BAB 24
Jam sudah menunjukkan pukul 1.00 tengahari. Sepatutnya waktu itu Ashraf sudah pulang dari sekolah. Tetapi Marisa berasa gelisah kerana dikhuatiri Hasrol tidak mengambil anak lelakinya itu. Dia masih tidak dapat melupakan kata-kata Taufik tadi yang betul-betul mencengkam hatinya. Kata-kata Taufik tadi masih terngiang-ngiang di telinganya. Dia juga tidak dapat melupakan tindakan Hasrol yang dianggapnya sudah hilang kawalan diri. Sebab itu dia tidak berani untuk menghubungi Hasrol meminta tolong untuk mengambil Ashraf di sekolah.
Atas rasa kebimbangannya terhadap Ashraf, Marisa terpaksa juga menghubungi Hasrol. Apa nak jadi, jadilah. Janji Ashraf dapat pulang dalam keadaan selamat. Entah di mana Hasrol menghilangkan diri dia tidak tahu. Telefon bimbitnya didail nombor Hasrol dan disambut dengan deringan berupa lagu 'Andai Ku Tahu' dari Kumpulan Unggu menujah ke dalam telinganya. Lama juga lagu itu berkumandang dan akhirnya panggilan itu dijawab.
"Hello mama," kedengaran suara Ashraf yang jelas kedengaran dari corong telefon bimbit Marisa.
Marisa menarik nafas lega. Dia bersyukur kerana Hasrol masih mengingati Ashraf dan mengambil anaknya itu di sekolah.
"Kenapa Ashraf yang jawab? Papa mana?" Marisa sengaja menyoal walaupun dia tahu mengapa Hasrol berbuat demikian.
"Papa tengah memandulah mama. Mana boleh cakap dengan telefon sambil memandu," hujah Ashraf, petah.
Marisa tersenyum sumbing. "Yelah, mama silap. Ni nak balik rumah kan?" Soal Marisa lagi.
"Belum papa nak belikan Ashraf KFC."
Marisa mengetap bibirnya. Dia tidak menyangka Hasrol masih lagi mengambil berat pada anaknya, padahal kontrak mereka sebagai suami isteri sudah berakhir pun.
"Ashraf, tengok muka papa macam biasa atau sudah berubah?"
"Berubah? Ashraf tengok sama saja. Makin hensem adalah."
Marisa tergelak kecil mendengar telatah anaknya itu. Dia merasa lega kerana merasakan kemarahan Hasrol sudah mulai reda. "Yelah, mama tunggu kau orang berdua kat rumah tahu. Assalamulaikum."
"Waalaikumsalam mak," lalu panggilan ditamatkan.
Marisa melihat beg pakaiannya bersama Ashraf siap disusun di ruang tamu. Dia terfikir adakah patut dia menyimpan baju itu semula di dalam almari atau dibiarkan sahaja dahulu sehingga Hasrol memberi kata putus sama ada untuk menceraikannya atau tidak. Walaupun dia tahu Hasrol masih memerlukannya untuk menjayakan kenduri kahwin mereka yang telah diuruskan oleh Puan Aminah, tetapi dia tidak boleh terlalu yakin yang Hasrol tidak akan menceraikannya. Dia masih tidak tahu akan statusnya sekarang. Adakah masih lagi menjadi isteri Hasrol atau sebaliknya. Dia tidak ubah seperti bergantung tidak bertali.
#########################
Setengah jam masa berlalu. Ashraf pulang ke rumah. Dia keseorangan berjalan menuju ke dapur. Marisa baru sahaja selesai memanaskan lauk, tersenyum melihat Ashraf yang sedang menjinjit beg plastik yang mengandungi kotak KFC. Kepala Marisa disengetkan sedikit untuk meninjau di ruang tamu. Dia mencari kelibat Hasrol tetapi tidak kelihatan. Lastas dia menoleh ke arah Ashraf.
"Papa mana?" Ringkas sahaja soalan Marisa.
"Papa suruh Ashraf balik dulu. Papa nak jumpa kawan katanya. Satu lagi, papa suruh kita makan dulu," jelas Ashraf sambil meletakkan plastik KFC di atas meja. "Ashraf nak salin pakaian lepas tu kita terus makan ye mama. Ashraf lapar," kata Ashraf lagi. Lantas dia berlari keluar dari dapur menuju ke biliknya.
Marisa hanya mengangguk. Dia berasa kecewa sebenarnya kerana Hasrol tidak pulang sekali dengan Ashraf. Dia ingin mendapatkan katas putus dari Hasrol pada hari ini juga. Tetapi memandangkan Hasrol tiada terpaksalah dia menunggu sehingga lelaki itu pulang dahulu. Apa-apa pun dia masih berharap dan berdoa agar Hasrol dapat menerimanya semula walaupun harapannya itu mungkin tidak mungkin berlaku.
#################
Hasrol sedang memandu kereta. Dia sebenarnya tidak tahu ke mana harus dituju. Dia rasa tidak sesuai jika dia balik ke apartmentnya pada waktu ini memandangkan apa yang berlaku pada siang tadi. Sedang leka Hasrol memandu, tabnya mendendangkan lagu. Ada orang menghubunginya. Hasrol melihat skrin tabnya. Dia tersenyum membaca nama yang tertera di skrin tab itu. Lantas panggilan itu dijawab.
