25 : Dari Mata Jatuh ke Hati

1.2K 169 47
                                    

"Abang, kenapa lambat? Orang ramai ya dekat kedai?" sapa Nafisah. Dia tersenyum dalam kegelapan malam. Badrul memintanya untuk masuk ke dalam kereta seketika. Diingatkan suaminya hanya mahu menghantar piza, namun dia akur sahaja kehendak lelaki itu.

Tubuhnya dipeluk Badrul tidak semena-mena. Terasa kain tudungnya sedang menampung titisan air mata lelaki itu. Kejadian Han dan Mila tadi benar-benar membuatkan Badrul tersentak dan terkelu. Fikirannya tidak setenang selalu.

"Abang, kenapa ni?" soal Nafisah lembut. Belakang badan suaminya diusap bagi menenangkan lelaki itu.

"Abang sayang awak," bisik Badrul. Apabila melihat Mila tadi, dia jadi teringatkan keadaan Nafisah yang dianiaya abang ipar sendiri. Sewaktu itu pun dia gagal untuk menghalang. Dia hanya mampu mengesan setelah menyiasat keadaan gadis itu.

"Abang ada masalah ya?"

"Tak. Abang cuma sayang awak. Jaga diri bila abang tak ada." Badrul begitu risau andai ada yang berburuk hati pada isterinya. Kerana itulah dia sering melarang Nafisah keluar di malam hari. Pakaian Nafisah pula serba sederhana dan tidak melaram demi nampak cantik di hadapan lelaki lain. Biarlah Nafisah nampak biasa-biasa sahaja dan hanya cantik di mata suami.

" Jaga diri ya? Jaga anak kita juga. Abang minta maaf sebab lambat hantar pizza ni. Pizza pun dah sejuk." Badrul tersenyum nipis. Pipi isterinya dikucup kasih. Bekas ciuman itu diusapnya.

"Tak apalah. Saya yang patut minta maaf sebab susahkan abang malam-malam." Nafisah tertunduk malu. Lampu kereta telah dimatikan semenjak tadi, kereta Badrul terparkir sedikit jauh dari lampu jalan ke hostel perempuan.

Setiap dua minggu sekali, pasangan muda ini akan ke hotel bagi meluangkan masa bersama setelah penat menelaah pelajaran. Cuma sejak kebelakangan ini mereka asyik berjumpa hampir setiap minggu atas permintaan Nafisah. Hari ini pula Nafisah merayu agar dibelikan piza. Terpaksa berjumpa sorok-sorok begini di luar pagar. Susahnya apabila terpaksa merahsiakan hubungan yang halal.

"Abang tak kisah. Makanlah sampai kenyang, jangan membazir. Sebelum tidur jangan lupa ambil wuduk dan baca Al-Mulk. Kalau rasa loya, urut dada dengan minyak angin dan selawat banyak-banyak. Ingat, abang sayang Nafisah," pesan Badrul. Tangan kecil isterinya diletakkan ke dalam telapak tangan sendiri. Jemari Nafisah tidak pun bercincin. Hanya ada rantai emas di lehernya.

"Baik. Terima kasih." Nafisah juga menyimpulkan senyuman. Tangan Badrul disalamnya penuh hormat.

"Tolong tengokkan Akma juga. Abang risaukan dia. Dia tu terumbang ambing lagi dalam kehidupan. Ajar dia mana yang betul dan salah. Kalau dia degil, beritahu abang." Badrul memencilkan mata. Tak mahu adik susuannya mengasari Nafisah yang lembut ini.

Nafisah tertawa halus. "Mana ada degil, adik awak tu baik-baik saja."

"Abang nak kena balik. Nanti roommate cari pula." Sekotak piza dicapainya. Dia menghulurkan kepada si isteri sambil tangan mengusap kepala yang bertudung litup.

"Terima kasih, abang. Assalamualaikum."

"Waalaikumsalam." Badrul tersenyum nipis. Dia harus berusaha untuk dapatkan rumah sewa buat mereka berdua. Kandungan Nafisah berada di bulan kedua, tak lama lagi akan masuk tiga bulan. Jika perut isterinya sudah memboyot, kasihan pula terpaksa berulang alik ke hotel bajet bagi meluangkan masa bersama. Nampak sangat dia ini serba kekurangan. Mereka bukannya buat apa pun di hotel, kadang-kadang hanya bercerita sampai lewat malam. Asalkan dapat menatap wajah kekasih hati di hadapan mata, itu akan mengubat rindu hangat cinta yang baru hendak mekar.

Nafisah melangkah keluar kereta. Dilambai pada suaminya itu lalu dia tersenyum bahagia. Pizanya telah sampai ke tangan. Liur hampir kecur di bahu jalan itu.

Bidadari Yang Tersingkir ✓[C]Where stories live. Discover now