lewat malam dan disertai oleh angin dingin yang menusuk.

Maka di situlah dia. Berdiri takzim memegang sekaki payung dan dalam masa yang sama berdiri dalam gerimis yang mulai kasar. Membiarkan dirinya dibungkus kedinginan.

Gerbang tinggi yang memayungi pintu masuk itu terbuka dan seketika kelihatan dua tiga orang berjalan pantas mengelak guyuran hujan awal petang begitu. Hud baju cokelat gelap yang menyerkup kepalanya semakin lama semakin berat namun dia tetap berdiri di situ.

Melihatnya di situ, Riyo mendengus tidak suka dan memang dia mahu sekali mengelak dari susuk tubuh tersebut namun apakan daya. Pintu dengan gerbang tinggi itu satu-satunya pintu keluar daripada pusat latihan tersebut.

Lalu antara mahu dengan tidak dia mempercepatkan langkah sambil cuba menarik hud baju luarnya sedalam mungkin bagi menyembunyikan wajahnya.Langkah yang pada mulanya diatur perlahan sahaja diorak semakin lebar dan mulai bertukar kepada sedikit berlari anak.

" Riyo. "

Riyo mengetap bibir. Suara tersebut pura-pura tidak didengarinya.

" Riyo. "

Tapak kasut daripada getah yang mendakap mata kakinya terhenti mendadak apabila sepasang kasut kanvas yang sudah lencun menyinggahi pandangan matanya. Daripada bayang-bayang yang terbias oleh takungan cetek air di hadapannya, dia tahu susuk tubuh tersebut menghulur tangan memayungi tubuh Riyo dengan payung yang dibawanya itu.

" Pheewittt!! "

Nah. Perkara tersebutlah hal yang paling dibencinya daripada sekian banyak hal dalam hidupnya sehingga kini. Kiel yang datang menjemputnya di pusat latihan tatkala hari hujan begitu akan mengundang tatapan aneh daripada para pelatih di akademi tersebut terutama sekali musuh abadinya-Sean.

Bukan tidak pernah dia menyuarakan hal tersebut kepada sang ibu hatta kepada yang empunya tubuh sendiri tetapi menyakitkan hati sekali apabila kata-katanya langsung tidak diendahkan.

Dan hari itu buat ke sekian kalinya Kiel datang membawa sekaki payung membuatkan ubun-ubunnya terasa hendak mengepulkan asap !

Sebenarnya jika yang datang bukan gadis berwajah beku itu,pasti ceritanya jadi lain.Hujan.Dipayungi pula oleh seseorang. Bukankah ia lebih mirip kepada adegan drama roman picisan? Atau mahu kedengaran lebih sopan, jika yang datang memayunginya itu bukan Kiel dia tidak perduli. Hatta Lana,gadis dengan susuk perkasa skuad pelapis itu pun dia tidak kisah.

Sesiapa pun asalkan bukan dia. Dengan penampilan anehnya begitu, sah-sah ia akan menjadi punca penderitaan mentalnya selama berminggu-minggu.

Betapakan tidak. Kiel. Gadis berwajah beku seperti tidak pernah tahu bagaimana hendak tersenyum.Rambutnya tidak pernah kelihatan panjang mencecah kolar baju dan disikat asal-asalan sahaja. Lalu, jika ditiup angin, rambut berwarna putih keperakan bernuansa abu-abu itu rebah sebarangan arah malahan fesyen rambutnya itu-itu sahaja. Pendek dan kelihatan tidak bersikat.

Ditambah roman wajah yang tampak selalu dingin begitu, bingkai paras Kiel tidak jauh daripada vampire yang telah berusia ribuan tahun. Raut wajahnya seperti tidak membiaskan apa-apa perasaan malahan sepanjang masa Riyo mengenalinya, tidak pernah sekalipun dia melihat Kiel tersenyum.

Jika sesekali tatapan mata mereka bertembung, Riyo tidak dapat mengagak apa sebenarnya yang bermain di dalam fikiran gadis tersebut. Sinar matanya menerawang kosong dan gestur biasa yang dilihat Riyo pada Kiel sebagai tanda dia bukanlah robot berbalut kulit manusia adalah dia boleh menyahut apabila dipanggil itu pun dengan bilangan kosa kata yang amat terhad.Kebanyakannya hanya berkisar kepada YA dan BAIK. Itu sahaja. Tidak banyak yang lebih dan tidak banyak yang kurang.

JÈ ROUGE: HALF SILVER MOONWhere stories live. Discover now