"Hello Zaki. Memang tepat pada masanya kau hubungi aku sekarang ni."
"Mestilah. Hari ini kan kau dah jadi orang kaya. Nak minta kau belanja aku ni," balas Zaki selepas mendengar kata aluan daripada Hasrol tadi. Hasrol senyap apabila Zaki menggelarnya orang kaya.
"Oi kenapa senyap? Kedekutlah tu nak belanja aku," tambah Zaki lagi.
"Aku sebenarnya tak dapat satu sen pun dari bekas suami Marisa yang tak guna tu," Hasrol berterus terang.
"Apa! Kau kena tipu ke?" Zaki terkejut mendengar penjelasan Hasrol.
"Memang pun. Tapi kalau kau nak dengar cerita lebih lanjut, jom kita jumpa kat tempat biasa," pelawa Hasrol.
"Aku free je. Tapi tak dapatlah kau belanja aku hari ni," Zaki sempat bergurau lagi.
"Setakat teh tarik dengan roti kosong tu aku boleh belanjalah. Sekarang tahu aku tunggu." "Roti kosong pun roti kosonglah. Ok kita jumpa kat tempat biasa," Zaki ketawa terkekeh-kekeh.
#####################
Tengahari itu, Marisa menjamu selera bersama dengan Ashraf sahaja. Selalunya Hasrol akan turut serta untuk makan tengahari bersama. Tetapi pada hari ini hanya Marisa dan Ashraf berdua sahaja yang duduk di atas kerusi meja makan.
Tiba-tiba Ashraf menegur ibunya. "Ma, kenapa baju kat dalam almari Ashraf ada sehelai je? Tengok-tengok ada kat dalam beg pakaian kat luar tu. Beg mama pun ada. Kita nak pergi mana?"
Baru Marisa perasaan yang dia terlupa untuk menyimpan beg pakaian yang diletakkan di ruang tamu. Sepatutnya sebelum Ashraf balik dia sudah mengemas semula baju-baju Ashraf di dalam almari. Manakala beg pakaiannya pula di bawa masuk ke dalam bilik tidur utama sahaja. Oleh kerana terlupa menyebabkan Ashraf perasan akan beg-beg itu.
"Err... Oh, tadi papa ingat nak bawa kita balik kampung hari ini. Tetapi tak jadi pula sebab papa ada keje nak buat. Sebab itulah mama dah siap packing baju kita. Tak apa nanti mama kemas balik semula," Marisa memberikan alasan. Nasib baik dia teringat mengenai cadangan Hasrol untuk membawanya dengan Ashraf balik ke kampung Hasrol Jumaat ini. "Ala... Bila lagi nak balik kampung jumpa nenek?"
"Hari jumaat ni. InsyaAllah papa akan bawa."
"Janji ye ma," Ashraf menagih janji.
"Janji sayang," Marisa mengiyakan janjinya walaupun dia tidak pasti lagi sama ada Hasrol benar-benar ingin membawanya bersama Ashraf pulang ke kampung. Marisa mengeluh mengenangkan nasibnya yang agak malang itu.
##################
Zaki tiba dahulu di restoran mamak tempat yang sinonim dia berjumpa dengan Hasrol. Sudah separuh air teh dihirupnya tetapi Hasrol masih belum muncul lagi. Nasib baik cerita kat televisyen yang dipasang di restoran mamak itu menarik. Tidaklah bosan dia menunggu seorang diri di dalam restoran itu.
Mata Zaki tidak berkelip menonton filem Kung Fu Hustle lakonan Stephen Chow pelakon kegemarannya. Kadang-kadang dia tergelak sendiri apabila pelakon kegemarannya itu membuat lawak. Sehinggakan Hasrol duduk di sebelahnya pun dia tidak perasan kehadiran kawan baiknya itu.
"Hoi! Khusyuk nampak tengok filem cina tu?" Tegur Hasrol apabila kedatangannya tidak diambil perhatian oleh Zaki.
"Eh Hasrol, bila sampai? Tapi lambat betul kau sampai. Terkejar-kejar aku datang ke sini sebab fikir kau dah sampai dulu."
"Sorylah. Aku singgah solat Zohor jap tadi kat Petronas depan tu. Tulah aku ambil masa sikit," ujar Hasrol sambil tangannya diangkat untuk memanggil salah seorang mamak untuk mengambil pesanan.
"Nampaknya kawan aku ni dah jadi ustaz," Zaki pandai menyakat.
"Kau ingat solat ni untuk ustaz je ke? Solat sebenarnya untuk semua umat manusia yang beragama Islam termasuk kau tau," balas Hasrol. Sambil itu dia sempat memesan milo panas apabila datang seorang lelaki mamak mengambil pesanan.
"Hahahaha.... Cakap pun dah macam ustaz. Kalau macam tu aku panggil kau Ustaz Hasrol lah." Zaki terus menyambung ketawanya.
Hasrol tersenyum lebar sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Bagus juga dia berjumpa dengan Zaki petang ini. Dapat juga dia menghiburkan hatinya dengan mendengar lawak jenaka yang dibuat oleh Zaki. Seketika peristiwa yang berlaku pagi tadi dilupakan oleh Hasrol.
YOU ARE READING
MATA YANG TIADA LAGI BUTA
RomantizmCinta berbayar Si Cina Buta berubah menjadi Cinta sejati..