B (Bab 16)

458 34 16
                                    

Ehem esok nak reveal tajuk & caption la
...walaupun rasa ada yang dah boleh teka 😝
Saya reveal kat IG/FB dulu tau, lepastu up kat sini sekali dengan bab baru. Kalau korang nak tengok awal2, mehlahh ke FB Syu Ariani atau IG syuariani 😍🥰
•••

BAB 16

SEMALAM Dato' Sri Akma ada beritahu yang hujung minggu ini mereka akan menghadiri konsert pertama Akademi Muzika. Dato' Sri Akma mahu Adeline ikut serta. Disebabkan itulah dia di sini sekarang, di sebuah pusat membeli-belah, ingin mencari pakaian yang sesuai dengan tema konsert itu.

Akhirnya yang menjadi pilihan Adeline ialah sehelai dres putih yang berbentuk A-line, bersama puff sleeve. Ada sulaman bunga di bahagian pinggang dan hujung dres. Tampak ringkas tetapi berjaya menyerlahkan seri Adeline.

"Lepas ni Cik Adel nak cari apa lagi? Kasut dah ada?" tanya Airis sewaktu mereka menikmati makanan tengah hari di salah sebuah restoran.

Segera Adeline menggeleng.

"Kasut saya dah banyak. Penuh dalam almari tu. Tak naklah membazir beli lagi," kata Adeline, mengingatkan Airis tentang almari kasut yang hanya menempatkan kasut miliknya seorang.

Ada kira-kira lima puluh pasang kasut yang dimiliki dan sejujurnya, Adeline sendiri mahu pengsan mengenangkannya. Tak tahulah kenapa dahulu dia boros sangat membeli kasut sebanyak itu walhal yang selalu dipakainya, hanya sepasang flat hitam.

"Cik Adel macam mana? Okey tak? Cik Adel jangan ingat lagi pasal Kayla tau. Lupakan aje apa yang dia cakap. Saya yakin dia memang tipu Cik Adel," ujar Airis, menyerlahkan rasa bengangnya terhadap Kayla sekali lagi.

Adeline terdiam sendiri. Apabila nama Kayla dipetik, dia teringat sesi curahan hati bersama Ayaaz semalam.

Seterusnya, dia juga teringatkan suara lelaki itu. Sungguh, hingga ke pagi dia cuba fikirkan siapakah gerangan si pemilik suara tersebut tapi hanya menemui jalan mati!

"Lepas ni, ki..."

Adeline nak kata, selepas ini mereka boleh pulang ke banglo. Sementara Dato' Sri Akma masih ada di ofis, Adeline nak geledah album foto dan majalah yang pernah dia lakukan sesi temu bual. Adeline nak cuba cari kutlah ada muka si pemilik suara tersebut, atau ada apa-apa yang boleh memberitahunya tentang identitinya tapi bicara Adeline terbejat bilamana dia terdengar kekecohan.

Keletang!
Pranggg!

"Hesy!"

Mata Adeline terus terarah pada wanita yang mendengus itu. Uniform yang tersarung di badannya meyakinkan Adeline bahawa dia merupakan pelayan di restoran ini.

Bertentangan wanita itu, ada dua orang lelaki yang memandangnya sambil tersengih-sengih. Tak langsung tunjukkan sesalan walau akal Adeline dapat menebak, merekalah punca dulang yang ditatang wanita tersebut terlangkup di lantai sekali gus memecahkan pinggan-pinggan dan gelas.

"Aku cari kau kat rumah tapi kau tak ada. Tengah kerja rupanya," kata salah seorang lelaki itu.

"Dah kerja, mestilah ada duit kan? Mana duit?" tanya lagi seorang sambil menarik apron yang dipakai si wanita. Tangan terus menyeluk masuk ke dalam poket tetapi tiada apa-apa. Selang sesaat, badannya ditolak kuat oleh si wanita.

"Jangan kacau aku. Ini tempat kerja aku. Sekejap lagi aku bagi duit kau!"

Meski dia bercakap dalam nada berbisik, Adeline dapat dengar butir katanya.

Seorang lelaki mara menghampiri. Dari gayanya, Adeline tahu dia ialah pengurus restoran ini.

"Ada masalah apa ni? Finaz? Ini siapa?"

BELLEWhere stories live. Discover now