33 : Muslimahkah aku?

1.1K 194 80
                                    

Suasana menjadi semakin sunyi apabila waktu senja menjengah. Suhu badan Badrul suam-suam sahaja. Namun, dia asyik mengadu sakit pada sendi kakinya.

"Abang, sakit lagi?" soal Nafisah lembut. Perangai Badrul ketika sakit lelah hendak dilayan. Kadang-kadang dia menahan sakit itu berseorangan, bila sudah tidak mampu menanggung barulah Nafisah yang menjadi tempat dia mengadu.

Badrul mengangguk lemah. Dia sudah penat untuk ke tandas dan muntah. Kakinya sekarang ini serba tidak kena. Nak gerak sedikit pun sakit. Lengannya direhatkan ke atas kelopak mata yang dikatup.

Gadis itu makin sedih melihat suami sendiri. Baru tadi Badrul seakan sihat dan menyantap makan tengah hari bersama-sama. Habis nasi yang tak sempat dihadam terkeluar balik di bilik air.

Kekura tangan Badrul kekal ditusuk branula supaya dia tidak terhidrasi akibat kehilangan air dalam tubuh badan.

"Awak ada kelas esok?" soal Badrul berbisik. Matanya kekal terpejam.

Kaki seluar Badrul diturunkan setelah selesai mengurut. Gadis bertudung labuh itu merapatkan kerusi berdekatan kepala katil.

"Ada. Tapi saya ambil cuti sebab nak jaga awak," jawab Nafisah.

Badrul mengangguk faham. Kelopak matanya yang berat dicelikkan. Terlihat Nafisah dengan wajah yang bimbang sedang memegang lengannya.

"Abang, lengan abang sakit juga?" soal Nafisah. Kulit lengan Badrul pula diusap.

"Tak." Nafas dalam ditarik. "Awak dah beritahu mak pasal abang?"

Mahu berlagak kuat hingga demam ini sembuh, dia tidak mampu. Lambat laun pun, harus dikhabarkan pada bondanya. Moga dengan doa seorang ibu, dia akan cepat sembuh.

"Dah. Nanti mak datang esok." Bibir pucat Badrul dipandang Nafisah sayu. Seri pada wajah suaminya hilang sejak hari pertama demam. Bawah matanya agak sembap. Kuyu sahaja pandangan yang dibalas.

Tangan mereka saling bersulaman. Nafisah membiarkan Badrul terlelap dengan sendiri agar rasa sakit badannya hilang. Wajah Badrul yang lesu itu diusap Nafisah. Hingga malam Badrul masih menanti Akma kerana Akma juga adalah semangatnya.

"Assalamualaikum." Satu suara garau menerjah.

Badrul sudah terlelap di bantal. Selimut yang melorot ditarik Nafisah untuk menutup badan suaminya.

"Waalaikumsalam," jawab Nafisah.

Wajah Han dan Mila yang tersenyum manis menyambut tolehan Nafisah. Gadis bertudung litup itu segera berdiri.

"Badrul macam mana hari ni?" soal Han seraya melangkah mendekati tubuh sahabatnya.

Mila yang bertudung kekal di belakang berdekatan Nafisah. Dia tersenyum nipis lalu buah tangan dihulurkan. Pakaiannya banyak dilonggarkan atas permintaan Han. Han tak mahu Mila yang sudah menjadi isterinya menagih perhatian lelaki lain. Han hanya mahu Mila menjadi yang lebih baik dan sama-sama berubah dengannya.

Nafisah melihat sekotak coklat yang diberikan Han dan Mila. Murah betul rezeki Badrul yang asyik diberi pelbagai makananan. Pensyarah juga ada yang melawatnya. Namun, Badrul tidak gemar menerima pelawat kerana ingin berehat waktu itu.

"Dia mengadu sakit badan. Ni pun baru je terlelap," balas Nafisah. Tak henti-henti Badrul meminta agar isterinya buat sesuatu tadi. Kakinya sakit, semuanya sakit. Sudah penat merengek, barulah lelaki itu melelapkan mata. Badannya pun  makin lemah juga.

"Banyak ke lebam dekat badan dia ni?" Han menarik kerusi berdekatan dan terduduk di situ. Dia menilik lebam di tangan Badrul sekali dua.

"Dekat perut pun ada."

Bidadari Yang Tersingkir ✓[C]Where stories live. Discover now