BELLE (Bab 18)

625 41 19
                                    

Sebab minggu depan dah bukak preorder, ini bab terakhir BELLE di wattpad tau 🙈
Nanti saya mula up teasers kat IG/FB, dan akan up tentang cara order BELLE kat sini jugak 💛

•••

BAB 18

DIRI ditilik di depan cermin. Depan dan belakang, dari atas ke bawah. Adeline tarik tudungnya
yang tersingkap di bahagian depan. Ditarik menutupi kawasan dada dan tiba-tiba...

Adeline mengeras.

Dia baru terkenangkan sesuatu. Sewaktu sedar dari koma, kepalanya togel tanpa tudung. Sudah berhari-hari berlalu pun, tak ada sesiapa yang membekalkan tudung kepadanya.

Hingga akhirnya Adeline sendiri yang meminta daripada Dato' Sri Akma. Sungguh, dia rasa ada kekurangan padanya selama mana aurat rambutnya terdedah tetapi menurut Dato' Sri Akma, Adeline memang tidak bertudung. Itu pertama kali Adeline menyuarakan hajat mahu bertudung.

Andai itu salah satu hikmah kemalangan tersebut, syukur Alhamdulillah.

"Cik Adel?"

Suara itu melenyapkan memori setahun lalu dari ingatan Adeline.

"Dah siap?"

"Dah! Sekejap, Airis!" laung Adeline dari dalam bilik. Sempat lagi dia menilik keadaan dirinya dari hujung kepala hingga ke hujung kaki. Berpuas hati lalu Adeline capai clutch berwarna emas. Buka saja pintu, Airis melopong kekaguman.

"Lawanya Cik Adel!" puji Airis semerta.

"Jomlah, dah lambat," kata Adeline acuh tak acuh. Konon mengajak Airis untuk cepat, tetapi mata sempat melekap pada pintu bilik Ayaaz.

Airis pula, bagai tahu-tahu saja apa yang difikirkan Adeline.

"Ayaaz dah ada kat bawah. Dia tunggu dalam kereta," beritahu Airis.

Adeline menjongket bahu, konon tunjukkan dia tak berminat untuk ambil tahu tentang Ayaaz. Anak tangga elips dituruni dengan berhati-hati, bimbang dia terpijak hujung dresnya sendiri. Ini belum sarung kasut tumit lagi. Nanti, lagilah dia kena lebih berhati-hati.

Sampai saja di pekarangan rumah, Airis cepat-cepat ambil kasut tumit berwarna emas dari dalam almari. Sementara Adeline memakainya, dia tak sedar Ayaaz sedang menghampiri. Sebaik Adeline angkat muka...

Dia kejur sendiri.

Ayaaz yang berada di depannya kini hanya memakai kemeja hitam dan seluar slack hitam tapi di mata Adeline, Ayaaz kelihatan sangat mempesona. Mungkin disebabkan kemeja tersebut terletak elok di tubuhnya yang tegap atau rupa Ayaaz sudah sedia tampan...

Adeline tidak tahu.

"Cantik."

Sepatah perkataan keluar dari mulut Ayaaz, terus menerbangkan semua fikiran nakal Adeline. Dia pandang Ayaaz dengan mata terkelip-kelip.

"Awak cakap apa?" tanya Adeline dengan muka dungu tetapi Ayaaz tidak menjawab. Dia malah berpatah balik menuju ke kereta untuk bukakan pintu buat Adeline.

Semerta Adeline memicing mata. Rasa-rasanya tadi, dia dengar Ayaaz cakap sesuatu. Tapi apa?

Pandang Airis tapi Airis sekadar senyum meleret. Macam ada maksud tersirat di sebalik senyuman tersebut, tetapi Adeline tidak tahu apa.

"Cepatlah, Cik Adel. Takut kita terlambat," kata Airis dari dalam kereta, yang sudah pun mengambil tempat pemandu.

Segera Adeline membuka langkah, itu pun masih berhati-hati. Sewaktu dia berdiri di pintu kereta, tiba-tiba telinga Adeline dapat menangkap bisikan...

BELLEWhere stories live. Discover now