Dahlia meninggalkan rumah setelah membancuh dua cawan teh camomile untuk aku dan tetamuku malam ini. Dia tahu betapa lama aku menanti kedatangan tetamu di hadapanku ini dan memutuskan untuk memberi kami privasi walhal dia merancang untuk bermalam di rumahku. Terpaksalah rancangannya dibatalkan dahulu.
Sekejap-sekejap, aku mencuri pandang wanita yang duduk berhadapan denganku. Teh yang tadinya penuh, sedikit-sedikit aku teguk sehinggalah cawan hampir kering meskipun hangatnya masih terasa. Kekok dan tidak tahu hendak berbuat apa dalam situasi begini.
Dalam aku merasa janggal, wanita di hadapanku kelihatan tenang. Bahkan dia menghirup tehnya dengan elegan sekali. Berbeza dengan aku yang terketar-ketar ketika memegang cawan.
Sejujurnya, aku hampir tidak mengenalinya. Penampilannya cukup jauh berbeza berbanding dulu. Dulu, rambutnya semerah rambutan tetapi kini, tudung shawl hitam melitupi kepalanya, labuh menutup dada. Abaya yang dikenakannya juga longgar. Menutup aurat dengan sempurna walaupun di hadapan seorang yang mahram baginya.
"Daiyan... mesti terkejutkan?" Dia bersuara.
Aku laju-laju meletakkan cawan kosong ke bawah. Bibir aku lap menggunakan belakang tapak tangan. Tak senonoh langsung.
"I have work around here. Kita pun lama sudah tidak jumpa... I hope it's okay to stop by like this." Katanya.
Aku dan dia, sejak kecil lagi sudah terbiasa berbahasa Inggeris ketika berdua. Mungkin terlalu terdedah kepada rancangan televisyen dan filem Inggeris.
"Hm." Aku memaksa senyuman. "Kakak... apa khabar?"
"Alhamdulillah." Ucapnya dan aku menghembus nafas lega. "Bukan main famous lagi Daiyan sekarangkan? Mana-mana kakak pergi, ada saja muka Daiyan. Di TV, di Instagram." Usikannya berjaya membuatku tersipu malu.
"Kakak datang sendiri sajakah?"
Aku sempat menangkap ekspresi wajahnya yang aneh. Seakan senyuman elegan tadi berubah kelat buat beberapa milisaat.
"I'm divorced."
Mulutku ternganga. Tak sengaja menjolok sarang tebuan. Ikutkan hati, mahu bertanya sebab dan alasan tetapi... mungkin lebih baik aku biarkan berlalu kali ini.
"Anyway, it feels nice to see you. It's almost midnight. I should go back to my hotel."
Dia tergesa-gesa mengambil beg tangannya. Aku berdiri setelah dia. Tak sangka sudah hampir sejam berlalu sejak Dahlia meninggalkan kami berdua tetapi rasa terlalu singkat. Bahkan aku tidak sempat bertanya apa yang terbuku di hati.
"It's okay. You don't have to walk me out." Dia menolak sopan.
"Esok—"
Dia kembali menoleh ke arahku dengan sepasang mata bulatnya. Ternanti-nanti sambungan ayatku.
"Can we meet again?" Soalku—lebih seperti suatu permintaan daripada adik untuk seorang kakak.
Dia tidak menjawab. Sebaliknya, lengan didepa. Perlahan-lahan, aku mendekatinya dan membenamkan diriku ke dalam pelukannya. Air mata turun dengan laju.
Aneh. Aku pernah membayangkan hari ini. Hari aku dan dia disatukan semula tetapi entah mengapa dalam imaginasi itu, semuanya terasa indah belaka. Hanya senyuman menghiasi dua bibir merah. Bahkan dalam setiap babak gembira yang aku lakonkan, itulah imej yang aku bayangkan untuk menguasai emosi bahagia.
Tetapi realitinya berbeza. Bukan senyuman; hanya air mata bahagia.
+
Jurusolek meninggalkan ruangan usai mewarnai wajahku yang kelihatan pucat tanpa solekan. Jariku ligat menekan butang pada skrin telefon pintar. Mencari artikel berkait dengan drama kami sementara menunggu giliranku untuk melakonkan babak seterusnya.
Jari terhenti pada satu artikel. Bukan tentang aku tetapi Suzy Reyez. Ratanya-ratanya memuji lakonannya yang dikatakan menjadi. Boleh dikatakan seluruh isi artikel sangat positif sehinggalah aku tiba di ruangan komen.
