PANDORA 6

95 12 3
                                    

Tanpa menunggu pintu dibukakan untuknya,Ibanez menolak daun pintu. Menyelit lalu kembali menutupnya.Ruangan sederhana besar dengan cat dinding berwarna keperakan memenuhi ruang penglihatannya.Ada sofa hitam panjang yang diletakkan berhampiran dinding menghadap sebuah meja kaca sederhana tinggi.

Hanya suara televisyen yang sedang menyiarkan rancangan bual bicara sedang terpasang tetapi penghuni bilik tersebut tidak kelihatan.Langsir tingkap ungu muda diikat kemas ke bingkai tingkap sementara panorama metro berupa bangunan-bangunan pencakar langit,selirat jalanraya dan kenderaan yang berpusu-pusu jelas kelihatan melalui kaca jendela pandang sehala yang jernih itu.

Lalu pada sebelah kirinya, sebuah kolam infiniti berolak-olak ditiup angin. Ace barangkali mahukan beranda luar berupa kolam renang luas dan beberapa deret kerusi taman dan pasu-pasu bunga itu menerima cahaya matahari maka dia membiarkan sahaja ruangan tersebut tidak dipayungi atap.

Bersesuaian dengan harganya, emper mewah itu dilengkapi kolam renang daripada kaca yang tebal yang pasti membuatkan sesiapa sahaja yang berada di dalamnya merasakan mereka sedang berendam di dalam takungan air pada gumpalan awan ditambah pula dengan genting plastik berteknologi tinggi yang boleh dibuka dan dipasang secara automatik hanya dengan menekan butang alat kawalan jauh.

Ibanez,pemuda tinggi lampai itu melabuhkan punggungnya di permukaan sofa dengan selesa lalu meraih alat kawalan jauh televisyen.Menekan kombinasi nombor saluran televisyen satu demi satu namun tidak ada pula rancangan tersebut yang menarik perhatiannya.

Jika bukan rancangan memasak- rancangan sukan –bual bicara ataupun rancangan kartun khusus untuk anak-anak,saluran lain pasti menyiarkan drama klise yang entah apa-apa sementara rancangan yang menyiarkan dokumentari tentang sejarah peradaban,sains,kehidupan flora dan fauna mahupun tentang keajaiban angkasa lepas dan makhluk asing pula terlalu berat dan dia malas sekali untuk menghadamnya.

Maka sambil mencebik,pemuda itu menekan satu butang yang bersaiz lebih besar daripada butang lain pada alat kawalan jauh dan mendadak televisyen itu gelap begitu sahaja.

Merasakan tidak ada yang menarik minatnya,Ibanez menyeret langkah kakinya ke arah ruang kiri yang berfungsi sebagai dapur bagi rumah emper itu lalu dia meraih salah satu daripada tiga pintu peti sejuk besar yang diletakkan pada ruangang khas agar sama rata dengan dinding tersebut .

Memilih setin minuman soda sambil dalam masa yang sama matanya melilau ke segenap ruangan dapur tersebut. Jelaslah daripada keadaan dapur yang sentiasa kemas dan bersih begitu,seratus peratus dia pasti bahawa dapur tersebut hanyalah pelengkap kepada pelan sebuah rumah dan bukan pada fungsinya.

" Apa kau pasti dia berada di metro ini?"

Tanpa menoleh sekalipun Ibanez tahu Ace-tuan kepada emper mewah itu mendengar apa yang ditanyakannya kerana jelas dalam pendengarannya bunyi seretan selipar pada hamparan tikar lembut yang terbentang di ruang tamu.Malahan aroma harum mandian pemuda itu jelas menusuk hidungnya.

" Taklah." Sahut satu suara membuatkan Ibanez menoleh ke ruang tamu " Aku sengaja reka alasan untuk jumpa kau dan Dizz.Rindu."

Ibanez mencebik seraya mempamerkan riak wajah jijik dan dengan riak wajah seakan hendak termuntah dia melempar pemuda yang satu lagi dengan menggunakan tin minuman soda di tangannya.

" Ini saja yang kau boleh buat?"

Lontaran yang sepatutnya boleh membuatkan dahi benjol begitu sepertinya tidak berkesan kepada Ace.Sambil melangkah santai dengan tangan kanannya mengesat rambut yang masih basah,tangan kirinya pula menangkap lontaran tidak bersahabat Ibanez kepadanya dengan bersahaja.

" Lebih cepat kita selesaikan misi ini lebih baik." Ibanez separuh merengus separuh jengkel kembali mendudukkan dirinya ke atas permukaan sofa." Apa tidak bolehkah mereka menghantar ejen pelatih saja?"

JÈ ROUGE: HALF SILVER MOONWhere stories live. Discover now