BAB 15
"Awak betul ke nak balik kampung rumah mak saya dengan Ashraf minggu depan?" soal Hasrol sebaik sahaja mereka masuk ke dalam bilik tidur belakang. Ketika itu Hasrol sedang mengangkut beberapa helai baju. Begitu juga Marisa sedang membimbit beg baju. Mulai hari ini sehingga Puan Aminah pulang semula ke kampung, mereka akan tidur di dalam bilik belakang memandang bilik tidur utama telah diberikan kepada Puan Aminah. "Kenapa? Awak tak percaya ke?" Tiada jawapan yang diberikan tetapi soalan pula yang dituturkan oleh Marisa.
"Yelah...kan masa tu kita dah bercerai. Masa itu pun awak dah kembali pada Taufik." "Tetapi pada masa itu saya masih belum boleh berkahwin dengan abang Taufik lagi. Jadi saya dengan Ashraf boleh ikut awak balik kampung selama seminggu. Kita berlakonlah still jadi suami isteri lagi. Saya tahu perbuatan itu salah disisi Islam sebab kita akan bersekedudukan sedangkan kita sudah bukan suami isteri lagi. Cuma saya tak sanggup nak kecewakan mak awak. Penat-penat buat persiapan kenduri kahwin kita tetapi tak jadi," jelas Marisa sambil tangannya sedang mengeluarkan kain-kain baju di dalam beg.
Hasrol mengeluh mendengar penjelasan Marisa tadi. Dia pun tidak mahu mengecewakan hasrat ibunya itu. "Kan saya dah cakap... Mak mesti sukakan awak. Kalau saya tahu awak adalah perempuan pilihan mak jangan harap saya nak terima tawaran jadi cina buta hari itu." "Kenapa pula awak boleh berkata macam tu?" Soal Marisa.
"Sebab takut jadi macam inilah. Takut tiba-tiba mak suka kat menantunya sedangkan dia tidak tahu perkara yang sebenar. Sekarang saya sudah serba salah. Boleh saja kalau saya tak mahu ceraikan awak demi menjaga hati mak. Tetapi saya tak boleh pentingkan diri saya sendiri. Awak pun ada kehidupan awak sendiri bersama orang yang awak cintai Taufik," kata Hasrol lalu terdiam. Dia termenung seketika.
Hasrol menyambung semula katanya. "Kalau saya ceritakan perkara sebenar pasti mak akan kecewa. Agaknya kalau mak tahu saya ni cina buta mesti dia tak mengaku saya anaknya. Nak tak nak terpaksa saya beritahu mak yang kita sudah bercerai nanti daripada berterus terang tentang perkahwinan kita ini adalah rancangan semata-mata. Memanglah cadangan awak nak kita berlakon jadi suami isteri itu baik. Tetapi Taufik benarkan ke? Sampai bila kita nak berlakon. Daripada berlakon baik kita terus jadi suami isteri sahaja."
Marisa tersentak mendengar kata-kata Hasrol tadi. 'Itulah yang saya harapkan. Menjadi isteri awak untuk selama-lamanya,' kata Marisa yang berani diluahkan di dalam hati. Hakikatnya dia terpaksa pendamkan. Dia keliru sekarang ini. Tiba-tiba dia teringatkan Taufik. Tetapi perasaan cintanya terhadap Taufik semakin hari semakin jauh. Yang dekat hanyalah perasaan cintanya terhadap Hasrol.
"Awak jagan bimbang. Awak dah banyak bantu saya dengan Ashraf. Kali ini saya akan bantu awak pula. Tentang abang Taufik pun awak jangan bimbang. Saya akan terangkan pada abang Taufik dan saya yakin yang abang Taufik akan faham ," ujar Marisa. Dia baru sahaja meletakkan baju yang dikeluarkan dari dalam beg ke dalam almari pakaian. Lalu dia duduk disebelah Hasrol di atas katil yang akan menjadi alas mereka untuk tidur nanti.
"Biarlah mak rasa gembira melihat usaha payahnya membuat persiapan kenduri kahwin kita menjadi realiti. Cuba awak bayangkan kalau semua persiapan kenduri kahwin sudah dibuat last-last tak jadi sebab dia tahu kita sudah bercerai. Apa perasaan mak awak. Mesti kecewa. Lebih-lebih lagi malu pada penduduk kampung yang sudah maklum dengan kenduri kahwin itu," Marisa menyambung katanya lagi. Hasrol mengangguk. Lantas dia memandang tepat wajah Marisa. "Kenapa awak sanggup nak tolong saya sedangkan selepas saya ceraikan awak nanti kita sudah tiada kaitan apa-apa pun?" Soal Hasrol.
YOU ARE READING
MATA YANG TIADA LAGI BUTA
RomanceCinta berbayar Si Cina Buta berubah menjadi Cinta sejati..