B (Bab 2)

957 50 10
                                    

Bab ni agak panjang tau! 🙈
Btw stay safe, korang! xo

•••

BAB 2

RUANG arcade riuh dengan sorakan daripada setiap sudut. Sama ada bersorak kegembiraan kerana menang atau berteriak kerana kalah buat kesekian kalinya.

Bunyi-bunyi dari setiap mesin turut menggamatkan keadaan namun tak ada sesiapa yang terkesan dengan bunyi bising itu. Masing-masing malah tampak seronok, termasuklah insan tadi yang kononnya meraung selepas kekalahan. Sekilap saja ekspresi mukanya sudah tampak bersungguh-sungguh dan bersemangat, fokus pada permainan baharu.

Perhatian Airis beralih pada seorang wanita di sebelahnya. Mata menyorot dari kaki yang memakai Skechers D'Lites hitam putih, beralih pada jean hitam, t-shirt baggy hitam dan tudung bawal satin yang sekadar dijerut hujungnya.

"Yesss masuk lagi!" Wanita itu bersorak keriangan bilamana bola yang dibaling berjaya memasuki jaring, tepat-tepat sebelum masa tamat.

"Airis, saya rasa kan saya pernah jadi atlet sekolah dulu. Mesti saya pernah jadi wakil netball. Tengoklah. Hampir semua bola yang saya shoot, semua masuk net!" kata Adeline penuh bangga sambil jari telunjuk mengunjuk pada markah yang dia berjaya raih.

Sesaat kemudian, Adeline kunci mulut. Peringkat seterusnya akan bermula di mana jaring itu akan mulai bergerak ke kanan dan kiri, tak lagi statik di satu tempat sahaja seperti tadi.

Airis mengangguk di luar kerelaan.

"Ya, ya. Mungkinlah kut Cik Adel pernah jadi wakil netball. Saya tak tahu sebab saya pun baru juga kerja dengan Cik Adel. Baru setahun. Tapi Cik Adel... Saya memang confirm satu benda ni," kata Airis yang sudah mendekatkan dirinya dengan Adeline. Peduli apa kalau dia sedang mengganggu konsentrasi Adeline yang matanya melekap pada jaring semata manakala tangannya bergerak mencari bola, mencapai dan melemparnya.

"Saya jamin Dato' Sri akan mengamuk kalau terkantoi dengan dia, kita keluar ke sini."

Dengar saja itu, terus sasaran Adeline terlajak. Bola tak lagi masuk ke jaring bererti tiada penambahan markah untuknya. Mula-mula Adeline cuba bekukan riak, konon tak terkesan dengan nama si ibu yang disebut tapi apabila Airis bersuara lagi...

"Dah berapa kali kita keluar senyap-senyap macam ni. Kalaulah Dato' Sri tahu..."

"Airis!" Tinggi julat suara Adeline. Bola di tangan turut dilempar kasar membuatkan ia melantun semula ke udara.

Pantas, Airis melompat sedikit dan menyambutnya. Dengan muka tidak berdosa, Airis campak semula bola tersebut ke tempatnya.

"Awak ni, suka spoil mood saya!" marah Adeline, diakhiri rengusan. Hilang sudah minat untuk bermain bola jaring, hilang juga segala minat untuk terus berada di arcade ini. Tadi tak rasa terganggu tapi sekarang, bunyi-bunyi bising itu menggamatkan dunianya. Tanpa kata, Adeline berjalan keluar. Diherot-berotkan bibirnya, membebel marahkan Airis tanpa suara.

Tergelak Airis dibuatnya. Tak sangkalah pula Adeline akan bereaksi sebegitu. Namun kaki tetap melangkah membuntuti majikannya sebelum Airis berdiri tepat bersebelahan dengannya.

"Cik Adel nak ke mana? Nak balik? Jom!" kata Airis penuh keceriaan. Tak sabar mahu cepat pulang ke banglo kediaman Dato' Sri Akma. Tangan sudah menyeluk poket untuk menarik keluar kunci kereta. Memandangkan tiada balasan daripada Adeline, Airis semakin bersemangat.

Tapi tiba-tiba...

"Cik Adel?"

Adeline membuat lencongan jalan. Sepatutnya dia jalan lurus saja kalau dia nak ke tempat parkir kereta tapi tiba-tiba dia ke kanan pula. Menonong masuk ke dalam sebuah franchise yang namanya berwarna merah jambu dan biru. Spontan tangan Airis naik menepuk dahi.

BELLEWhere stories live. Discover now