29 : Bantuan seorang Kawan

1.1K 182 126
                                    

"Betul ke kau selalu jumpa abang aku?" soal Akma. Air barli ais disedutnya dengan rakus kerana dahaga. Dia tetap mahu berjumpa Shahrul. Kedai makan Thailand menjadi sasaran tengah hari itu.

"Ya. Dia yang datang dan kenalkan diri sebagai abang kau." Shahrul berterima kasih pada pelayan yang baru menghidangkan makanannya. Segelas air sirap dan nasi goreng pattaya menjadi pilihan Shahrul pada terik panas itu.

"Jadi... Kau dah tak perlukan aku?" Ketulan ais di dalam gelas dimenungkan Akma. Jika Badrul sudah menjadi kawan baharu Shahrul, apakah maksudnya?

Shahrul mengetap bibir. "Akma, aku nak cakap satu benda boleh tak?"

"Apa?" Akma memandang wajah lelaki itu. Matanya dapat mengesan perubahan kulit Shahrul. Segala parut sedang memudar dan tampak lebih berseri. Ini baru dua minggu. Kalau dua bulan, confirm flawless!

Kalau letak Shahrul jadi testimoni hasil consultation sendiri, boleh buat duit ni. Akma tersenyum-senyum.

"Sebenarnya Badrul ada kata dekat aku supaya jangan keluar berdua dengan kau. Dia kata tak elok."

Senyumannya mati. Akma juga mahu sampaikan hasrat yang sama. Hatinya berat. Sudah bertahun mereka jalinkan tali persahabatan hingga menjadi seakrab ini.

"Aku tahu. Tapi... Aku nak kawan dengan kau," sayu Akma.

"Siapa kata aku nak putuskan persahabatan kita?" Shahrul berkerut. "Aku cuma nak kita tak terlalu rapat. Sebab..."

"Sebab apa?"

"Sebab aku ada perasaan dekat kau. Aku tak tahulah kau rasa benda yang sama atau tak. Tapi aku tengah dalam fasa stabilkan kehidupan. Jadinya, bila sampai satu masa nanti. Aku akan minta tolong kau sebagai seorang kawan."

"Em... Tolong apa?" Akma berkerut-kerut tidak mengerti. Liur ditelan kesat. Bibirnya kembali menyedut air barli ais sambil mata tidak lepas memandang wajah Shahrul yang telah kelihatan kacak pada matanya.

Akma tahu saja Shahrul ini kacak kalau ubah penampilan sedikit.

"Kawan mesti tolong kawan, kan? Nanti bila aku perlukan bantuan kau, aku harap kau boleh tolong." Gelodak di jiwa memaksa dia menyampaikan sesuatu. Biarlah Akma mahu kata apa, asalkan dia telah meluahkan rasa di hati.

"Boleh je."

"Pertolongan ini untuk kita bina masjid sama-sama. Aku harap kau tolong aku pada hari itu. Sebab masjid tu takkan siap dibina kalau hanya aku seorang yang berusaha. Nanti kita boleh dirikan dengan pasak yang kukuh bersertakan perasaan aku. Masalahnya pasak tu aku masih cuba mencari lagi, iaitu ilmu agama dan kehidupan yang stabil. Bahan binaannya ada, rasa sayang sejak berkawan. Hasrat aku ni perlukan bantuan kau. Itulah gunanya kawan, kan? Tapi beri aku masa. Setahun dua? Aku akan panggil kau nanti untuk realisasikan impian aku ni. "

Tersedak-sedak Akma. Dadanya yang pedih diurut perlahan. Sel otaknya seakan mampu menangkap kiasan yang diberikan lelaki itu.

" Akma," tegur Shahrul cemas.

Akma mengangkat tangannya ke arah Shahrul. Nafas dalam ditarik lalu dia terduduk tegak di kerusi. "Aku okay."

"Aku masih nak berkawan dengan kau." Shahrul tersenyum nipis.  "Bila aku datang minta tolong, aku harap kau tak akan tolak pada hari itu."

"Shahrul, aku ni student lagi."

"Ya, aku tahu. Saja nak beritahu awal-awal. Supaya kau tahu yang rasa hati aku ni bukan tak bertujuan." Shahrul menundukkan wajahnya. Bibirnya mengoyak senyuman nipis. Badrul yang banyak mengajarnya yang hak dan batil hingga dia sedar erti sebenar kehidupan.

Bidadari Yang Tersingkir ✓[C]Where stories live. Discover now