B (Bab 5)

644 46 7
                                    

BAB 5

ADELINE menanti penuh keresahan. Dia tak endahkan keadaan dirinya yang masih lagi kusut selepas kejadian tadi. Dia mundar-mandir di dalam bilik. Sekejap ke kanan, sekejap ke kiri. Resah kegelisahan memikirkan apa yang sedang berlaku di bawah sana.

"Sampai hati Cik Adel. Sanggup nak jadikan lelaki tu bodyguard baru."

Tiba-tiba suara Airis kedengaran dari belakang. Sontak Adeline berpaling.

Ya Tuhan! Dia terlupa tentang kewujudan Airis di situ!

"Taklah! Saya bukannya nak pecat awak!" kata Adeline. Meluru dia dekati Airis lalu dengan mimik muka bersungguh-sungguh, dia ulangi apa yang dia katakan beberapa jam lepas.

"Saya nak kau orang jadi bodyguard saya. Awak dan dia. Bila ada dua orang, lagilah keselamatan saya terjamin."

"Kenapa tiba-tiba Cik Adel nak dua bodyguard?" soal Airis lagi.

"Sebab tadilah! Entah daripada mana muncul lelaki-lelaki jahat tu, tiba-tiba nak culik saya. Cuba awak bayangkan. Kalau tadi awak tak ada, awak rasa lelaki tu boleh ke melawan tiga lelaki tu sorang- sorang? Mestilah tak boleh, kan? Tapi cuba pula awak bayangkan. Kalau lelaki tadi tak ada, apa jadi pada saya? Nauzubillah tapi kalau kejadian tadi terjadi lagi dan saya cuma ada salah seorang aje dengan saya..."

Sengaja Adeline tak habiskan bicaranya. Muka dimasamkan untuk pamerkan ketakutan.

Airis terdiam sendiri. Ada betulnya juga kata-kata Adeline. Sementelah, ini pertama kali ada percubaan menculik Adeline. Tak mustahil akan ada percubaan kedua dan seterusnya. Dari apa yang dia perhatikan, lelaki itu juga cekap berlawan. Mudah saja dia patahkan setiap serangan lelaki jahat itu.

Andai benar mereka bakal menjadi teman setugas, sekurang-kurangnya rasa risau dan beban tanggungjawab melindungi Adeline tidak digalas Airis seorang diri.

"Tapi... Kita tak kenal lelaki tu," kata Airis lagi.

"Saya tahulah. Mama pun tahu. Awak ingat kenapa dah berjam-jam kita terperap dalam bilik ni, sementara dia orang kat bawah? Mesti mama dah arahkan sesiapa untuk siasat latar belakang lelaki tu!"

Petah saja Adeline berkata-kata, bersadur keyakinan.

Airis mengangguk lagi, semakin meyakini bicara Adeline tapi wujud satu lagi soalan di mindanya.

"Tapi Cik Adel... Kenapa Cik Adel tetap nakkan dia jadi bodyguard Cik Adel?"

Seingat-ingat Airis, Adeline tidak menyaksikan babak perlawanan di antara kedua-dua lelaki tersebut.

Dia menutup mata dan menekup telinga, tidak melihat dan tidak mendengar apa-apa. Maka Adeline takkan tahu kelincahan lelaki tersebut. Jadi, mengapa?

Adeline tergamam. Perlukah dia jawab soalan tersebut? Sejujurnya, dia sendiri tidak mempunyai jawapan logik untuk soalan itu. Cuma hatinya...

"Jangan berani sentuh dia."

Sebaris ayat yang diungkap lelaki itu, berjaya mengirim satu perasaan ke dalam dirinya.

Tak pasti apa yang ada pada ayat tersebut tapi hati wanitanya bagai dicuit-cuit. Dia terasa dilindungi. Kala lelaki itu pamit diri, ada satu suara kecil menyuruh Adeline menghalangnya lalu Adeline akur.

Dan sesungguhnya, setakat ini dia tidak menyesali keputusannya. Malah di dalam hati, dia asyik berdoa semoga Allah lembutkan hati Dato' Sri Akma untuk menerima cadangan Adeline.

Lelaki itu sendiri... Semoga dia tidak menolak dan tiada apa-apa tentangnya yang boleh membuatkan Dato' Sri Akma menolaknya buta-buta.

"MULA sekarang, Airis pindah ke bilik lagi satu. Bilik yang Airis duduk sekarang, dia yang akan duduk," kata Dato' Sri Akma sambil jari telunjuk menghala pada Airis, kemudian pada lelaki itu.
Bercahaya mata Adeline semerta. Refleks, dia berpelukan dengan Airis.

BELLEWhere stories live. Discover now