B (Bab 15)

421 37 9
                                    

BAB 15

DI dalam bilik, Ayaaz duduk bersendirian. Bukan dia yang curi tulang tetapi itu arahan daripada Dato' Sri Akma dan Adeline yang mahukan saat privasi anak-beranak. Airis pun disuruh berehat di dalam bilik kerana menurut Dato' Sri Akma, banglo ini selamat untuk semua orang.

Pun begitu, Ayaaz tidak berehat atau duduk santai. Matanya tajam merenung kertas-kertas di depan mata. Sebelah kanan, ada kertas yang diberi oleh Airis. Terdapat maklumat ringkas mengenai Adeline dan Dato' Sri Akma.

Pada satu perkataan, Ayaaz menyebut perlahan.

"Kemalangan..."

Ayaaz menggosok dagunya lembut. Tanpa mengalihkan fokus, tangan mencapai satu fail hitam. Ditarik keluar beberapa keratan akhbar.
Lama Ayaaz merenung foto yang tercetak pada keratan akhbar pertama. Ada warna merah dan oren, juga sebuah kereta.

Zzzzz. Zzzzz.

Sipi-sipi bunyi getaran tersebut tetapi berjaya menyusup masuk ke pendengaran Ayaaz. Pantas, dia tarik keluar sebuah telefon bimbit dari poket. Tidak berkamera, tidak berwarna dan masih lagi mempunyai pad kekunci. Ayaaz bawa ia dekat ke telinga sebelum dia berkata...

"Hm."

Itu sahaja. Tetapi memadai untuk si pemanggil tahu, panggilannya sudah berjawab.

Ayaaz pasang telinga dengan teliti. Sesekali keningnya terangkat, sesekali dahinya berkerut. Tamat panggilan, Ayaaz termenung buat beberapa ketika sebelum dia capai pek merah putih yang turut ada di atas meja. Nama khas Kinder Bueno dibaca sekilas sebelum dia berdesis...

"Kayla... Kyle..."

Berkerut-kerut dahinya sewaktu dia genggam pek coklat tersebut. Langsung peroi isi di dalamnya namun Ayaaz tak peduli. Detik ini, dia perlu salurkan amarah tak berketepiannya dan mangsanya ialah coklat Kinder Bueno itu.

Tapi...
Tok tok!

"Ayaaz..."

Ada satu suara lembut menyeru.

"Awak dah tidur?"

Kendur segala kerutan di dahi. Kelam-kabut Ayaaz kemas semua kertas dan keratan akhbar yang berserakan sebelum dia selitkan di bawah bantal. Ayaaz menilik keadaan diri hanya untuk memastikan rupanya elok dan tiada apa mencurigakan, kemudian dia menuju ke pintu penghubung.

Sebaik daun pintu dibuka, kelihatan Adeline sedang berdiri di depan pintu penghubung biliknya sendiri sambil tersengih-sengih.

"Saya ganggu awak? Awak dah tidur?"

Segera Ayaaz menggeleng, menafikan. Tetapi tak pula dia berniat untuk beritahu apa yang sedang dia lakukan tadi.

"Hmmm kalau saya nak berborak dengan awak, boleh? Saya belum mengantuk. Nak berbual dengan Airis tapi dia tak balas WhatsApp saya. Penat sangat kut. Awak okey tak? Eh tapi kalau awak penat, tak apa. Saya faham. Sorry ganggu. Sa..."

Adeline ingin meminta diri tapi tak sempat, Ayaaz sudah terlebih dahulu bersuara.

"Tak!" kata Ayaaz berjulat tinggi.

"Errr tak... Saya tak penat. Saya tak mengantuk," sambung Ayaaz perlahan, setelah dia sedar tadi dia terlanjur meninggi suara bagaikan terdesak mahu menghalang Adeline daripada pergi.

"Hah awak duduklah," kata Adeline. Daripada berdiri, sekarang wanita itu sudah elok- elok duduk bersila di tengah-tengah bingkai pintunya. Tangan turut bergerak-gerak, menggamit Ayaaz untuk bersila juga bertentangannya. Ayaaz akur dalam kebingungan.

Sekarang mereka saling bertatapan pada saat Adeline masih di dalam kawasan bilik tidur Adeline, dan Ayaaz masih dalam lingkungan biliknya.

Tidak terus berkata apa-apa, Adeline hadiahkan senyuman kepada Ayaaz. Sebagai tanda terima kasih kerana sudi melayannya walaupun sudah pukul satu malam. Adeline menunduk sambil jari menguis hujung seluarnya. Sebenarnya, ada sesuatu yang ingin dia kongsikan bersama Ayaaz.

BELLEWhere stories live. Discover now