B (Bab 1)

1.1K 55 4
                                    

Untuk yang sudi baca, terima kasih 💛
Untuk yang bertanya ni kisah siapa, korang dah dapat jawapan dah 💛

•••

BAB 1

DIA menyisir rambut di depan cermin. Lembut setiap sisirannya, dari ubun kepala hingga ke hujung. Kini rambutnya sudah panjang melepasi bahu.

Tidak seperti wanita zaman kini yang mungkin teruja untuk mewarnakan rambut, dia pula lebih selesa membiarkan rambutnya kekal hitam. Sementelah, dia akui rambutnya sangat cantik. Hitam berkilat dan lurus, sama seperti model syampu rambut.

Namun sewaktu sikat tersebut sampai di bahagian bahu kiri, pergerakannya terhenti. Lama dia jumud begitu, sebelum lambat-lambat dia meletakkan semula sikat di atas meja solek. Mata masih terpaku pada pantulan dirinya di cermin sewaktu dia mengangkat punggung. Diri dibawa mendekati cermin dan...

Jari halusnya menyentuh kulit bahu sendiri. Ada satu kawasan berwarna merah jambu dan merah pekat di situ, agak timbul. Permukaannya jelas terbentuk dan ia menjalar naik ke kawasan leher. Kemudian dia selak fringe yang menutup kawasan dahi hingga kening. Lagi, dia lihat ada bekas seiras tadi, di situ.

Parut itu...

Membuatkan dia kelihatan jelik.

Lalu cepat-cepat dia turunkan semula fringe dan perkemaskan bajunya biar bahagian bahu tertutup. Fitrah manusia yang suka melihat pemandangan indah membuatkan dia ada masanya membenci badan sendiri. Syukur saja hingga ke saat ini, dia tak pernah ada kecenderungan untuk menyakiti tubuhnya.

"Cik Adel?"

Kedengaran suara seorang wanita bersama ketukan di pintu sekali gus mengalih perhatiannya.

"Cik Adel? Saya masuk eh?"

Suara itu meminta izin. Dengar saja itu, bergegas Adeline bingkas dari duduknya.

"Sekejap!" Dia melaung. Kekalutan berlari menuju ke almari baju untuk mengambil kardigan dan sehelai tudung.

Pada saat dia terkocoh-kocoh menyarung setiap satu itu, Adeline sempat menjerit lagi.

"Jangan masuk dulu, Airis!"

Meski Adeline tidak dapat melihat Airis tika ini, dia dapat membayangkan Airis sedang mengangguk di sebalik pintu. Pasti Airis berdiri tegak semerta, menantikan Adeline membuka pintu dari dalam.
Yakin dengan penampilannya, Adeline meluru ke pintu. Dengan senyum yang dibuat-buat...

"Airis," sapa Adeline sebaik dia menguak daun pintu. Badan disandar pada pintu manakala kepala dijengah untuk melihat Airis. Berjaya mengundang pandangan penuh musykil daripada wanita itu.

Dengan sengihan kambing, Adeline buka pintu luas-luas untuk mempelawa Airis masuk.

"Cik Adel buat apa tadi? Kenapa tak turun lagi?" tanya Airis sebaik kedua-dua kakinya selamat mendarat di dalam bilik Adeline. Tanpa menoleh, Airis tahu majikannya sudah menutup semula pintu bilik sebelum dia berjalan menonong menuju ke katil.

"Saya baru lepas mandi. Hari ni terbangun lambat. Kenapa? Mama dah cari saya?"

Usai memberitahu jujur, itu pun menyelit sedikit pembohongan, Adeline bertanya semula. Mata terus melingas mencari jam dinding. Sudah pukul sebelas pagi.

"Tadi Dato' Sri ada call juga. Macam biasalah, tanya Cik Adel buat apa. Lepas tu Dato' Sri cakap, hari ni dia balik lambat sikit. Ada miting untuk program yang AKMA taja jadi dia pesan temankan Cik Adel," beritahu Airis dengan jujurnya.

Di luar sedar, Adeline mencemik. Bukannya dia mengutuk program realiti yang ditaja oleh AKMA, syarikat ibunya tetapi dia jelak dengan pesanan Dato' Sri Akma.

Berpesan untuk temani Adeline?

Heh tak payah susah-susah bagi pesanan, memang itu dah tugas Airis. Memang itu rutin hidup seorang Airis. Saban hari, saban waktu, Airis memang akan sentiasa menemaninya.

Tak keterlaluan jika Adeline menganggap Airis ialah bayangnya. Cuma apa yang membezakan Airis dengan bayang ialah, bayang hanya akan muncul di dalam kegelapan dan sewaktu disuluh dengan cahaya.

Sedangkan Airis pula, sentiasa melekat di sisinya tak kira masa. Mereka hanya berpisah pada waktu malam. Itu pun, bukannya betul-betul berpisah. Airis tidur di bilik sebelahnya, dengan hanya dinding memisahkan. Ada juga pintu penghubung di antara kedua-dua bilik.

"Cik Adel dengar tak, saya cakap apa?"

Suara yang sedikit meninggi itu berjaya menyentak lamunan Adeline. Segera Adeline mengernyih. Dia tahu dia sudah terlanjur melamun di hadapan Airis dan dia juga tahu, Airis sudah sedia maklum. Tak perlu susah-susah Adeline cuba menafikan.

"Awak cakap apa?"

"Saya kata, kalau Cik Adel nak makan, jomlah kita turun. Mak Peah dah sediakan makanan. Tapi makanan untuk sarapan tadilah. Sekejap lagi dah masuk tengah hari, mesti Mak Peah tengah sediakan lunch pula."

Adeline tidak terus menjawab. Perihal makanan tak masuk dalam kepala pun. Sekonyong-konyong, akalnya laju membuat kira-kira.

Kalau Dato' Sri Akma pulang lewat lantaran program realiti itu, Adeline yakin sangat paling awal pun, ibunya akan pulang pada jam dua belas malam. Bukannya Adeline tak tahu, Dato' Sri Akma kebiasaannya akan keluar bersama produser dan kru program realiti tersebut. Kalau bukan Dato' Sri Akma yang mempelawa, pasti dia yang dipelawa. Adeline kerling jam dinding lagi. Itu bermaksud...

Dia ada lebih dua belas jam untuk melakukan apa saja yang dia inginkan!

Dengan mata memancar kilauan, Adeline pandang Airis semula. Senyuman kian melebar dan dimaniskan.

"Airis..." Adeline memanggil dengan gaya meleret.
Mulalah Airis memicing mata.

Kalau Adeline sudah gunakan nada sebegitu dan menarik tangannya seraya digoyang-goyangkan persis anak kecil...

"Jom kita keluar!"

"Lagi?!" Spontan, Airis terjerit.

•••

10012021 -
Idk what kind of announcement we're getting tomorrow but one thing for sure - Kalau PKP semula, mungkin makin lambat untuk jumpa B 🙃
Nonetheless, stay safe semua!

BELLEWhere stories live. Discover now