26 : Misi Akma

1.1K 187 85
                                    

Lelaki itu tidak berkelip memandang.

Akma memetik jari di hadapan wajah Shahrul. Hairan Shahrul terkelu melihat dia masuk ke dalam kereta.

"Sorry, aku terkejut. Ingat ke ada ustazah sesat mana masuk kereta aku." Shahrul cepat-cepat mengalihkan pandangan. Dia masih terkesima dengan penampilan Akma yang bertudung labuh ini. Warna merah jambu pula tu, amatlah kontra dengan perwatakan brutal Akma.

"Aku rasa peliklah pakai tudung ni," adu Akma. Tali pinggang keledar dipakainya dengan juihan bibir.

"Aku pun pelik. Kau dapat mimpi apa sampai pakai macam ni?"

"Ada orang bagi tudung ni. Panas sebenarnya tapi aku tahan je." Jarinya menurunkan suhu pendingin hawa. Digibas-gibas tudung itu. Peluh merenik di ceruk leher Akma. Dia menghela nafas lega ditampar kesejukan kereta Shahrul.

"Macam mana la Nafisah boleh pakai hari-hari macam ni," geleng Akma.

"Akma, nak pergi mana?" soal Shahrul. Tangannya kedua-dua memegang stereng kereta. Aura gadis ini apabila memakai tudung labuh memang lain macam sampaikan Shahrul segan nak bersuara.

"Sebenarnya aku nak pergi Watson atau Guardian. Barang aku ada yang dah habis."

"Okaylah. Dah makan?"

"Dah. Tadi aku makan dengan Nafisah. Mak kau apa khabar?" Akma berpaling dengan jongketan kening.

Kereta Shahrul memasuki jalan raya kembali. "Alhamdulillah, mak aku ada dekat rumah. Dia dah ada selera nak makan nasi. Sebelum ni kan dia tak nak makan sebab terkejut yang kaki dia lumpuh. Penat juga aku pujuk dia. "

"Nanti aku datang rumah kau lagi ya?" Akma melebarkan senyuman. Pertama kali dia datang ke rumah Shahrul untuk melawat ibunya.

"Segan la..." Shahrul menggumam. Rumahnya dah lah kecil sahaja. Barang pula banyak di kiri kanan dinding. Mahu di sorok mana muka sendiri pun tak tahu.

"Aku je pun. Nanti aku tolong kau kemas rumah kalau kau penat balik kerja."

"Tak payah, Akma," larang Shahrul.

"Ish, biarlah."

"Akma, jangan buat aku segan macam ni. Kau tu perempuan, aku ni lelaki. Tak eloklah kau datang rumah aku sesuka hati. Kadang-kadang khabar tak ada, tiba-tiba kau terpacak depan pintu rumah aku," luah Shahrul. Dia memegang pelipis sendiri.

"Kau tak suka ya aku datang?" Akma terkeli-kelip memandang. Hatinya merundum sedih.

"Bukan. Aku hargai semua budi kau tapi kau tak boleh terlalu rapat dengan aku sampai rumah aku pun kau nak kemas."

"Biarlah. Suka hati aku lah," geram Akma. Kakinya di bawah menghentak lantai kereta.

"Akma, aku cuma segan. Tolonglah faham."

"Kenapa nak segan? Kita dah berkawan lama dah. Mak ayah aku pun kenal kau." Akma masih ingin mempertikai. Dia merasakan dirinya sedang ditolak tepi padahal jelas-jelas usahanya untuk membantu rakan sendiri.

"Segan sebab aku ni lelaki. Kalau aku perempuan, aku tak kisah kalau kau datang rumah aku sesuka hati." Shahrul sudah penat hendak memahamkan Akma ini. Cakap seribu kali pun dia tidak faham gamaknya.

"Jadi? Kenapa?" Nada Akma berubah. Matanya menjeling tidak puas hati. "Kau dah tak nak kawan dengan aku?"

"Sebab aku ada perasaan dekat kau. Dah, cukup." Inilah yang terjadi apabila persahabatan baik antara lelaki dan perempuan terjalin. Shahrul memejamkan mata sendiri.

Akma yang mahu membalas termati kata.

"Pe- perasaan apa?"

"Perasaan melebihi seorang kawan baik. Aku tetap lelaki, Akma. Walaupun suara aku macam perempuan." Mata Shahrul memandang hadapan. Dia tak mahu menjawab apa-apa lagi, takut nanti ditertawakan Akma yang tidak pernah nak anggap segalanya serius.

Bidadari Yang Tersingkir ✓[C]Where stories live. Discover now