17 : Mana Badrul?

1.2K 180 44
                                    

Jam loceng dimenungkan semenjak tadi lagi. Terasa sunyi tanpa Akma di dalam bilik itu. Selalunya ada sahaja suara yang suka mengacaunya. Hirupan susu yang terakhir dihabiskan Nafisah. Telefonnya juga tidak berbalas mesej daripada suami. Badrul sudah bilang bahawa mereka akan masuk ke kawasan yang mempunyai sambungan komunikasi yang lemah. Tak hairan juga kerana Badrul dan Akma sedang berkhemah di hutan air terjun.

Nafisah sudah tidak mampu untuk meneruskan ulang kajinya pada malam itu. Matanya sudah lesu meminta dikatup. Nota yang telah dibuat pada malam itu disatukan dan disimpan di dalam fail subjek. Cawannya dibasuh terlebih dahulu di singki bilik air lalu dia terduduk di birai katil. Sepasang stoking yang baru dibasuhnya disarungkan pada kedua-dua belah kaki. Nafisah tersenyum kecil.

Lampu bilik dimatikan. Pintu pula sudah terkunci rapat. Selimut menyelubungi tubuh hingga ke paras pinggang. Mahu dilelapkan mata tetapi hatinya tidak berasa sedap. Nafisah mengiringkan tubuh dan menarik selimut hingga ke bahu.

Istighfar meniti di bibir bagi mengurangkan rasa tidak baik itu. Dia mahu segalanya baik-baik sahaja. Semoga Badrul dan Akma akan dipelihara daripada perkara buruk.

Kelopak mata diturunkan Nafisah.

***

Bunyi bising dari luar mengejutkan Akma yang baru hendak terlelap. Badannya lesu jadi sakit akibat tidur di atas lantai tanah. Dia mengesat mata sambil mengetuk-ngetuk tulang belakangnya.

"Apa bising-bising ni?" soalnya pada Alia yang hendak keluar.

Alia menggeleng tidak tahu.

"Ish," dengus Akma. Dia penat seharian, baru tutup mata satu jam sudah kena panggil berkumpul di tapak perhimpunan. Semua wajah kelihatan lesu dengan mata yang memerah. Akma yang seorang ini lagilah. Dia selamba keluar tanpa tudung. Hanya hood yang menutupi kepala. Leher bajunya dikepit dengan jemari agar menutupi kulit lehernya.

Dia memberhentikan langkah. Semua orang sedang memakai kasut sukan nampaknya. Pelipisnya yang tidak gatal digaru. Hujung kaki digerak-gerakkan. Dia hanya berselipar jepun. Kasut sukannya pasti sedang basah akibat berendam petang tadi. Ditambah pula dengan embun malam, sudah... Nak pakai kasut apa esok?

Akma berselindung di sebalik tubuh orang lain agar Tuan Adham tidak melihat kakinya yang berselipar itu. Dia mengecilkan tubuh dan merendahkan ketinggian. Jam tangannya bercahaya di dalam gelap.

1 pagi.

Serius la? Dia nak denda semua orang atau apa?

"Salah seorang dari kamu dah hilang sekarang ni. Jadi kita akan sama-sama cari dalam hutan." Jari Tuan Adham menunding ke arah kawasan yang gelap gelita.

"Mesti tipu ni," gumam Akma. Ini taktik lapuk zaman bila? Sengaja reka cerita semata-mata untuk night walk di dalam hutan. Laluan itu pula ialah laluan yang telah ditanda biasanya menggunakan tali. Kebiasaan manusia akan berasa selamat dengan adanya tali dalam keadaan gelap sekalipun. Mereka akan menyangka mereka selamat selagi tali itu ada membawa mereka hingga penghujung destinasi.

Matanya mengintai Badrul di kelompok lelaki. Satu-satu wajah diperhatikan dengan baik. Susuk tubuh Badrul tiada di situ. Akma menelan liur kesat.

"Dia mesti ada dengan Amir," ujar hati Akma. Sayang sekali Amir ada saja berdiri terpacak dengan penghulu tanpa Badrul berdekatannya. Gadis itu tidak berputus asa meliarkan pandangan yang diharapkan akan disapa dengan wajah Badrul Amin hinggalah peserta lain mula berjalan. Akma segera menyaingi langkah mereka yang lain. Tersorok-sorok kaki yang menapak. Harapnya tiada siapa yang perasan.

Bidadari Yang Tersingkir ✓[C]Where stories live. Discover now