Setulus Kasihmu Ayah

19 1 1
                                    



Telefon pintarku memaparkan tarikh hari ini - 21 ogos 2019. Hari ini merupakan antara hari terpenting dalam kalendar keluarga kami, kerana ini merupakan hari lahir ayah. Di saat orang lain bercerita tentang jasa dan pengorbanan ibu, aku di sini memilih untuk berbicara soal ayah – seorang perwira yang selalu dilupakan. Jam menunjukkan detik 9.30 pagi, aku terus menggalas beg pakaian yang sudah disiapkan malam tadi untuk dibawa pulang ke kampung, tidak sabar rasanya untuk menikmati gulai masak lemak tempoyak buatan emak. Sambil kaki ini menekan pedal minyak, kubiarkan keretaku memecut laju sebagaimana fikiranku yang ikut sama melayang menuju ke imbauan kisah zaman silamku.

Ayah merupakan insan yang paling teruja apabila tibanya tarikh 21 ogos pada setiap tahun. Bukan hanya disebabkan oleh peristiwa tarikh kelahirannya, bahkan juga kerana apabila tiba ke tarikh tersebut, ini menandakan bahawa tarikh hari kemerdekaan negara pertiwi yang tercinta ini sudah hampir tiba. Mana tidaknya, beliau dahulunya merupakan seorang pesara tentera, hidup matinya pernah diperjuangkan untuk negara. Beliau membesarkan kami 5 beradik dengan didikan yang cukup sempurna, dari ilmu agama sehinggalah ke bidang akademik. Yang pastinya sebagai anak seorang tentera, kami disemai dengan semangat patriotik yang tinggi, menjadikan tarikh 31 ogos seolah-olah satu perayaan buat kami.

19 tahun yang lalu disaat aku masih berusia 11 tahun, saat-saat manis di atas basikal bersama ayah masih segar dalam ingatanku. Walaupun aku mempunyai 4 lagi orang adik, namun aku sebagai anak sulung perempuan yang dipilih oleh Tuhan untuk menjadi anak emas ayah. Namaku Manis Salina, dan semua orang memanggilku dengan nama Ina kecuali ayah, kerana ayah lebih suka memanggilku dengan nama Manis. Katanya, aku semanis namaku. Pada detik terindah itu, aku dan ayah seronok menaiki motor buruk ayah sambil memasang bendera bendera Malaysia di sudut-sudut kampung. Maklumlah, hari kemerdekaan tinggal hanya 10 hari sahaja. Semua kos pembelian dan pemasangan bendera itu ditanggung oleh ayah sendiri kerana kata ayah, tugas mencintai negara adalah tanggungjawab setiap insan.

Pada hari lahir beliau, kami sekeluarga akan menyambut dengan cara yang cukup sederhana namun tetap akan kurasai kemeriahannya. Aku sedar keluarga kami bukanlah orang senang kerana semenjak bersaranya ayah dari dunia tentera, beliau hanya melakukan kerja- kerja kampung untuk menyara hidup kami sekeluarga, sedang emak hanya seorang suri rumah. Namun meski serba kekurangan, aku tetap bahagia. Pada hari lahir ayah, kami akan menikmati pulut kuning emak dan turut berkongsinya dengan jiran tetangga. Kemudian ayah akan membawaku menaiki motor tuanya sambil menyapa orang-orang kampung. Beliau begitu asyik memujiku yang katanya rajin dan bijak, katanya lagi beliau sangat berimpi untuk melihat aku sebagai seorang doktor pada suatu hari nanti.

Beberapa tahun berlalu, seperti orang lain, aku kian menginjak kealam remaja. Aku mendapat tempat di sekolah berasrama penuh di Baling, Kedah. Seperti yang dijangkakan, ini akan menjadi pemisah antara aku dan ayah. Pada mulanya aku agak berat untuk menerima tawaran ini kerana memikirkan soal ayah yang bakal sunyi tanpa kehadiranku di sisi, namun yang aku dapati adalah sebaliknya. Sebaik sahaja aku pulang dari pejabat pos bersama surat tawaran di tangan, ayah telah menjadi orang pertama yang menerima khabar ini lalu beliau terus bersujud sambil mengucapkan rasa syukur kepada Tuhan. Nafasku dihembus lega, ayah nyatanya tidak berat untuk melepaskan aku pergi jauh dari pelupuk matanya. Namun rupanya aku tersilap, kerana bermula dari hari pertama aku berada di sekolah baru, adik telah memberitahuku bahawa ayah begitu bersedih dan terkesan dengan ketiadaanku. Namun beliau hanya berpura-pura gembira kerana tidak mahu aku berduka. Ayah, seseorang insan yang bijak dalam mengukir senyuman kepalsuan meski beliau harus berpura pura demi melihat anaknya bahagia. Dari sikapnya jugalah aku belajar erti pengorbanan yang sebenarnya.

Waktu kian berlalu, aku semakin sibuk dengan kehidupanku di asrama. Namun begitu aku tidak pernah lupa untuk menghubungi keluarga yang berada jauh dari mata. Selalunya aku hanya pulang menjelang cuti panjang, maka cuti hujung minggu dan hari hari lainnya akanku isi dengan kegiatan berfaedah di sekolah. Tahun berganti tahun, aku menjadi semakin aktif menyertai pertandingan debat, pidato dan forum memandangkan itu adalah minatku. Bukan itu saja, malah demi mengikut jejak langkah ayah, aku juga memberanikan diri untuk menyertai pertandingan kawad kaki kadet remaja sekolah yang sudah pasti menuntut masa dan komitmen yang jitu. Guru-guru mulai nampak akan bakatku lantas memberikanku kepercayaan untuk menggalas segala pangkat dan jawatan. Ayah begitu bangga mendengar segala pencapaian tersebut dan seperti biasa beliau akan sentiasa menjadi penyokong nombor satuku.

Siri Cerpen dan Puisi - Tarian PenaWhere stories live. Discover now