B (Bab 11)

405 37 4
                                    

BAB 11

"CIK Adel yakin Kayla datang sini lagi?" tanya Airis setelah hampir sejam mereka menanti di dalam kereta. Mata terarah pada taman permainan sementara telinga dibuka luas, menunggu
jawapan Adeline.

"Semalam dia datang dengan budak kecil. Anak dia kut? Ke adik dia? Entah. Tapi kalau budak tu nak main lagi, mestilah dia ke sini lagi kan?"

Adeline membuat andaian. Kalau diikutkan kegilaannya, nak saja dia ketuk setiap pintu rumah di kawasan perumahan berdekatan taman permainan ini.

Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.
Kalau nasib dia baik, pasti muka Kayla terjengul. Tetapi ideanya dihalang keras oleh Airis. Sudahnya, mereka bertiga terperap di dalam kereta sahaja, menanti batang hidung Kayla kelihatan. Gaya dah tak ubah macam anggota polis yang melakukan stakeout.

"Cik Adel, awal lagi ni. Kalau betul budak tu nak main kat taman pun, takkanlah sekarang?"

Airis mengunjuk pada jam tangan. Rasanya Adeline mengerti apa maksud Airis.

Kebiasaannya, taman permainan hanya akan dikunjungi oleh kanak-kanak pada waktu tengah hari selepas sekolah tamat, ataupun pada waktu petang.

Sekarang baru pukul sebelas setengah. Tak ada hatta satu bayang kanak-kanak pun kelihatan, apalagi milik Kayla.

"Ala sabarlah, Airis. Kan best juga buat macam ni. Baru terasa thrill, macam polis selalu buat. Awak selalu lindung orang aje, mesti awak tak pernah ada pengalaman hendap orang kan? Ini pengalaman berharga tau!"

Bodoh-bodoh saja alasan yang diberi Adeline. Tak boleh dihadam akal logik langsung. Apabila Airis menoleh kepadanya dengan mulut melopong, Adeline kekal tayang mimik tak berdosa.

"Betullah apa yang saya kata!" tambah Adeline, membuatkan Airis menggeleng perlahan.

Adeline tahu Airis tak punya modal untuk membidas lalu Adeline senyum simpul. Dialihkan mata dari Airis untuk memandang ke luar tingkap tapi tika itulah, dia terpandangkan cermin pandang belakang. Seterusnya, pandangannya bertembung dengan Ayaaz.

Tak tahulah sejak bila Ayaaz merenung Adeline melalui cermin tersebut tapi Adeline tak pula berniat untuk menegur atau memutuskan tautan mata mereka. Mengenangkan pujukan Ayaaz malam tadi, Adeline dapat rasakan bibit senyumannya kian memekar. Terima kasih kepada lelaki itu, Adeline dapat tidur dengan tenang dan lena.

Tiada api di mata Ayaaz tapi Adeline dapat rasakan dirinya kehangatan. Bukan hangat yang membakar tubuh tetapi sekeping hatinya. Tiba-tiba...

"Kenapa awak pandang saya macam tu?"

"Sebab kau cantik."

Mata Adeline terpejam automatik. Dahi terus berkeriut dek kepalanya rasa berdenyut tiba-tiba.

"Ahhh..." Adeline mengerang halus. Tangan automatik naik ke dahi sementara badannya langsung disandar pada sofa kereta.

"Aduh..." Dia terus mengaduh kesakitan sambil tangan melekap kuat pada dahi. Sejurus kemudian, jari- jari Adeline mengurut dahinya, berharap kesakitan itu beransur pergi.

"Cik Adel!"

Sejak tadi ralit memandang ke luar dan mencari kelibat Kayla, fokus Airis teralih gara-gara mendengar erangan Adeline. Diseru majikannya sekali lagi tapi tidak bersahut.

Bukannya Adelina tak nak jawab, tapi dia tak mampu. Dia masih lagi larut dalam kepedihan yang mencucuk dahi. Ke kanan dan kiri Adeline bergerak tetapi ngilu tetap terasa.

Tak betah berdiam diri, Airis segera melompat ke tempat duduk belakang. Rawan memenuhi hati melihatkan keadaan Adeline. Cuba menarik tangan Adeline kerana Airis hendak melihat mukanya tetapi gagal. Adeline kejap mengurut dahinya sendiri ditemani desahan halus. Lalu Airis menggandakan tenaga.

BELLEWhere stories live. Discover now