“Wah, sedap-sedapnya biskut raya yang kau bawa, Manda. Almond London ni aku suka sangat. Ibu kau buat ke beli ni?.” Satu biskut Almond London disumbat ke dalam mulut. Sampai terpejam matanya ketika lidah merasai biskut yang dimasukkan ke dalam mulut.
Amanda tersenyum nipis. “ Buat. Aku tolong ibu aku buat biskut ni. Susah tau. “ Suara terlebih gembira Amanda kedengaran.
“Banyak jenis juga biskut yang kau bawa ni. Semua nampak sedap-sedap.” Sambung Mona lagi. Bersinar matanya memandang satu per satu biskut yang bakal menjadi santapannya hari ini. Teruja sampai tak sedar ada sisa biskut di tepi bibir.
“Makanlah. Bilalah agaknya cikgu nak buat jamuan hari raya? Masa dekat tadika dulu ada jamuan hari raya. Dekat sekolah ni. Agak-agak ada tak jamuan hari raya kau rasa, Mona?.”
Mona menjungkitkan kedua-dua belah bahunya. Mulut penuh dengan biskut, Satu demi satu jenis biskut dicuba oleh Mona. Tak terlepas peluang yang jarang-jarang dia dapat nikmati.
“Tak tahulah. Adalah kot. Tapi kalau ada pun, aku tak tahu nak bawa apa sebab biskut raya di rumah aku dah habis. Hari raya ketiga dah tinggal habuk. Kitaorang buat biskut sikit je. Adalah dua, tiga jenis. Tak sempat nak kasi kau rasa.”
Amanda hanya tersenyum sebelum tiba-tiba beberapa buah buku latihan yang kulit hadapan berwarna koko diletakkan hadapan dia.
“Tulisan kau cantik, Manda. Tolong tulis nama aku atas buku ni. Aku nak pen warna biru je tau, Manda.” Begitulah arahan yang Amanina berikan kepada Amanda dengan senyuman nipis.
“Kau tulislah sendiri nama kau. Kan ni buku kau.” Amanda menggeleng kepala perlahan dengan tangan kanan menolak beberapa buah buku yang berada di hadapannya ke arah Amanina semula.
Ada lebih kurang sepuluh buah buku yang Amanina mahu Amanda tuliskan nama, kelas dan tahun ke berapa.
“Aku nak kau yang tulis sebab tulisan kau cantik. Bulat-bulat, comel. Tulisan aku tak cantik.” Kata-kata yang berbaur pujian tapi dengan senyuman sinis.
“Kau suruh jelah kakak kau ke, abang kau ke yang tolong tuliskan nama kau. Tak pun ibu kau kan boleh tolong tuliskan nama untuk kau.” Amanda menolak sekali lagi permintaan berbaur arahan tersebut.
Pensil dijalankan di atas sekeping kertas putih. Sekadar lakaran untuk hilangkan rasa bosan. Lakaran yang selalu dilukis ketika jari mula pandai melakar.
Suasana di kampung. Ada sebuah rumah kayu, ada sawah padi, ada bukit-bukau, ada matahari, ada awan dan juga burung.
Kerana sudah terlalu lama melukis benda yang sama, jadinya lukisan itu menjadi hampir sempurna. Kelihatan cantik pada kornea mata kawan-kawan sekelas Amanda.
“Cantiklah kau lukis, Manda. Pandai kau kan,” puji Mona dengan senyuman.
Beberapa orang kawan mula mengelilingi meja yang Amanda duduk. Keadaan kelas ketika itu agak bising kerana tiada guru yang masuk mengajar. Semua guru sedang bermesyuarat saat itu. Kakak pengawas dan abang pengawas yang jagakan kelas pula tidak mampu buatkan seluruh seisi kelas bertenang, aman dan damai.
“Alaaa… aku pun pandailah nak lukis macam yang Manda lukis tu. Senang je pun,” tempelak Amanina dengan jelingan sinis kepada Amanda yang hanya diam.
“Kalau macam tu, kau lukislah juga macam yang Amanda buat ni. Nanti kita tengok cantik ke tidak.” Cadang salah seorang kawan sekelas Amanda kepada Amanina.
“Aku tak ada mood nak melukis hari ni. Nantilah aku melukis. Sekarang ni, kauorang boleh pergi duduk di tempat masing-masing tak? Panaslah bila ramai-ramai ada dekat sini.” Amanina menghalau dengan nada marah. Kelat wajahnya. Sekelat jering mungkin.
YOU ARE READING
HAI ABANG SAYANG
RomanceMengandungi 15 bab sahaja Aidan seorang doktor Amanda seorang pelajar Uni Satu sudah bertunang Satu masih menagih cinta Bersama dengan satu yang sudah bertunang itu dengan cara baik atau cara tak baik? Perigi cari timba Pikat sampai dapat Buat sampa...