Dengar citer, watak Nurul sepatutnya Daiyan yang pegang. Nasib baiklah tak jadi!
Kalau Daiyan yang pegang, confirm watak Nurul failed!
Biasanya, pelakon baru ni semua kayu. Daiyan pun dulu macam tu juga. Tapi Suzy bukan main terer lagi. Sampaikan kita pun terikut emosi huhuhu
Sukalah tengok Suzy dalam drama ni. Bukan macam sorang tu. Dapat watak pun sebab connection.
Betul ke Daiyan dapat watak ni sebab dia bercinta dengan director?
Suzy ❤ Mark
Suzy dengan Mark ni bercinta betul-betul ke?
Watak utama Mark dengan Suzy. Tapi kenapa si Daiyan ni yang beriya rapat dengan Mark masa shooting?
"Wow!" Keluhan sinis aku lepaskan. "Bukan main lagi mulut netizen. Habis semua dorang nak kutuk"
Tiba-tiba, Mark melangkah masuk dan mengganggu monologku. Dia kaku sejenak di hadapan pintu. Seakan mahu berpatah balik tanpa menegur sapaku.
"Duduklah. Saya ada benda nak cakap dengan awak." Telefon aku letakkan ke atas meja solek.
Keluhannya jelas kedengaran. Kaki diheret merapatiku. Punggung tak dilabuhkan tetapi disandarkan pada meja solek. Berpeluk tubuh dan enggan memandangku.
"I'll go straight to the point. Awak suka kat Suzy ke?"
Dia tersenyum sinis. "Oh. Sekarang saya pula yang curang?"
"Curang? Kalau setakat suka, I don't think it's cheating. Lainlah kalau awak bercinta dengan dia kat belakang saya. Itu baru curang."
Mark akhirnya menatapku. Tetapi dengan tatapan yang begitu tajam.
"Bercinta?" Soalnya. "Oh. Maksud awak keluar date, shopping sama-sama, macam tu?"
Kata-katanya berbaur sindiran. Aku tahu dia sedang berbicara soalku dan Abang Azmi yang sudah menggemparkan dunia hiburan. Tapi Dahlia meyakinkanku untuk tidak terlalu memikirkan hal itu dan aku meletakkan seratus peratus kepercayaanku ke atasnya.
"Saya—"
"Mark, Daiyan." Abang Azmi mencelah.
"Good timing." Mark berbisik kepada diri sendiri tetapi aku sempat menangkapnya kerana jarak di antara kami yang agak rapat.
"Korang okay ke? Still gaduh lagi ke?"
Soalan Abang Azmi membuatkan Mark terkebil-kebil. Aku terlupa untuk memberitahunya tentang Abang Azmi mengetahui rahsia kami. Eh, bukan terlupa tapi malas. Malas nak keruhkan lagi keadaan.
Sekarang, sudah terhantuk aku terngadah. Mesti Mark dah mula salah faham. Menyesal pula layan rasa malas aku.
"Janganlah gaduh lama-lama. Mark pun janganlah jealous sangat. Abang dengan Daiyan ni, bagaikan abang dengan adik je." Jelasnya.
"Abang dengan adik?" Mark mengetap gigi. "Oh." Sambungnya.
"Apa kata korang berbaik dulu and then turun bawah, kita lunch sama-sama before shoot scene korang? Okay?" Cadang Abang Azmi kemudian berlalu pergi meninggalkan kami.
Aku bingkas bangun. Menarik hujung blaus yang aku kenakan sebelum kembali mendongak dan memandangnya. Nampak sangat dia tiada niat mahu berbaik. Daripada layan angin dia, baik aku isi perut.
"Jom." Ajakku tanpa emosi.
Tanpa menunggu balasan daripadanya, aku terus berpaling. Beberapa langkah daripada meninggalkan bilik yang dikhaskan untuk bilik solekan, Mark bersuara.
"Kalau saya suka Suzy, awak nak buat apa?"
YOU ARE READING
Melodrama
Teen FictionSebut saja nama Daiyan Islam, semua pasti mengenali pelakon wanita yang menjadi pilihan pertama sutradara sepanjang masa. Berbeza dengan dirinya di kaca televisyen, Daiyan bersifat terlalu berahsia. Bersuara hanya bila ditanya dan sering hanyut dala...