Along

125 2 4
                                    


" Kauthar! Ada polis di belakang, Cepat lari ! " masih terngiang ngiang suara itu di benak fikiranku kini meski sudah 19 tahun peristiwa itu berlaku.

" ala.... Mana aci macamni, kan dalam game ni hanya ada polis dan pencuri saja, tadi kan masa kira kau kena jadi polis, kenapa sekarang kau tolong pencuri pulak?" marah Aidil kepada abangku.

" yela... memang aku polis tapi aku lain. Aku jadi polis persendirian untuk adik aku! Jadi kalau kau orang nak tangkap dia korang kena hadap aku dulu!" ujar along dengan bangganya, Sikapnya yang begitu ingin melindungi aku terserlah semenjak kami kecil lagi. Jelas, sungguh dia menyayangiku!

       Aku dan along sememangnya rapat, bagai belangkas. Ke mana saja ada along, pasti ada adiknya ini sekali. Mandi sawah, berkubang di lumpur, memanjat pokok rambutan atau terjun ke sungai. Tidak sah jika aku tidak dibawanya bersama.

     Sebagaimana along menyayangiku, kasihku padanya juga tidak kurang hebatnya. Aku suka bila kawan-kawanku menyatakan kecemburuan mereka padaku. " seronoknya Kauthar ada abang yang selalu menjaganya, bagaikan tuan puteri rasanya ! aku pun mahu juga" dan aku hanya ketawa dan tersenyum bangga.

     Pernah juga along bergaduh dengan beberapa orang budak nakal hanya kerana mereka mengejekku. Lebam-lebam di wajah along masih kuingat kesannya, namun along tidak kisah akan itu semua. Baginya, demi melihatku bahagia, along sanggup lakukan apa saja, hatta berkorban nyawa sekalipun. Sungguh, aku sayang padanya.

       Dalam aku bergembira melewati saat-saat indah sebagai seorang anak kecil berusia 6 tahun, rupanya ada suatu hal penting yang dirahsiakan daripada pengetahuanku, sehinggalah ada suatu hari yang hening.. emak dan abah memanggilku.

"angah... ada perkara penting yang sudah lama mak dan abah rahsiakan daripadamu. Kini harus emak dan abah khabarkan kepadamu nak, kami kira kau sudah bersedia untuk mengetahuinya."

          Alangkah terkejutnya aku ketika itu. Rupa-rupanya, along bukanlah abang kandungku, Along sebenarnya adalah sepupuku, anak kepada arwah abang ayahku. Sebelum itu aku langsung tidak pernah tahu bahawa aku mempunyai seorang bapa saudara yang sudah meninggal dunia, kukira abah hanya berempat dengan adik-beradiknya.

        Bapa saudaraku yang digelar Pak Ngah itu merupakan kembar kepada abah. Kerana itu jugalah, wajah along juga mirip seperti abah kerana hakikatnya along mengikut wajah ayahnya. Pak ngah meninggal dalam kemalangan semasa menuju ke Johor bersama isterinya. Mujur ketika itu satu-satunya anak lelaki mereka iaitu along, tidak turut ikut bersama.

        Orang-orang tua pernah berkata, mujur tidak boleh diraih, malang tidak boleh ditolak. Itulah yang menimpa Muhammad Zahin Iskandar, Along menjadi yatim piatu ketika baru berusia 5 tahun. Keluarga abah mengambil keputusan untuk menyerahkan hak penjagaan along kepada abah dan emak. Menjadi yatim piatu di usia setahun jagung, pasti itu bukanlah sebuah ujian yang mudah untuk ditanggung bagi anak kecil seperti along. Namun apa yang boleh dilakukan? Allah lebih menyayangi Arwah Pak Ngah dan isterinya.

        Sebaik sahaja dikhabarkan dengan sejarah hitam tersebut, aku bagai sudah bersahabat baik dengan air mata beberapa hari selepasnya, kerana aku seakan-akan tidak dapat mempercayai kisah pahit yang telah aku dengari. Namun biasalah anak kecil, seberapa lama sangatkah ia akan terus hanyut dengan kesedihan? Aku yang pada awalnya begitu teruk menangis telah kembali tertawa semula. Ya, seperti tidak ada apa-apa yang telah berlaku. Alangkah indahnya apabila menjadi seorang kanak-kanak, tidak tahu membiarkan diri terbuai pilu untuk masa yang terlalu lama.

       Hari hari berlalu dengan pantas, dan begitu banyak jugalah kenangan yang sempat aku dan along anyam bersama. Pernah aku sebutkan bahawa setiap hal yang along lakukan, pasti akan ada aku di sisinya. Namun itulah hakikatnya, jika kita sudi untuk menikmati musim bunga dengan seseorang, kita juga harus bersedia untuk melewati deruan guruh dan musim banjir bersamanya. Setelah kami bersuka ria dengan kenakalan kami, kami juga berhadapan dengan amarah dan singgahan rotan abah bersama-sama. Tetapi aku sudah terbiasa dengannya, asal ada along di sisi, aku jadi tidak apa-apa.

Siri Cerpen dan Puisi - Tarian PenaWhere stories live. Discover now